Media Antarabangsa Mahu Gol Tak Jejak Tanah Safawi Rasid Dicalonkan Untuk Puskas

Media antarabangsa, BR atau Bleacher Report mencadangkan jaringan Safawi Rasid  ketika menentang Kepulauan Solomon pada malam tadi dicalonkan untuk Anugerah Puskas.

Gol tersebut hadir pada minit ke-76 perlawanan dan dianggap unik kerana skil individu pemain itu yang berjaya mengawal bola dengan tahap kesukaran tinggi tidak membenarkan bola menjejak tanah diikuti oleh voli kaki kiri yang berjaya menewaskan penjaga gol lawan, Philip Mango yang cemerlang sepanjang perlawanan.

Berkongsi rakaman Astro Arena, BR Football melalui ciapan di Twitter berkata: “Masukkan gol jaringan pemain Malaysia, Safawi Rasid untuk Puskas.”

Sehingga artikel ini ditulis, ciapan tersebut telah merekodkan lebih 3,000 ulang ciap, 6,470 tanda suka dan disaksikan lebih 447 penonton secara atas talian.

Menentang skuad kebangsaan Kepulauan Solomon yang kini menduduki ranking ke-134 dunia di dalam senarai FIFA, Safawi hanya dimasukkan sebagai pemain gantian pada babak kedua perlawanan oleh pengendali pasukan, Kim Pan-gon.

Strategi jurulatih dari Korea Selatan itu berjaya memberikan pulangan apabila Safawi yang sudah setahun tidak menjaringkan gol untuk pasukan kebangsaan kemudiannya menampilkan magisnya.

Menerima hantaran lintang daripada Lee Tuck dari sebelah sayap kanan serangan, Safawi melakukan first touch mengkagumkan, sebelum melakukan pusingan menewaskan kawalan pertahanan lawan dengan sentuhan kedua, diikuti dengan satu rembatan voli kaki kiri yang menewaskan penjaga gol Kepulauan Solomon, Philip Mango yang beraksi cemerlang sepanjang perlawanan.

Terdahulu skuad Harimau Malaya dikejutkan dengan jaringan awal minit ke-11 pasukan lawan oleh Raphael Le Ai selepas penjaga gol negara, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed tersilap langkah keluar dari posisinya.

Tersentak dengan jaringan tersebut, pasukan negara bermain lebih agresif untuk memburu gol penyamaan dan berjaya mengikat kedudukan melalui pemain naturalisasi, Paulo Josue yang meledak gol sulung antarabangsa bersama Harimau Malaya pada minit ke-40.

Masa kecederaan babak pertama, giliran pemain muda Arif Aiman Mohd Hanapi pula membuka akaun jaringan bersama skuad kebangsaan apabila menyudahkan sepakan penalti selepas dia dijatuhkan pertahanan lawan, Calvin Ohasio.

Selepas itu Kepulauan Solomon beraksi dengan lebih kompak di bahagian pertahanan dan sekali sekala menggunakan kepantasan pemain sayap untuk melancarkan serangan.

Strategi tersebut berjaya menyukarkan pasukan negara untuk melebarkan kedudukan sebelum tiga sentuhan ajaib oleh Safawi Rasid pada minit ke-76 perlawanan menjadikan kedudukan 3-1.

Harimau Malaya berjaya menambah satu lagi jaringan pada masa kecederaan melalui rembatan dari dalam kotak penalti oleh Lee Tuck untuk kedudukan akhir menjadi 4-1.

Kini terpulang kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk menghantar jaringan Safawi untuk dicalonkan kepada FIFA.

BACA:  Senarai Pemain Harimau Muda C Di Kejohanan AFF Bawah 19 Tahun 2015