Meremang Bulu Roma Dengar Ucapan Penuh Semangat Alves Demi Kebangkitan Semula Barca

Dani Alves telah membuat satu kepulangan semula untuk bersama Barcelona bagi bersama-sama menyelamatkan Barcelona dari jatuh ke tahap yang lebih teruk dan mengerikan.

Pemain pertahanan dari Brazil itu telah mengecap pelbagai kejayaan yang gemilang ketika bersama skuad Catalan itu dari tahun 2008 sehinggalah berpisah pada tahun 2016.

Kehadiran Xavi Hernandez yang menggantikan Ronaldo Koeman yang dipecat membuka kembali pintu buat Dani Alves membuat satu kepulangan yang dramatik.

Dani Alves merupakan pemain berstatus free agent selepas meninggalkan Sao Paulo pada bulan september lalu.

Walaupun sudah berusia 38 tahun tiada halangan buat Xavi yang merupakan bekas rakan sepasukan Alves mendapatkan pemain yang kaya dengan pengalaman itu.

Dani Alves buat pertama kalinya menyertai sesi latihan sejak kembali ke Barcelona lantaran cuti rehat untuk aksi kelayakan Piala Dunia.

Petang isnin menjadi satu petang yang penuh emosi buat Alves yang dialu-alukan kedatangan kembali beliau dengan tangan terbuka.

Barcelona telah merakamkan detik itu dan dimuat naik ke media sosial mereka untuk tatapan peminat di seluruh dunia.

Alves yang sudah berstatus legenda kelab telah diberikan kesempatan untuk memberikan ucapan kepada generasi baru Barcelona yang terdiri daripada pemain muda.

Ucapan yang disampaikan Alves sangat ringkas namun mampu membuatkan bulu-bulu termasuk bulu roma tegak dan tegang berdiri kerana semangat luar biasa yang meresapi ucapan itu.

“Sukar untuk berada di sini selepas sekian lama. Kembali ke sini adalah satu penghormatan, satu keseronokan.”

“Untuk dapat berkongsi dengan anda sekali lagi. Aku datang untuk belajar daripada anda, kini dunia baru. Tetapi dari yang lama, aku ingin menyampaikan satu perkara: untuk mengetahui apa yang mewakili kelab ini dan baju ini.”

Dengan rendah diri legenda kelab itu menyatakan beliau datang untuk belajar dengan generasi baru tetapi menegaskan betapa pentingnya bermain untuk lencana di dada.

“Aku telah lama berada di luar negara dan ini adalah tempat terbaik untuk melakukan perkara yang hebat, untuk hidup. Anda berada di sini, hargai kerana tidak ada yang lebih baik di luar.

“Aku tegaskan bahawa ia adalah satu keseronokan untuk berada di sini bersama anda. Ayuh semua lakukan perkara yang hebat kerana kelab ini dibuat daripada sebuah kehebatan.”

Selepas menamatkan ucapannya itu, Dani Alves menerima tepukan gemuruh dari rakan sepasukannya.

Selepas ucapan penuh semangat tanpa berbaur politik itu Dani Alves telah bersua kembali dengan bekas rakan sepasukannya suatu ketika dahulu termasuklah ketua pasukan Sergio Busquets, Sergi Roberto dan Jordi Alba.

Kemudian Dani Alves bertemu dengan insan yang bertanggungjawab membawanya kembali bersama Barcelona, Xavi Hernandez bekas rakan sepasukan yang kini sudah menjadi pengurus.

Dani Alves akan terus berlatih dan memberi tunjuk ajar kepada pemain muda bersama Barcelona dan hanya boleh turun beraksi pada bulan Januari 2022.

Agak pelik juga memikirkan tindakan Barcelona yang membenarkan pemain Brazil ini meninggalkan Catalonia pada tahun 2016 secara percuma dan peluang ini diambil oleh pasukan yang pakar dalam mengambil pemain percuma – Juventus.

Hanya semusim Dani Alves bersama Juventus dengan 33 penampilan dan telah mendakap dua kejuaraan iaitu satu Scudetto dan satu Coppa Italia sebelum menamatkan kontrak dengan persetujuan bersama.

Kemudian Dani Alves telah menyertai Paris Saint Germain (PSG) dengan kontrak dua tahun dan kekal sehingga tamat kontrak lalu menyertai Sao Paolo pada tahun 2019.

Ketika meninggalkan Juventus, Dani Alves telah mengumpulkan 33 kejuaraan dan menambah lagi 6 koleksi kejuaraan bersama PSG dan satu bersama Sao Paolo serta 1 pingat emas Olimpik dan Copa 2019 bersama Brazil.

BACA:  Dani Alves Keluar Penjara Selepas Bayar Wang Jaminan RM5.12 Juta