Mohamed Salah Mahu Menang Trofi Bersama Liverpool

Pemain sensasi Liverpool, Mohamed Salah berazam mahu membantu pasukannya mengakhiri kemarau kejuaraan Liga Perdana Inggeris dan percaya prestasi semasanya boleh membantu Liverpool memenangi sesuatu musim ini.

Penyerang antarabangsa Egypt ini berjaya mempamerkan prestasi yang menakjubkan walaupun baru sahaja menyertai Liverpool Ogos lalu. Beliau berjaya menjaringkan 20 gol dalam semua pertandingan sejak berpindah AS Roma.

Pembelian terbaik musim ini ?

Liverpool kini berada di kedudukan ke-4 liga, 18 mata ditinggalkan pendahulu liga, Manchester City. Walaupun jauh ditinggalkan, Liverpool dianggap satu-satunya pasukan yang berjaya menampilkan bolasepak cantik seperti dilakukan oleh skuad Pep Guardiola musim ini.

Salah ketika ditemuramah Skysports, berkata beliau mahu menterjemahkan prestasi semasa yang ditunjukkan Liverpool ketika ini kepada trofi.

“Kami bekerja sangat keras setiap hari untuk memenangi sesuatu dan saya sangat yakin kami akan menang trofi musim ini. Saya selalu berkata yang saya hanya mahu memenangi trofi bersama Liverpool.”

“Saya menyertai Liverpool untuk memenangi kejuaraan. Saya mahu memenangi sesuatu bersama kelab ini untuk peminat khususnya. Saya mahu sangat memenangi sesuatu di sini.”

Rakan baik dalam dan luar padang. Bukan kunyit

Prestasi menakjubkan ditampilkan Salah akhirnya mendapat perhatian Konfederasi Bolasepak Afrika (CAF) dan terbaru,  Salah telah dicalonkan untuk anugerah Pemain Terbaik Afrika oleh badan bolasepak tersebut, dan bakal bersaing dengan rakan sepasukannya di Liverpool, Sadio Mane yang juga pemain antarabangsa Senegal. Bintang Dortmund, Pierre-Emerick Aubameyang juga dicalonkan untuk anugerah sama yang bakal diumumkan 4 Januari nanti.

Walaupun bersaing untuk merebut anugerah yang sama, tiada sebarang persengketaan yang berlaku di antara Salah dan Sane sama ada di dalam atau pun luar padang. Salah turut memuji kualiti yang ada pada Mane dan berkata mereka berdua adalah kawan yang rapat.

“Mane merupakan kawan saya. Kami juga sangat rapat. Mungkin beliau pemain paling rapat dengan saya dalam pasukan ini. Kami berkawan baik. Mane adalah seorang yang baik dan pemain yang fantastik. Beliau memiliki kelajuan yang pantas dan mempunyai keyakinan yang tinggi.”

Hero Egypt ini mahu bantu Liverpool memenangi Liga Perdana Inggeris pada masa hadapan

“Saya sangat gembira untuk berkongsi segalanya di Afrika bersama beliau, jadi apabila mendapat tahu Mane turut dicalon untuk anugerah Pemain Terbaik Afrika, saya turut berasa gembira.”

Liverpool bakal menyambung aksi Liga Perdana Inggeris hujung minggu ini dengan membuat kunjungan ke Stadium Emirates untuk bertemu Arsenal. Pemain Liverpool sedar mereka tidak mampu kalah dalam perlawanan tersebut andainya tidak mahu melepaskan kedudukan ke-4 liga yang dihuni Liverpool ketika ini. Arsenal berpeluang merampas kedudukan ke-4 liga jika mereka berjaya menewaskan Liverpool.

BACA:  Liverpool Sudah Rancang Perarakan Kemenangan Liga Juara-Juara Eropah