Lima Pemain Yang Menjadi ‘Biggest Flop’ Selepas Beraksi Bersama Man Utd

Manchester United dilihat sangat bersedia untuk menghadapi saingan musim baharu ini dengan mereka telah menandatangani dua pemain mega pada jendela perpindahan musim panas ini.

Musim lalu, United berjaya mengakhiri saingan liga di kedudukan kedua, 12 mata di belakang Juara saingan Premier League, Manchester City.

Skuad setan merah juga berjaya untuk mara ke perlawanan akhir Europa League namun mereka terpaksa akur dengan kekalahan menerusi penentuan sepakan penalti kepada Villarreal.

United pada musim lalu berdepan dengan masalah dua posisi iaitu pertahanan dan pemain sayap yang mana bahagian sayap kanan sememangnya posisi bermasalah.

Pada musim panas ini, setan merah telah menyelesaikan masalah tersebut dengan mereka telah menandatangani dua pemain berkelas dunia.

Raphael Varane dan Jadon Sancho telah ditandatangani dan akan beraksi bersama skuad Manchester United pada musim baharu nanti.

Kedua-dua pemain dijangka akan memberikan impak positif kepada skuad kendalian Ole Gunnar Solskjaer itu dengan para peminat sudah tidak sabar untuk menanti sepak mula saingan musim baharu nanti.

Walau bagaimanapun, tetap ada peminat yang bimbang kedua-dua pemain tersebut gagal memberikan impak seperti yang diharapkan dan akan menjadi ‘biggest flop’ di Old Trafford.

Mengapa ada yang merisaukan hal seperti itu?

Ya. Kerana Man Utd mempunyai sejarah menandatangani pemain berprofil tinggi dan prestasi pemain tersebut merudum ketika beraksi bersama mereka dalam saingan Premier League.

Berikut merupakan lima pemain yang kariernya merundum ketika beraksi bersama Manchester United, namun cemerlang ketika mereka beraksi bersama pasukan lain.

1. Diego Forlan

Kelab Diwakili: Manchester United
Penampilan Premier League: 63

Tidak kira dari mana senarai seperti ini dikeluarkan, nama Diego Forlan tentunya akan disenaraikan, dan beliau sememangnya dianggap pemain paling merundum dalam sejarah saingan Premier League.

Forlan ketika kariernya di Old Trafford, beliau perlu menunggu sehingga 24 perlawanan untuk menjaringkan gol pertamanya dalam saingan liga.

Tetapi tidak dinafikan juga yang beliau antara pemain yang paling bekerja keras di Old Trafford pada ketika itu, dalam usahanya untuk mendapatkan semula corak permainan terbaiknya.

Beliau berjaya menjaringkan 10 gol dan mencatatkan tujuh assist sepanjang kariernya bersama Manchester United, dan antara detik terindah Forlan ketika itu adalah kejayaan beliau menjaringkan dua gol bertemu Liverpool pada tahun 2002.

Walau bagaimanapun, Forlan berjaya mendapatkan rentak persembahan terbaiknya selepas beliau meninggalkan United, bermula dengan menyertai Villarreal pada tahun 2004.

Pemain kebangsaan Uruguay itu berjaya menjaringkan 58 gol dari 121 penampilan sepanjang tempoh tiga tahun bersama Villarreal, Forlan kemudiannya telah ditandatangani oleh Atletico Madrid.

Tidak diragukan lagi, karier terbaik Forlan adalah ketika beliau beraksi bersama Atletico Madrid, dengan beliau berjaya menjaringkan 96 gol dari 198 perlawanan.

Beliau juga berjaya membantu Atletico Madrid menjuarai saingan Europa League pada musim 2009/10, dengan menjaringkan kedua-dua gol ketika menewaskan Fulham 2-1.

2. Angel Di Maria

Pasukan Diwakili: Manchester United
Penampilan Premier League: 27

Angel Di Maria pernah membazirkan sedikit masa di pentas Premier League pada satu ketika dahulu, dan menyebabkan peminat bingung memikirkan mengapa United mengeluarkan dana besar untuk mendapatkan khidmatnya pada tahun 2014.

Beliau berjaya menjaringkan tiga gol dan mencatatkan tiga dari lima penampilan pertamanya di pentas saingan Premier League, termasuk gol sungkit menakjubkan ketika bertemu Leicester City.

Selepas dari itu, pemain kebangsaan Argentina itu gagal untuk menjaringkan sebarang gol sebelum beliau melengkapkan perpindahannya menyertai Paris Saint Germain.

Angel Di Maria telah dijual ke Paris Saint Germain dengan Manchester United dilaporkan menanggung kerugian bernilai £15 juta dari kos membawanya ke Old Trafford.

Walaupun beliau gagal untuk menambah bilangan golnya untuk Red Devils, Di Maria berjaya mengakhiri kariernya di pentas Premier League dengan merekodkan 10 assists.

Hanya Cesc Fabregas dan Santi Cazorla sahaja yang mencatatkan lebih banyak assists berbanding Angel Di Maria pada musim tersebut.

Namun begitu, beliau juga harus dipuji kerana beliau bermain pada ketika itu dalam keadaan Manchester United tidak mempunyai identiti mereka, dengan ramai pemain yang gagal menyerlah.

Sejak menyertai PSG, Di Maria berjaya mengingatkan para peminat tentang mengapa Manchester United perlu membayar nilai yang tinggi untuk mendapatkan khidmatnya.

Beliau berjaya mendapatkan semula rentak permainan terbaiknya dan menjadi salah seorang pemain terpenting kelab sehingga ke hari ini.

3. Juan Sebastian Veron

Kelab Diwakili:Manchester United, Chelsea
Penampilan Premier League: 58

Ketika Sir Alex Ferguson memberi bayangan bahawa pemain itu tidak cukup bagus untuk bersaing dalam saingan Premier League, ia sukar untuk sesiapa fahami.

