Lima Filem Bola Sepak Yang Wajib Ditonton

Filem berkenaan sukan di Malaysia memang cukup asing, di mana tidak banyak filem sebegini dihasilkan dan ditayangkan. Yang paling baru dan mendapat sambutan luar biasa ialah Ola Bola – filem yang berkisar mengenai skuad Harimau Malaya yang berjaya layak ke Olimpik Moscow pada tahun 1980.

Walaubagaimanapun, nama watak dalam filem diubah dan cerita juga dipusing sedikit berbanding cerita asal.

Satu lagi filem berkenaan sukan di Malaysia ialah Jejak Warrior di mana filem ini berkisar tentang minat seorang remaja kepada pasukan bola sepak Kelantan, dan berazam untuk ke stadium.

Penulis masih belum menonton filem ini, maka tidak adillah untuk memberikan sebarang komen.

Cuma yang pelik ialah kenapa filem ini diterbitkan, sedangkan di Kelantan tiada panggung wayang. Itu je.

Pada tahun 2018, filem Lee Chong Wei: Rise of the Legend telah dikeluarkan yang merupakan filem biopik mengenai kisah inspirasi ikon badminton negara Datuk Lee Chong Wei, yang bangkit dari kemiskinan untuk menjadi pemain badminton terbaik di dunia.

Berbeza dengan negara-negara barat, terutamanya Amerika Syarikat, mereka telah banyak menerbitkan filem berunsurkan sukan, sama ada fiksyen atau berdasarkan peristiwa sebenar.

Jadi, kami kongsikan lima filem berunsurkan bola sepak untuk tontonan engkorang. Kalau dah tengok tak payah bising, pergi beli U2 putih kat kedai runcit belakang Stesen Komuter UKM, hisap belakang rumah.

Kesemua filem yang dinyatakan di  bawah menggunakan bahasa pengantar bahasa Inggeris British, jadi sambil tengok filem-filem ini, engkorang belajar lah mencarut dalam British. Aite guv’nor?

Fever Pitch

Cerita yang diadaptasi daripada novel autobiografi berkisar tentang kejayaan Arsenal menjuarai Liga Divisyen 1 pada musim 1988-89 dan kesan buruknya terhadap kisah cinta seorang peminat fanatik Gooners, Paul Ashworth.

Teman wanitanya, Sarah Hughes yang tidak faham akan hubungan lelaki dan bola sepak begitu sabar menghadapi karenah teman lelakinya.

Filem ini juga turut memuatkan klip original perlawanan terakhir musim tersebut antara Arsenal menentang Liverpool pada 26 Mei 1989.

Dalam perlawanan tersebut, jaringan minit akhir Michael Thomas memberikan kemenangan 2-0 kepada Arsenal sekalius membawa piala ke Highbury.

Kepada orang lama peminat Arsenal dan rindu akan Highbury boleh tonton filem ini sebab ada banyak babak yang dilakonkan di stadium bersejarah tersebut. Tengok lah.

The Damned United

Filem ini berkenaan kisah benar yang mengisahkan tentang seorang pengurus muda bola sepak, Brian Clough bersama rakannya Peter Taylor, yang membawa pasukan Derby County dari liga bawahan ke puncak eropah.

Kenapa tajuk dia ada United?

Selepas dipecat Derby, Clough menyertai kelab musuh tradisinya, Leeds United, bagi menggantikan Dov Revie yang dipanggil untuk menguruskan pasukan England.

Khidmat Clough di Leeds hanya bertahan selama 44 hari. Garis masa dalam filem ini diselang-selikan antara masa Clough di Leeds dan Derby.

Filem ini pasti akan membangkitkan semangat engorang dan kalau nak belajar mencarut, sesuai tengok filem ini kerana ada banyak perkataan yang tidak boleh ditulis di sini.

Goal! The Dream Begins

Goal! The Dream Begins merupakan permulaan kepada trilogi kisah Santiago Munez, seorang pemuda anak kepada pendatang Mexico yang ingin keluar dari kepompong kerja ayahnya di Los Angeles.

Bakatnya dikesan seorang ejen dan membawanya ke Tyneside, meskipun dihalang keras bapanya sehinggalah diterima bermain untuk Newcastle United.

Filem ini agak klise, dengan hero pasti akan dapat yang dimahukannya. Munez akhirnya berjaya membawa Newcastle ke puncak liga, walaupun dia curang dengan teman wanitanya.

Biasalah, dah terkenal mesti la ramai perempuan ikut kan? Filem ini menampilkan beberapa pemain Newcastle seperti Alan Shearer dan Kieron Dyer.

Dalam sambungan cerita ini, Munez berhijrah ke Real Madrid dan bermain bersama bintang terkenal seperti Zidane, Figo, Ronaldo dan Beckham, manakala Goal 3 pula menyaksikan Munez mengetuai Mexico di Piala Dunia.

Green Street Hooligan

Filem ini mengisahkan mengenai seorang pemuda yang dibuang dari Universiti Harvard dan bagaimana dia terjebak dengan dunia pengganas bola sepak atau dalam bahasa mudahnya hooligan.

Matt mengikut Pete yang memperkenalkannya kepada Green Street Elite – firm West Ham dan berperang dengan firm Millwall, Bushwackers.

Seperti Goal!, filem ini juga merupakan episod pertama kepada trilogi Green Street di mana pertarungan antara hooligan menjadi semakin ganas sehingga pergaduhan di dalam penjara.

Bend It Like Beckham

Jangan tersalah anggap. Tiada Bekcham dalam cerita ini, yang ada hanyalah satu tendangan percuma yang melencong seperti tendangan Beckham.

Jess merupakan seorang gadis yang dilahirkan dalam keluarga Singh yang cukup kuat dengan budaya dan adat mereka, meskipun tinggal di London.

Tidak seperti gadis lain, Jess amat meminati bola sepak dan sering curi-curi bermain bersama rakan lelakinya.

Pada suatu hari seorang gadis, Jules, ternampak aksi Jess bermain dan mengajaknya untuk menyertai ujian pasukan wanita tempatan, Hounslow Harriers.

Impian kedua-dua gadis ini hanya satu – bermain bola sepak secara professional di Amerika Syarikat.

Pelbagai cabaran terpaksa dilalui oleh kedua-dua gadis ini. Dalam filem ini juga ada babak di mana bapa Jules bercerita kepada ibunya bagaimana ofsaid berlaku.

Engkorang ambil contoh tersebut dan ceritakan kepada isteri engkorang. Sure diorang faham.

BACA:  Senarai Kecederaan Pemain Bola Sepak Yang Paling Teruk