MFL Guna Budi Bicara Kurangkan Hukuman Ke Atas Selangor

Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) akhirnya berlembut hati dan mengurangkan hukuman yang mereka berikan ke atas Selangor.

Dalam kenyataannya, MFL menyatakan bahawa mereka membuat pertimbangan dan menjunjung kasih dan titah Sultan Selangor.

Sebelum ini Selangor dikenakan hukuman sangat berat kerana menarik diri daripada Piala Sumbangsih menentang JDT.

Hukuman itu termasuk denda RM100,000 dan juga diarahkan beraksi di stadium kosong untuk aksi LS14 menentang JDT di Stadium MBPJ.

Sultan Selangor kemudian menyatakan baginda murka dengan hukuman daripada MFL dan membayangkan bahawa, jika baginda adalah peneraju FAS, pasukan Selangor akan menarik diri daripada bertanding.

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkata: “Beta amat murka dengan keputusan terbaharu MFL ini yang beta anggap tidak bertanggungjawab, dibuat tanpa ihsan, tidak berperikemanusiaan, dan tidak mempamerkan keprihatinan terhadap kezaliman yang berlaku.

“Pada 5 Mei lalu, satu kes jenayah serangan asid yang mengancam nyawa telah menimpa ikon bola sepak Selangor dan Malaysia, Faisal Halim. Beberapa lagi insiden serangan terhadap pemain bola sepak profesional juga berlaku pada minggu yang sama.

“Disebabkan itu, beta telah pun memberi perkenan kepada pihak Selangor FC untuk menghantar permohonan penangguhan perlawanan Piala Sumbangsih kerana para pemain Selangor FC masih dalam keadaan trauma dan ketakutan.

“Bagaimanapun, pihak MFL telah menolak permohonan penangguhan tersebut dan memberi kemenangan 3-0 serta kejuaraan Piala Sumbangsih kepada pihak lawan,” titah Sultan Selangor.

“Beta telah terlibat dalam arena bola sepak tempatan sejak tahun 1968 semasa zaman FAS diterajui oleh Datuk Seri Harun Idris sehingga beta bersara pada tahun 1990, dan dalam tempoh itu belum pernah beta saksikan keadaan seperti sekarang ini.

“Sukan yang sepatutnya menjadi platform perpaduan antara berbilang kaum dan rakyat, kini telah dicemari dengan keganasan. Lebih teruk lagi, MFL dan FAM langsung tidak serius bersuara dan mengambil langkah-langkah berjaga-jaga yang perlu mengenai aspek keganasan dan kezaliman yang berlaku terhadap pemain-pemain,” titah baginda.

“Harus diingat, apa yang berlaku ini bukan sahaja akan mencemar kredibiliti sukan bola sepak di negara ini, malah boleh membunuh semangat dan hala tuju pasukan Selangor FC.

“Beta kini hanya berperanan sebagai Penaung dalam FAS. Namun jika Beta peneraju kepimpinan FAS dan Selangor FC, beta tidak teragak-agak untuk menarik keluar pasukan Selangor daripada Liga Super untuk tempoh masa tertentu,” titah Sultan Sharafuddin.

“Tindakan-tindakan melampau MFL ini langsung tidak melambangkan semangat ini dan hanya akan merosakkan imej industri bola sepak tempatan serta sokongan orang ramai terhadap sukan yang kita cintai ini. Beta ingatkan kepada MFL, buatlah keputusan dengan berhati-hati,” titah baginda lagi.

MFL dengan nada penuh profesional menghormati titah Sultan Selangor itu dan berkata:

“Ahli Lembaga Pengarah Malaysian Football League (MFL) hari ini telah menggunakan budi bicara untuk mempertimbangkan semula keputusan yang dibuat pada 24 Jun 2024 ke atas Selangor FC susulan ketidakhadiran kelab itu ke Perlawanan Sumbangsih yang juga aksi pertama Liga Super menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim pada 10 Mei 2024.

Pertimbangan semula ini dibuat sebagai menjunjung kasih dan menghormati titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Maka, berikut merupakan keputusan-keputusan Ahli Lembaga Pengarah MFL:

1. Denda dikurangkan daripada RM100,000 ke RM60,000.

2. ⁠Bayaran pampasan kerugian yang ditanggung pasukan tuan rumah JDT dan MFL dikekalkan.

a) MFL akan mengumpul maklumat dan kos yang dikemukakan oleh JDT dan Sekretariat MFL sebelum diserahkan kepada Selangor FC untuk semakan dan perbincangan selanjutnya.

3. Pemotongan tiga (3) mata dalam pertandingan Liga Super 2024-2025 dibatalkan.

a) Walaubagaimanapun, jika Selangor FC mengulangi kesalahan yang sama, maka kes ini akan dibawa ke jawatankuasa tatatertib dan hukuman yang lebih tegas dan keras boleh dikenakan.

4. Larangan kemasukan penonton ke perlawanan Liga Super (LS14) melibatkan Selangor FC menentang JDT di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya dibatalkan.

a) Penonton dibenarkan untuk menghadiri perlawanan tersebut.

Tempoh untuk membuat rayuan adalah selama tiga (3) hari daripada tarikh surat ini (27 Jun 2024) seperti yang termaktub dalam Aturan 4, Kaedah 3, Kaedah-kaedah Badan Penguatkuasa Peraturan, Manual Liga Malaysia.”

BACA:  MFL Perkenal Piala iflix Yang Bakal Menemukan Pasukan Pilihan Peminat Dari Selatan & Utara