Mahu Beri Cabaran Getir, Pemain Naturalisasi Garuda Anggap Bintang Argentina Mirip Pemain Indonesia Saja

Penyerang Bali United, Ilija Spasojevic yang juga merupakan salah seorang pemain naturalisasi Indonesia berharap pasukan negara itu tidak gentar apabila mendengar mereka akan berhadapan pasukan gergasi seperti Argentina pada Jun hadapan.

Dengan skuad yang terdiri daripada barisan pemain terbaik dunia seperti ionel Messi, Angel Di Maria, Paulo Dybala, Nicolas Otamendi, Rodrigo De Paul dan lain-lain, Spasojevic mengakui Argentina adalah salah sebuah pasukan terbaik dunia.

Malah skuad kendalian Lionel Scaloni itu juga masih segar daripada kejayaan muncul juara Piala Dunia 2022 yang berlangsung di Qatar pada Disember lalu.

Walaupun tidak pasti sama ada dirinya akan mendapat panggilan oleh Shin Tae-yong untuk membarisi skuad Garuda untuk perlawanan tersebut, Spasojevic tidak mahu pemain yang terpilih merasa gentar atau gugup ketika berhadapan juara dunia itu di Jakarta pada 19 Jun nanti.

Malah Spasojevic berkata tidak ada apa yang harus dirisaukan oleh pemain Indonesia kerana pemain dari negara Amerika Selatan itu sebenarnya tidak ada bezanya.

“Lakukan yang terbaik. Ya, sudah pasti kita akan mengkagumi semua idola kita, Messi, Dybala dan lain-lain,” kata pemain yang lebih mesra dengan panggilan Spaso kepada SuperBall.id.

Apa yang dimaksudkan oleh Spasojevic sebenarnya merujuk kepada fizikal yang dimiliki pemain Argentina yang mirip pemain Indonesia.

Susuk tubuh Messi misalnya dilihat oleh Spasojevic sebagai sama sahaja dengan fizikal pemain Indonesia yang lain.

Menurut teori Spaso, pemain Argentina tidak memiliki fizikal yang besar dan keras berbanding pemain dari Eropah.

Atas faktor tersebut, Spaso mahu melihat Indonesia memberikan cabaran getir kepada Argentina sebelum meluahkan kekaguman terhadap pemain-pemanunya. Jika ini berlaku Spaso yakin Indonesia mampu bersaing dengan Argentina dalam perlawanan tersebut.

“Di atas padang mereka sama sahaja seperti kita. 11 pemain lawab 11 pemain. Kita harus melawan dengan memberikan yang terbaik.

“Selepas perlawanan selesai, mungkin bolehlah bertukar jersi atau berselfie dengan pemain Argentina.”

BACA:  PSSI Kecewa Dengan Keangkuhan Bapa Penjaga Gol Sampdoria, Indonesia Bukan Pengemis