McGregor Menubuhkan Kelab Bola Sepak Selepas Bersara Dari UFC

Baru-baru ini dunia sukan UFC dikejutkan dengan pengumuman dari Conor McGregor yang mahu bersara dari dunia sukan tempur itu.

Ternyata beliau sebenarnya mahu beralih masuk ke dalam dunia bola sepak selepas secara rasminya mengumumkan persaraannya dari dunia UFC.

Menurut sumber laporan media antarabangsa, Conor McGregor bersama salah seorang rakan kongsi beliau di Dublin, telah merancang untuk membentuk sebuah kelab bola sepak amatur di sana.

Liam Flynn merupakan seorang ahli perniagaan yang memiliki kelab malam dan beliau bakal bekerjasama dengan McGregor dalam membentuk sebuah pasukan bola sepak amatur yang akan dinamakan Black Forge.

Kelab yang mereka bina itu akan dimasukkan ke pertandingan Sunday League di Ireland mengikut perancangan awal McGregor dan Liam Flynn.

Ianya merupakan saingan liga amatur yang mana perlawanan hanya akan diadakan pada setiap hujung minggu sahaja.

“Black Forge dengan senang hati ingin mengumumkan bahawa kami akan menjadi sebuah kelab bola sepak dalam masa terdekat. Ia akan dimulakan dengan penubuhan dua pasukan iaitu junior dan senior.”

Tulis Black Forge di laman rasmi Facebook mereka.

“Kami akan mengumumkan tarikh latihan pertama setelah mengumpulkan kesemua pemain untuk pasukan Black Forge.”

Pasukan Black Forge kini turut mengalu-alukan kedatangan mana-mana pemain amatur yang berminat untuk menyertai mereka.

McGregor sendiri sebenarnya tidak asing dengan dunia bola sepak. Sebelum menjadi bintang handalan dalam sukan MMA dan menjadi aset UFC, beliau dilaporkan pernah bermain bola sepak di peringkat amatur.

Conor McGregor dikatakan pernah bermain bola sepak diperingkat amatur bersama pasukan Slieveamon United dan Yellowstone Celtic dalam saingan United Churches League serta Leinster Football League.

McGregor juga sebelum ini secara terang-terangan pernah mengaku bahawa dirinya adalah peminat tegar pasukan setan merah.

Hujung minggu yang lalu, McGregor telah mengejutkan ramai pihak apabila secara rasminya mengumumkan persaraan beliau dari UFC. Namun ramai juga yang tidak percaya dengan kenyataan beliau kerana itu bukan kali pertama beliau berbuat demikian.

Sebelum ini, McGregor juga pernah mengumumkan persaraannya dari dunia UFC sebanyak dua kali iaitu pada tahun 2016 dan 2019.

Menurut McGregor, beliau menyatakan dirinya sudah mulai bosan dan beliau juga sudah tidak berasa seronok di UFC dan ianya menjadi punca beliau mahu bersara dari dunia sukan MMA itu.

Tetapi, Presiden UFC, Dana White mendedahkan bahawa McGregor mengambil keputusan untuk bersara kerana kecewa permintaan beliau untuk bertemu Justin Geathje ditolak.

Tidak pasti sama ada beliau benar-benar bersara dari dunia UFC atau beliau mungkin akan kembali ke gelanggang satu hari nanti.

BACA:  UFC 229: McGregor Mahu 'Rematch', Khabib Mohon Maaf