Monaco Pecat Henry Walaupun Baru Mengambil Alih Pasukan Selama 3 Bulan

Pasukan bergelut, Monaco mengumumkan mereka telah ‘merehatkan’ Thierry Henry dari jawatannya sebagai pengurus pasukan sehingga keputusan akhir dicapai mengenai masa depan pengurus tersebut.

BBC Sports difahamkan Henry sebenarnya sudah dipecat dari jawatannya dan tindakan menggantung Henry dari tugasnya hanyalah mengikut prosedur sahaja. Henry juga dilaporkan telah mengemaskan semua barang-barangnya dan telah meninggalkan kelab tersebut.

3 bulan diberi kepada Henry untuk mengubah nasib Monaco tetapi malangnya beliau gagal dalam tugas tersebut.

Bekas pemain Arsenal dan Barcelona itu baru sahaja menjadi pengurus pasukan tersebut pada Oktober 2018. Beliau masuk menggantikan Leonardo Jardim yang bergelut dalam zon relegasi pada ketika itu.

Walau bagaimanapun, Henry dilihat gagal membawa perubahan dalam skuad Monaco dan hanya mampu meraih 5 kemenangan dalam semua pertandingan sejak Henry mengambil alih pasukan itu.

Menariknya, Jardim dilaporkan bakal kembali ke Monaco untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan Henry dan Monaco dijangka mengumumkan kepulangan Jardim dalam masa terdekat ini.

Leonardo Jardim bakal kembali menguruskan Monaco. Ke laut dalam kah Monaco musim ini ?

Buat masa sekarang, pembantu pengurus Frank Passi akan mengambil alih sesi latihan pasukan buat sementara waktu sementara kelab mengumumkan pengurus baru. Passi pernah menjadi pengurus sementara untuk Marseille dan Lille sebelum ini.

Ini merupakan kali pertama Henry menceburkan diri dalam bidang pengurusan sebagai pengurus. Sebelum ini beliau menjadi pembantu kepada Roberto Martinez dalam skuad kebangsaan Belgium.

Sebelum dilantik menjadi pengurus Monaco, Henry juga dikaitkan dengan jawatan pengurus di Aston Villa tetapi memilih untuk memulakan karier pengurusannya bersama kelab pertama beliau iaitu Monaco.

Frank Passi (kanan) akan mengambil alih pasukan buat sementara

Malangnya, percaturan Henry tidak berjalan seperti yang dirancang. Beliau gagal membawa sebarang perubahan positif dalam skuad Monaco musim ini dan terbaru, beliau terpaksa meminta maaf kerana menggunakan bahasa kasar untuk menghina pemain pertahanan Strasbourg, Kenny Lala ketika Monaco dibelasah 5-1 pada hujung minggu lalu.

Dalam sidang media terakhir Henry sebagai pengurus Monaco, beliau mengumumkan akan melakukan perubahan drastik dalam pasukannya menjelang pertemuan menentang Dijon hujung minggu ini.

“Kami perlukan pemain yang mahu menyelamatkan kelab ini, yang tidak hanya memikirkan diri sendiri. Kami akan pergi berperang.”

“Anda akan lihat nanti [apabila ditanya siapa yang Henry akan tinggalkan].  Terdapat banyak sangat nama untuk disebut.”

Gary Neville dan Thierry Henry. Dua-dua kaki sembang lebat

Sepanjang menguruskan Monaco, Henry gagal memenangi sebarang perlawanan di tempat sendiri. Perlawanan terakhir Monaco di Stade Louis II berakhir dengan kekalahan memalukan di tangan pasukan Ligue 2, Metz dalam saingan Coupe de France.

Henry juga hanya mampu membimbing Monaco mencapai 2 kemenangan dari 12 perlawanan Ligue 1 yang beliau harungi setakat ini.

BACA:  Henry Bukan 'G.O.A.T' Dalam Saingan Premier League