Suatu kelainan dilakukan Malaysian Football League (MFL) untuk saingan 2019 apabila memperkenalkan satu pertandingan baru yang diberi nama Piala iflix.
Pengumuman tersebut dibuat dalam satu majlis yang berlangsung hari ini sempena pengumuman pasukan yang bertanding dalam Liga Super dan Liga Perdana bagi tahun 2019.
Dengan mengambil konsep daripada perlawanan ‘NBA All-Star Game’ di Amerika Syarikat, satu pasukan masing-masing dari Utara dan Selatan akan dipilih peminat bola sepak tanah air untuk berentap dalam satu perlawanan penentuan bagi merebut Piala iflix.
Perlawanan tersebut dijangka akan dilakukan pada pertengahan tahun ini, tetapi buat permulaan ia tidak akan dilakukan di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Lebih mengujakan dalam pengenalan Piala iflix, peminat-peminat diberikan kuasa sepenuhnya untuk menentukan pemain bertaraf bintang serta jurulatih bagi membentuk satu pasukan.
Bagaimanapun mekanisme menentukan pemain daripada 24 pasukan Liga Malaysia bagi mewakili pasukan zon Utara dan Selatan masih dalam proses perbincangan.
Ketua Pegawai Pemasaran iflix, Jason Monteiro yakin peminat-peminat di Malaysia akan dapat menerima konsep baharu perlawanan yang memiliki persamaan dengan konsep bola keranjang di Amerika Syarikat itu.
“Kami ingin menghidupkan semangat bola sepak Malaysia dengan pelbagai aktiviti seperti persembahan artis secara langsung, permainan interaktif dan banyak lagi. Piala iflix bakal menjadi festival bola sepak yang sesuai untuk seisi keluarga.
“Inspirasi dan objektif Piala iflix hadir ketika Malaysia Football League (MFL) bertemu dengan kami, mereka menyedari kami bukan sahaja menyediakan siaran langsung siaran bola sepak tetapi juga sebagai platform hiburan terbaik di Malaysia.
“Jadi idea Piala iflix ini wujud disebabkan dua perkara ini iaitu kami mahu lebih banyak aktiviti untuk mendekatkan diri dengan peminat tempatan dan mahu mereka merasai pengalaman memiliki kuasa untuk menentukan pemain, jurulatih, format atau sebagainya.
“Namun masih banyak perkara kami perlu pertingkatkan tetapi sudah pasti peminat-peminat berpeluang untuk memilih pemain-pemain terbaik di mata mereka sendiri.
“Dalam masa yang sama, ia juga bukan sahaja melibatkan perlawanan bola sepak tetapi Piala iflix turut menjadi acara hiburan melibatkan konsert, perlawanan sesama artis, permainan dan ia turut menjadi satu acara santai bagi semua peminat-peminat yang mana konsep ini seakan-akan sama seperti perlawanan bola keranjang di Amerika Syarikat,” kata Jason dalam majlis pelancaran logo baharu MFL ketika ditemui di Hotel Saujana Subang, hari ini.
Sementara itu, Jason meramalkan Stadium Nasional Bukit Jalil tidak akan menjadi venue untuk debut Piala iflix musim ini tetapi beliau memberikan jaminan gelanggang berskala besar akan disedia jika mendapat sambutan lebih hangat.
“Mungkin kami akan bermula dengan stadium berskala kapasiti rendah kerana ia masih merupakan konsep baharu untuk rakyat Malaysia dan kami mungkin menggunakan venue besar tetapi ia mungkin bukan Stadium Nasional tetapi semua itu masih dalam perancangan iflix.
“Harapan saya adalah mahu melihat peminat-peminat terhibur, gembira dan lebih dekat dengan bola sepak Malaysia bersama iflix.
“Ini bukan satu perlawanan mengaut keuntungan sebaliknya kami mahu lebih menggalakkan peminat-peminat yang mana bukan sahaja penyokong-penyokong bola sepak tetapi kepada semua rakyat Malaysia dapat menikmati aktiviti ini,” tambah Jason.
Kredit: Malaysian Football League (MFL)