Low: Ozil Langsung Tidak Hubungi Saya Sebelum Umumkan Keputusan Untuk Bersara

Ketua Jurulatih Jerman, Joachim Low berkata Mesut Ozil tidak menghubunginya sebeluum mengumumkan keputusan untuk bersara dari arena antarabangsa.

Ozil mengejutkan banyak pihak apabila mengumumkan beliau tidak akan bermain lagi untuk Jerman dan menuduh beberapa pegawai di Persatuan Bola Sepak Jerman melayannya dengan buruk kerana asal usul beliau yang bukan dari Jerman.

Low akui Ozil langsung tidak menghubungi beliau sejak Piala Dunia 2018 berakhir

Walau bagaimanapun, Low menafikan wujud sebarang isu perkauman dalam kem Jerman dan mempersoalkan tindakan Ozil melakukan pengumuman mengenai persaraannya sebelum menyentuh isu berkenaan secara umum.

“Ejen beliau menghubungi saya dan memberitahu yang Ozil akan mengumumkan persaraan beliau dari skuad Jerman. Ozil langsung tidak menghubungi saya. Ozil memilih untuk menggunakan jalan yang lain dan sehingga saat ini, beliau masih belum menghubungi saya.”

“Saya cuba menghubungi beliau menerusi panggilan telefon dan mesej tetapi saya masih gagal untuk berkomunikasi dengan beliau. Saya perlu menerima hakikat ini, mungkin saya bersalah kerana memandang rendah situasi ini.”

Ozil merupakan pemain utama Jerman sepanjang Low menjadi ketua jurulatih kebangsaan.

“Topik ini mendapat banyak liputan tetapi ia tidak patut dijadikan sebagai punca utama. Kenyataan dari Ozil mungkin dikeluarkan dengan tergesa-gesa. Isu perkauman tidak wujud langsung dalam skuad kebangsaan Jerman.”

Ozil menerima kecaman dari segenap ceruk kerana bergambar dengan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan beberapa hari sebelum bermulanya Piala Dunia 2018 di Russia. Keadaan menjadi lebih parah buat Ozil apabila Jerman terkandas di peringkat kumpulan dan Ozil didakwa menjadi dalang utama mengapa Jerman beraksi sangat buruk di Russia.

Pengurus Pasukan Jerman, Olivier Bierhoff pernah berkata Ozil sepatutnya dikeluarkan dari skuad Jerman selepas pemain Arsenal itu gagal menerangkan kedudukan beliau ketika berjumpa Erdogan. Akan tetapi, Bierhoff mengakui beliau terlanjur mengeluarkan kenyataan tersebut dan kini menyesal melihat cara Ozil bersara dari skuad kebangsaan.

Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya. Siapa suruh ko kutuk sangat Ozil dulu

“Saya meluangkan masa selama 9 tahun yang menakjubkan bersama Mesut Ozil dalam pasukan kebangsaan. Beliau pemain bola sepak yang hebat dan kami amat berterima kasih dengan segala jasa beliau. Saya amat menyesal melihat cara beliau bersama dari skuad Jerman.”

“Kami bersalah kerana gagal membuat penilaian yang betul dalam situasi yang penuh emosi dan turut mempunyai unsur politik. Saya tidak pernah melihat pendapat bercanggah sedemikian rupa.”

“Tetapi satu perkara yang jelas di sini adalah  pemain bola sepak kebangsaan tidak sepatutnya menjadi sasaran isu perkauman.”

BACA:  Mesut Ozil Dedah Team Fantasy Euro Pilihannya