Mano Polking Akui Gol Kedua Malaysia Sah, Tiada Kecurangan

Ketua Jurulatih Thailand, Alexandre ‘Mano’ Polking mengakui bahawa gol kedua Malaysia ketika menentang Thailand yang dibatalkan pengadil adalah sah dan tiada sebarang unsur kecurangan.

Perkara ini telah dinyatakan oleh Mano Polking dalam satu sidang media menjelang perlawanan separuh akhir kedua Piala AFF 2022 yang akan berlangsung di Stadium Thammasat yang terletak di bandar Rangsit, Pathum Thani, Thailand.

Dalam kenyataannya itu, Mano Polking telah menuntut pengadil supaya lebih adil dan peka dalam pengadilan mereka supaya tiada lagi pasukan terhukum dengan kesilapan pegawai perlawanan.

Perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil itu menyaksikan pengadil perlawanan dari Korea Selatan, Kim Dae-yong dan para pembantunya telah melakukan beberapa kesilapan dalam membuat keputusan.

Mano Polking telah meluahkan apa yang terbuku dalam hatinya dengan mutu pengadilan pengadil di mana masa kecederaan yang telah diberikan oleh pengadil adalah tidak setimpal dengan apa yang terjadi di padang.

Banyak kali masa permainan dihentikan kerana terjadi beberapa insiden dan Mano Polking mahu masa kecederaan seperti di Piala Dunia 2022 dipraktikkan.

“Kami mahu bermain bola sepak, semua di antara kami. Peminat di sini mahu melihat masa bermain seperti Piala Dunia.”

“Orang ramai bergurau apabila pengadil perlu memberi masa kecederaan selama 10 minit.”

Dalam pada itu Mano Polking menyatakan bahawa dua insiden yang melibatkan kontroversi gol Malaysia dan kejadian penjagol rebah ke tanah sudah memakan masa lebih 7 minit.

Ketua Jurulatih Gajah Perang itu dengan jujur mengakui bahawa bola tandukan Dominic Tan yang telah dibatalkan pengadil itu adalah sah selepas meneliti kembali ulang tayang gol itu.

“Perlawanan terakhir (separuh akhir pertama), di separuh masa kedua sahaja, insiden melibatkan gol kedua Malaysia pada aku adalah gol yang sah.”

“Jujur saya untuk menyatakannya, insiden ini sahaja memakan masa selama 5 minit, selepas itu selepas kami memperolehi peluang, penjaga gol rebah selama 2 minit.”

Alexandre Mano Polking yang merupakan jurulatih berdarah Brazil – Jerman itu telah mengajak media untuk melakukan matematik mudah bagi menguatkan hujahnya untuk masa kecederaan yang diberikan oleh pengadil.

Dengan melontarkan persoalan matematik tidak beraras tinggi, Polking bertanya bagaimana hanya 5 minit sahaja masa diberikan selepas pelbagai insiden?

“Saya bercakap mengenai dua insiden dicampur dengan pertukaran semua pemain dalam perlawanan tambah lontaran ke dalam tambah rawatan, mereka hanya beri 5 minit.”

“Bagaimana kau boleh bagi 5 minit sahaja masa kecederaan?”

Mano Polking menjelaskan bahawa mereka akan bermain dengan cara yang sama seperti separuh akhir pertama di mana dalam perlawanan itu sentuhan penyudah menjadi musuh mereka.

“Kami bermain dengan baik di Malaysia dan kini ia adalah permainan baharu, kami menyasarkan untuk melakukan perkara yang sama seperti yang kami lakukan dua hari lalu dan ingin membalikkan gol yang kami ketinggalan.”

“Saya tidak bimbang tentang bagaimana Malaysia akan bermain kerana kami mempunyai sasaran yang jelas untuk mara ke final dan kami hanya memberi tumpuan kepada apa yang boleh kami lakukan dan bagaimana kami boleh bermain.”

Jurulatih yang memenangi gelaran dari edisi sebelum ini juga menggesa permainan itu di mainkan dengan lancar dan berkata bahawa sebarang percubaan dari mana-mana pihak untuk memperlahankan tempo perlawanan mahu dielakkan.

“Kami mahu bermain bola sepak dan saya pasti itu terpakai kepada kedua-dua pasukan. Saya meminta jika masa hilang atas sebab apa pun maka masa itu harus ditambah seperti yang kita lihat dalam Piala Dunia.

“Bukan saya merungut dan jika kami menang dengan tiga atau empat gol dan membuang masa maka saya juga menjangkakan ia akan ditambah, saya hanya meminta kami dibenarkan bermain bola sepak.”

BACA:  Teerasil Dangda Pemegang Rekod Penjaring Terbanyak Sepanjang Zaman Piala AFF