Namun itulah situasi yang berlaku pada Juan Sebastian Veron, yang menyertai Manchester United pada tahun 2001 dengan yuran perpindahan bernilai £28.1 juta.

Dua tahun selepas itu, beliau telah dilepaskan ke Chelsea dengan yuran perpindahan bernilai £15 juta sahaja selepas gagal memberikan impak di Old Trafford.

“Juan Veron sememangnya seorang pemain yang sangat berbakat dan mempunyai kualiti yang mengagumkan. Tapi pada masa ini, dia baru sedar yang Premiership agak sedikit sukar.”

Jelas Sir Alex Ferguson tidak lama selepas pemergian Veron.

“Dia merupakan pemain Eropah dan di situ lah di mana kami dapat melihat rentak permainan terbaik dari dia. Dia tak mahu pergi. Ejen dia sudah bercakap dengan Chelsea dan dia tahu dia akan pergi.”

“Kita perlu lihat pada jangka masa panjang, dan secara keseluruhannya, tawaran yang kami terima sangat baik untuk ditolak.”

Melihat kepada kariernya dalam saingan Premier League, tidak dapat dinafikan lagi yang Veron tidak sehebat seperti yang dijangka. Tidak kira ketika bersama Manchester United, mahupun bersama Chelsea.

Namun kualiti yang beliau tunjukkan ketika beraksi di luar England, tidak mungkin akan dilupakan oleh para peminat.

Di Itali, Veron merupakan pemain terpenting yang membantu Lazio dan Parma memenangi pelbagai gelaran ketika kariernya di sana.

Beliau turut pernah memenangi gelaran Serie A ketika beraksi bersama Inter Milan dan sebelum bersara, Veron berjaya memenangi dua lagi gelaran liga ketika beraksi di Argentina.

Pada tahun 2009, beliau telah dinobatkan sebagai Argentinian Fotballer of The Year. Dan kerana itulah beliau akan dikenang sebagai legenda di merata tempat, tetapi tidak ketika kariernya di pentas Premier League.

4. Memphis Depay

Kelab Diwakili: Manchester United
Penampilan Premier League: 33

Memphis Depay merupakan seorang lagi pemain penyerang yang ditandatangani ketika era Louis Van Gaal, dengan ketika ketibaan beliau ke bumi Old Trafford, beliau mempunyai latar belakang yang menakjubkan.

Depay bolehlah dianggap antara pemain berprofil tinggi pada ketika itu dan tentunya para penyokong sangat berharap pada kemampuan dan kebolehan beliau untuk menaikkan semula kelab.

Ketika beliau tiba di Old Trafford, Depay pada ketika itu baru berusia 21 tahun dan beliau jelas masih belum bersedia untuk memikul tanggungjawab dan membawa United kembali menjadi pasukan digeruni.

Sama seperti Di Maria, Depay merupakan penandatanganan yang tepat untuk United, namun beliau ditandatangani pada waktu yang salah.

Depay meninggalkan Man Utd pada Januari 2017 untuk menyertai Lyon dan beliau terus mula mencipta nama ketika beraksi dalam saingan Ligue 1.

Dari 178 penampilan bersama Lyon, Depay sudah melibatkan diri dengan 100 gol, yang mana beliau sering menjaringkan gol dan mencatatkan assists untuk rakan sepasukannya.

Beliau turut dipanggil untuk menyertai skuad kebangsaan Netherland dan menjadi nadi kepada kebangkitan Belanda di bawah kendalian Ronald Koeman.

Beliau ketika ini sudah berusia 27 tahun dan kariernya semakin berkembang selepas melengkapkan perpindahan menyertai Barcelona pada musim panas ini.

5. Radamel Falcao

Kelab Diwakili: Manchester United, Chelsea
Penampilan Premier League: 36

Ada satu ketika sebelum ini, Radamel Falcao merupakan salah seorang penyerang yang paling digeruni lawan dan dianggap antara pemain terbaik di benua Eropah.

Walau bagaimanapun, ramai juga terlupa yang beliau pernah mengharungi karier selama dua tahun yang sangat teruk dalam saingan Premier League.

Beliau sebelum itu sudah lama dikaitkan bakal beraksi dalam saingan utama di England, dengan Falcao menyertai Man Utd menerusi perjanjian pinjaman pada musim 2014/15.

Selepas setahun beliau berdepan dengan pelbagai masalah ketika beraksi bersama Monaco kerana dibelenggu masalah kecederaan.

Selain menemui kegagalan ketika beraksi bersama Manchester United, Falcao turut tidak beraksi dengan baik ketika di pinjamkan ke Chelsea.

Walau bagaimanapun, sekembalinya beliau ke Monaco pada 2016, Falcao berjaya mendapatkan semula rentak persembahan terbaiknya dan membantu Monaco memenangi gelaran Ligue 1.

Kini Falcao beraksi bersama Galatasaray dalam saingan liga bola sepak Turki, dengan beliau masih bergelut dengan masalah kecederaan.

Mengapa beliau dikatakan biggest flop? Lihat saja statistik beliau ketika beraksi bersama pasukan lain, Falcao berjaya menjaringkan 72 gol dari 87 perlawanan untuk Porto.

Beliau kemudiannya menjaringkan 70 gol dari 91 perlawanan untuk Atletico Madrid dan 83 gol dari 140 penampilan untuk Monaco.

Falcao ketika kariernya bersama Manchester United

Tapi bersama Man United? Ya jawapannya itulah sebab mengapa beliau dianggap sebagai The Biggest flop di Old Trafford.

Sumber: Squawka

BACA:  Kekasaran Paling Jahat Dalam Sejarah Bola Sepak