Manchester United Terkandas di Sepanyol, Zirkzee Bersinar dan VAR Buat Hal

Liga Europa menjadi satu-satunya trofi yang masih boleh dikejar oleh Manchester United pada musim ini dan harapan mereka untuk mara ke perlawanan akhir di Bilbao pada 21 Mei masih lagi hidup selepas mencatat keputusan seri 1-1 menentang Real Sociedad dalam perlawanan pertama pusingan 16.

Perlawanan bermula dengan tempo perlahan tanpa banyak peluang dari kedua-dua pasukan. Andre Onana menamatkan babak pertama tanpa perlu melakukan sebarang penyelamatan. Peluang terbaik United hadir pada minit ke-37 apabila Bruno Fernandes dan Joshua Zirkzee hampir menjaringkan gol tetapi percubaan mereka digagalkan.

Selepas rehat, United meningkatkan tempo permainan dan akhirnya membuka jaringan menerusi gol cantik lagi menawan daripada Zirkzee sebelum sejam perlawanan. Namun, kelebihan tipis itu tidak bertahan lama apabila Video Assistant Referee (VAR) mengesan bola terkena tangan Fernandes, memberikan penalti kepada Real Sociedad. Pasukan tuan rumah hampir menambah jaringan selepas itu tetapi Onana berjaya melakukan beberapa penyelamatan penting untuk mengekalkan keputusan seri.


Keputusan Positif atau Peluang Terlepas?

Keputusan seri ini pasti memberi perasaan bercampur-baur kepada United. Pada separuh masa pertama, mereka lebih banyak bertahan dan membiarkan Real Sociedad mengawal permainan. Statistik menunjukkan United hanya menguasai 38% bola, antara peratusan paling rendah di bawah kendalian Ruben Amorim.

Namun, pendekatan ini ada logiknya, lebih baik bertahan dengan disiplin daripada bermain terlalu terbuka dan dihukum lawan.

Gol Zirkzee pada babak kedua hadir selepas United bermain lebih berani tetapi malangnya kelebihan itu tidak bertahan lama selepas VAR mengesan bola terkena tangan Fernandes, memberikan Sociedad peluang menyamakan kedudukan menerusi penalti. Dalam 15 minit terakhir, Onana terpaksa bekerja keras untuk memastikan keputusan kekal 1-1.

Secara keseluruhan, keputusan ini boleh diterima tetapi jika United berjaya bertahan dan menang, ia pasti memberi kelebihan psikologi menjelang perlawanan kedua. Pada minggu depan, aksi di Old Trafford dijangka sengit. Cuma satu persoalan—mampukah United memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri ketika prestasi mereka di Old Trafford masih suam-suam kuku.


Gol Cantik Daripada Zirkzee

Pada separuh masa pertama jelas memperlihatkan kelemahan serangan kedua-dua pasukan. Jika digabungkan, United dan Real Sociedad hanya menjaringkan 56 gol dalam 53 perlawanan liga musim ini. Ia satu angka yang menggerunkan langsung. United banyak mengharapkan hantaran jauh kepada penyerang mereka dan peluang terbaiknya hadir menerusi larian di bahagian sayap atau serangan balas.

Ketiadaan Martin Zubimendi akibat masalah kesihatan memberi sedikit kelebihan kepada United, Sociedad kehilangan kawalan di bahagian tengah.

Gol pembukaan Zirkzee terhasil daripada gerakan pasukan yang tersusun. Pada minit ke-57, Casemiro melakukan hantaran luar biasa menggunakan bahagian luar kakinya kepada Diogo Dalot, yang mara ke hadapan tanpa dicabar. Dalot kemudian menghantar bola kepada Alejandro Garnacho dan dia melakukan hantaran silang ke dalam kotak penalti.

Dalam situasi ini, Rasmus Hojlund memainkan peranan penting dengan menghalang seorang pertahanan, membuka ruang untuk Zirkzee melakukan rembatan pertama yang terus menewaskan penjaga gol Sociedad, Alex Remiro.

Gol ini membuktikan bahawa United mampu mencipta peluang apabila bermain dengan lebih tersusun. Jika sebelum ini mereka kerap menjadi mangsa gerakan seperti ini, kali ini mereka pula berjaya melakukannya.


Penalti – Adil atau Tidak?

Pada minit ke-67 Real Sociedad dihadiahkan penalti dalam satu insiden yang pada awalnya tidak begitu jelas.

Sepakan sudut oleh Takefusa Kubo ditanduk keluar oleh Bruno Fernandes dan Matthijs de Ligt sebelum Alejandro Garnacho dijatuhkan ketika dia cuba melancarkan serangan balas. Ketika itu, tiada pemain Sociedad yang membuat bantahan tetapi pengadil Ivan Kruzliak kemudian dimaklumkan oleh VAR bahawa terdapat semakan untuk penalti.

Selepas menonton ulang tayang, Kruzliak mendapati bola terkena tangan Fernandes ketika dia melompat untuk bersaing dengan Nayef Aguerd dalam kotak penalti. Oleh kerana tangannya berada dalam posisi yang dianggap tidak semula jadi, Sociedad diberikan sepakan penalti. Sepakkan itu disempurnakan oleh Mikel Oyarzabal untuk menyamakan kedudukan.

Adakah Fernandes boleh mengelakkan insiden ini? Sesetengah pihak, termasuk Robbie Savage dalam ulasan di TNT Sports, berpendapat bahawa kedudukan tangan Fernandes adalah sesuatu yang sukar dielakkan ketika melompat.

Namun, mengikut peraturan UEFA, sentuhan tangan seperti ini masih dikira sebagai kesalahan walaupun ketidakkonsistenan dalam pelaksanaannya terus menjadi perdebatan.


Reaksi Ruben Amorim

Selepas perlawanan, pengendali Manchester United, Ruben Amorim menyatakan bahawa penalti dan keletihan pemain memberi kesan besar kepada pasukannya.

“Saya rasa sehingga penalti, kami mengawal permainan. Tetapi selepas itu, momentum berubah. Dalam 30 minit terakhir, pasukan kami kelihatan sangat letih dan anda boleh lihat perbezaan intensiti di antara kami dan mereka,” katanya kepada TNT Sports.

Namun, Amorim tetap berpuas hati dengan aspek penguasaan bola pasukannya.

“Hingga penalti itu, kami bermain dengan baik dan mempunyai kawalan yang baik. Kami tahu mereka akan cuba menekan tinggi, jadi kami mencari peluang untuk menghantar bola ke belakang pertahanan mereka. Mungkin keputusan di kawasan serangan tidak selalu tepat tetapi kami tetap mempunyai detik-detik yang baik dalam perlawanan ini,” tambahnya.


Kesimpulan

Manchester United masih mempunyai peluang besar untuk mara ke suku akhir Liga Europa tetapi mereka perlu menampilkan aksi lebih bertenaga dalam perlawanan kedua di Old Trafford. Keputusan 1-1 bukanlah sesuatu yang buruk tetapi jika mereka ingin terus bersaing dalam kejohanan ini, kemenangan di laman sendiri adalah satu keperluan.

Adakah United mampu melakukannya? Semua akan terjawab minggu depan!

BACA:  Arteta Didapati Tidak Bersalah Kritik Pengadil Selepas Tampil Pembelaan Guna Bahasa Sepanyol