Sudah setahun lebih pasukan yang bermain di Liga Malaysia – Super dan Perdana – telah bermain dalam keadaan stadium yang kosong tanpa kehadiran penyokong. Perkara ini mungkin biasa dihadapi oleh pasukan seperti ATM, PDRM atau Felcra FC, tetapi bagi pasukan biasa, ini adalah satu kecanggungan.
Tambahan pula, tanpa kehadiran penyokong ke stadium, kantung kewangan pasukan yang bertanding juga semakin menipis. Ada beberapa pasukan di Liga Perdana yang bertindak bijak dengan mendapatkan kebenaran daripada MFL untuk menyiarkan perlawanan mereka secara langsung di atas talian dan dapat menjana sedikit pendapatan dari situ, tetapi suasana sepi di stadium boleh diibaratkan bermain bola sepak petang-petang sahaja, sehingga kawan kentut di bangku simpanan pun boleh didengari satu stadium.
Pada awal musim ini, penyokong yang tinggal di kawasan berstatus Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) telah dibenarkan hadir ke stadium dengan kapasiti 10 peratus atau maksimum 2000 orang.
Manakala penyokong di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pula dibenarkan sebanyak 25 peratus kapasiti stadium atau 8000 orang maksimum.
Sejak aksi liga kembali bersambung pada 24 Julai, tiada penonton yang dibenarkan untuk hadir ke stadium selepas arahan Fasa 1 Perintah Kawalan Pergerakan Menyeluruh diumumkan pada 1 Jun yang lalu.
MFL KEMUKA PERMOHONAN PENYOKONG KE STADIUM
Presiden MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan, meletakkan harapan agar penyokong dapat kembali hadir ke stadium apabila merancang untuk mengemukakan permohonan dalam masa terdekat kepada MKN.
Baca lanjut ➡ https://t.co/RlVryNW9Cq pic.twitter.com/2J50mZ3cY6
— Malaysian Football League (@MFL_MY) August 18, 2021
Justeru, pengendali Liga Malaysia – Malaysia Football League (MFL) telah merancang untuk mengemukakan permohonan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) agar dibenarkan para penyokong kembali ke stadium.
Perkara ini telah disahkan oleh Presiden MFL yang baru, Dato’ Ab Ghani Hassan, dalam satu artikel yang dikeluarkan di laman portal MFL.
Dalam permohonan yang dicadangkan, hanya penyokong yang telah menerima dua dos vaksin sahaja diterima masuk ke stadium, mengambil langkah seperti mana yang diamalkan di liga-liga utama Eropah seperti Liga Perdana Inggeris dan La Liga.
“Memang kelihatan bahawa liga luar seperti EPL (Liga Perdana Inggeris), stadium sudah penuh dengan penonton. Saya dalam hal ini telah bersedia untuk mengemukakan surat permohonan agar dibenarkan penyokong dapat kembali ke stadium.
“Kelonggaran ini melibatkan individu di mana yang mereka sudah lengkap dua dos dan mereka perlu membuktikan melalui sijil vaksinasi di aplikasi MySejahtera semasa di pintu pagar stadium bersama tiket.
“MFL tidak minta banyak iaitu sekurang-kurangnya mengekalkan peratus yang sama masuk ke dalam stadium seperti mana sebelum ini atau mungkin ditingkatkan lagi agar dapat memeriahkan perlawanan serta melegakan penyokong-penyokong di Liga Malaysia.
“Insya Allah kita harap MKN dapat mempertimbangkan dengan sewajarnya dengan apa yang kita mohonkan ini,” katanya pada sidang media pertama selaku Presiden MFL secara atas talian, pada Rabu.
Permohonan ini sekiranya diluluskan bakal membantu sedikit pasukan yang bertanding di liga utama negara. Lagi pula dengan kadar vaksinasi yang mencanak naik di kalangan penduduk di Malaysia, kelulusan wajar diberikan kepada penonton di kawasan berfasa 2 dan ke atas.
Pada masa yang sama, Ab Ghani juga berharap tiada lagi kes positif direkodkan susulan perlawanan antara pasukan Kedah Darul Aman (KDA) dan Kuching City FC.
Ini kerana segala SOP pergerakan serta perjalanan keseluruhan Liga Malaysia dikawal selia sepenuhnya oleh MKN.
Walaubagaimanapun, MFL, menerusi Kementerian Belia dan Sukan telah memohon kepada MKN supaya pemain yang disahkan positif sahaja diperintahkan menjalani kuaranin seperti yang diamalkan di liga-liga negara luar.
“Harap tiada lagi kes positif dalam kalangan pemain kerana apabila terjadi, maka MFL terpaksa menangguhkan perlawanan sehingga 14 hari serta terpaksa beri tujuh hari tambahan untuk pasukan berlatih, jadi sudah 21 hari. Kedah terpaksa menunda lima perlawanan sementara Kuching sebanyak tujuh perlawanan.
“Jika berlaku lagi, maka sukar untuk MFL dan kami telah beri amaran keras agar semua pasukan menjaga SOP pemain serta perlu bertanggungjawab.
“MFL telah menghantar surat untuk memohon agar yang positif sahaja dikuarantin tetapi atas dasar indeks kes yang tinggi pada masa sekarang, permohonan itu telah ditolak.
“Bagaimanapun, MFL akan mohon lagi sebab majoriti pasukan telah divaksin dan kelonggaran ini dapat diberikan bila sudah ada dua dos vaksin, maka saya harap MKN dapat pertimbangkan.”
Sumber : MFL