Malaysia Pamer Aksi 45 Minit Pertama Yang Terlalu Hambar

Skuad kebangsaan Malaysia menurunkan kesebelasan yang sama ketika bertemu Laos untuk beraksi bertemu Vietnam pada malam ini.

Kesebelasan utama yang agak meyakinkan memandangkan kesemua pemain telah mempamerkan aksi persembahan yang sungguh menakjubkan ketika bertemu Laos sebelum ini.

Perang psikologi dari kem Vietnam sama sekali tidak diendahkan oleh Tan Cheng Hoe dengan beliau memberi sepenuh perhatian untuk memburu kemenangan ketiga.

Vietnam juga sebenarnya sedikit goyang untuk berdepan Malaysia memandangkan mereka melihat bagaimana Harimau Malaya mencatat kemenangan besar dalam dua perlawanan awal mereka.

Walau bagaimanapun, 45 minit pertama dalam perlawanan ini jelas sekali menjadi milik Vietnam dengan skuad Malaya terlalu mudah untuk didominasi.

Sepanjang aksi babak pertama para pemain skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu terlalu teruk didominasi dengan mereka turut mempamerkan aksi persembahan yang serba tidak menjadi.

Boleh dikatakan Vietnam berkuasa dari segala sudut di atas padang dan para pemain Malaysia terlalu kerap melakukan kesilapan mudah dan membahayakan gawang sendiri.

Pertahanan Malaysia bermain sangat teruk

Dari awal sepak mula permainan, barisan pertahanan negara telah mempamerkan aksi yang sangat teruk dan huru hara.

Terlalu kerap melakukan kesilapan mudah, gagal membaca permainan, kerap hilang penguasaan bola, huru hara, hantaran bersepah, gagal mengawal pemain lawan dengan baik, on ball dan off ball situation yang sangat parah dan terlalu gugup menyebabkan pertahanan negara terlalu mudah ditewaskan.

45 minit yang sangat mengecewakan untuk barisan pertahanan Malaysia dengan aksi centre-back bermasalah dan lebih teruk lagi pemain di posisi full-back terlalu mudah ditewaskan.

Rizal Ghazali dan Syahmi Safari jelas sekali tidak berada di tahap persembahan terbaik mereka, dan tidak keterlaluan juga untuk menganggap kedua-dua mereka antara yang paling bermasalah dalam perlawanan ini.

Midfield tak boleh berfungsi

Aksi hebat para pemain midfield mengawal perlawanan ketika bertemu Laos gagal di kekalkan dalam perlawanan ini dengan mereka dilihat langsung tidak berfungsi sepanjang 45 minit pertama permainan.

Baddrol Bakhtiar dan Mukhairi Ajmal lebih banyak berada di kawasan sendiri untuk membantu barisan pertahanan yang terlalu huru hara.

Ekoran dari aksi hambar pemain pertahanan, pemain di posisi midfield turut terjejas dengan mereka perlu berada di kawasan sendiri, dan hilang tumpuan untuk menggerakkan jentera serangan.

Ada beberapa kali sahaja pemain tengah dapat membantu build up untuk melancarkan serangan, namun mereka tidak berani untuk naik terlalu ke atas kerana bimbang serangan balas dari pasukan lawan.

Pemain sayap juga tidak berada di posisi yang baik untuk melancarkan serangan dan kerana itu Baddrol dan Mukhairi Ajmal gagal untuk melorongkan bola.

Penyerang serba tidak menjadi

Arif Aiman, Safawi Rasid dan Luqman Hakim lebih banyak menghabiskan aksi 45 minit pertama untuk melindungi tengah serta posisi pertahanan berbanding memberi ancaman kepada kubu lawan.

Malaysia dihidangkan beberapa peluang namun gagal disempurnakan dengan baik oleh para pemain seperti Luqman Hakim dan Syafiq Ahmad.

Luqman berpeluang untuk menjaringkan gol dan berdepan dengan situasi satu lawan satu hasil kesilapan dari pemain pertahanan Vietnam, namun sayangnya rembatan beliau terlalu jauh tersasar meninggalkan gawang gol.

Malaysia perlu memasukkan De Paula untuk mengubah kedudukan dan berharap pemain naturalisasi itu mampu menggunakan kelebihan fizikal beliau untuk mengancam gawang Vietnam.

Terlalu banyak melakukan kekasaran yang tak sepatutnya

Para pemain Malaysia terlalu kerap melakukan kesilapan mudah dan turut sering melakukan kekasaran yang tak sepatutnya.

Mujur saja hanya satu kad kuning yang diterima oleh pemain Malaysia dalam perlawanan ini, walaupun sepatutnya lebih banyak dari itu yang patut mereka terima.

Tackle sia-sia sangat tidak diperlukan kerana kad kuning atau kad merah akan sangat merugikan skuad negara yang sudah sememangnya tidak cukup pemain pada ketika ini.

Aksi 45 minit yang sangat mengecewakan namun diharapkan para pemain akan bangkit dan menewaskan Vietnam dalam perlawanan ini.

BACA:  Piala AFF 2022: Vietnam 3-0 Malaysia