Martinez: Setiap Jurulatih Tentu Suka Miliki Fellaini Dalam Pasukan Mereka

Jurulatih Belgium, Roberto Martinez memuji sumbangan dan kualti yang ada pada Maroune Fellaini dan menggambarkan beliau sebagai seorang ‘pahlawan’ dalam skuad Belgium.

Martinez turut berkata pemain tengah Manchester United tidak begitu dihargai peminat walaupun berjasa besar pada pasukan. Fellaini merupakan sebahagian daripada skuad Belgium yang beraksi di Piala Dunia 2018.

Fellaini tidak mendapat penghargaan yang sepatutnya beliau terima

Beliau merupakan pemain simpanan bagi dua perlawanan awal Belgium sebelum diberikan peluang berada dalam kesebelasan utama menentang England.

Dalam perlawanan terakhir Belgium menentang Jepun, Fellaini masuk sebagai pemain gantian dan berjaya menjaringkan gol penyamaan bagi mengikat kedudukan menjadi 2-2. Nacer Chadli menjaringkan gol kemenangan Belgium pada waktu kecederaan untuk menghantar Belgium ke peringkat suku akhir.

Walaupun kerap menjadi mangsa kritikan peminat bola sepak, beliau merupakan pemain ‘kesayangan’ setiap pengurus yang pernah menguruskannya sebelum ini dan juga sekarang.

Fellaini yang kini berusia 30 tahun dibawa masuk ke Old Trafford dari Everton pada musim panas 2013 oleh pengganti Sir Alex Ferguson, David Moyes. Sejak dari itu, Fellaini menjadi pemain ‘kegemaran’ Moyes, Louis Van Gaal dan Jose Mourinho terutamanya ketika United ketinggalan pada hujung-hujung perlawanan.

Antara pemain kesayangan Mourinho kerana kebolehan beliau di udara

Kualiti Fellaini sekali lagi akan ditagih Martinez apabila Belgium bertemu Brazil dalam peringkat suku akhir yang bakal berlangsung malam esok. Martinez menghamburkan pujian terhadap Fellaini dan mendakwa setiap jurulatih pasti akan gembira jika mereka memiliki pemain seperti Fellaini.

“Saya rasa Fellaini merupakan pemain yang anda harus bekerjasama untuk mendapatkan hasil yang terbaik daripada beliau. Ramai pihak memandang rendah keupayaan teknikal yang dimiliki Fellaini.”

“Saya berpendapat Fellaini merupakan pemain bola sepak yang memiliki teknik kawalan bola yang lebih baik dari apa yang didakwa banyak pihak.”

Fellaini masuk sebagai pemain gantian ketika bertemu Jepun dan berjaya mengubah perlawanan dengan tandukan beliau

“Fellaini dilahirkan untuk bersaing. Beliau seorang juara. Saya rasa beliau melihat bola sepak sebagai peluang terbaik untuk menunjukkan bagaimana untuk menjalani kehidupan. Bagaimana beliau menilai kehidupan adalan melalui corak permainan beliau.”

“Sebagai seorang pemain berpasukan, Fellaini melihat setiap situasi sebagai ‘pengakhiran dunia’ dan sebab itu beliau bermain seperti seorang pejuang. Beliau merupakan pemain yang setiap jurulatih dan pengurus amat suka untuk miliki dalam skuad mereka.”

Fellaini melakukan debut untuk Belgium pada tahun 2007 dan sejak itu beliau telah mengumpul 18 dari 85 penampilan dalam peringkat antarabangsa.

Di peringkat kelab pula, beliau telah tampil untuk Manchester United sebanyak 150 perlawanan. Ramai beranggapan Fellaini bakal meninggalkan Old Trafford musim panas ini selepas menolak tawaran kontrak dari United awal tahun ini tetapi beliau telah menamatkan segala desas-desus dengan melanjutkan kontraknya bersama United untuk bermain sehingga tahun 2020.

BACA:  Jawatan Kosong: Ketua Jurulatih Dan Pengarah Sukan Belgium