Takumi Minamino Sah Menyertai Monaco Dengan Yuran Perpindahan Bernilai £15.5 Juta

Takumi Minamino secara rasminya telah melengkapkan perpindahan beliau menyertai AS Monaco dengan yuran perpindahan bernilai £15.5 juta.

Beliau merupakan pemain Asia pertama yang beraksi bersama Liverpool dan walaupun kariernya di Anfield tidak panjang, namun Minamino tetap meninggalkan sejarah yang akan terus dikenang oleh peminat.

Beliau ditandatangani dari Red Bull Salzburg pada jendela perpindahan Januari tahun 2020 yang lalu dengan yuran perpindahan bernilai €8.50 juta.

Sepanjang kariernya bersama Liverpool, Minamino telah membuat 55 penampilan dengan beliau turut berjaya menjaringkan 14 gol dan mencatatkan 3 assists sepanjang tempoh tersebut.

Walau nama beliau tidak disebut-sebut seperti bintang penyerang lain, namun harus diakui yang Minamino juga turut memberikan impak yang sungguh dasyat untuk skuad kendalian Jurgen Klopp itu.

Beliau merupakan individu penting yang membantu Liverpool untuk menjuarai dua piala pada musim ini.

Takumi Minamino merupakan wira penting yang membantu Liverpool untuk layak ke perlawanan akhir dalam saingan Carabao Cup dan FA Cup musim lalu.

Beliau juga merupakan penjaring terbanyak dalam kedua-dua pertandingan tersebut.

Memandangkan beliau sukar untuk mendapat tempat dalam kesebelasan utama Liverpool, maka Minamino lebih memilih untuk meninggalkan Anfield pada musim panas ini.

Beliau berjaya menarik minat beberapa kelab sebelum ini, namun akhirnya bersetuju untuk menyertai Monaco dan urusan perpindahan beliau telah dimuktamadkan pada minggu ini.

Seperti yang ditulis di atas, Minamino sememangnya layak untuk dianggap sebagai antara legenda kelab atas sumbangan dan persembahan yang beliau persembahkan.

Minamino selamatkan maruah Liverpool musim lalu

Liverpool pada musim lalu sebenarnya hampir mencipta sejarah baru dalam dunia bola sepak Inggeris dengan mereka berpotensi untuk menjadi pasukan pertama memenangi gelaran quadruple.

The Reds pada hujung musim berjaya bersaing rapat dengan Manchester City untuk merebut gelaran Premier League dengan kedua-dua pasukan hanya dipisahkan dengan jurang satu mata sahaja.

Skuad kendalian Jurgen Klopp itu juga beraksi sangat cemerlang dalam saingan Champions League dengan mereka berjaya untuk layak ke perlawanan akhir.

Minamino dan Origi sementara itu menjadi nadi penting untuk skuad Liverpool di pentas pertandingan domestik dengan gol jaringan mereka berjaya membawa The Reds ke pentas perlawanan akhir kedua-dua Carabao Cup dan FA Cup.

Malang untuk Liverpool, dari kononnya mereka bakal memenangi gelaran quadruple, mereka akhirnya terlepas dua piala utama Premier League dan Champions League.

Mujur saja mereka sudah berjaya mengesahkan dua Piala lebih awal dan jelas sekali kedua-dua piala itu dimenangi hasil usaha dan bantuan dari Minamino dan Origi.

Oleh yang demikian, Liverpool berjaya menutup malu terlepas gelaran quadruple dengan memenangi gelaran double pada musim lalu.

Jentera serangan Liverpool semakin padu

Selepas kehilangan Sadio Mane, Divock Origi dan Takumi Minamino, Liverpool dijangka akan berdepan masalah kekurangan pemain di posisi serangan.

Walau bagaimanapun, hal itu sama sekali tidak difikirkan oleh mereka, memandangkan Liverpool selepas ini bakal memiliki jentera serangan yang lebih padu.

Selepas berjaya melengkapkan pembelian Luis Diaz dari Porto pada Januari lalu, Liverpool pada musim panas ini berjaya melengkapkan penandatanganan penyerang sensasi dalam dunia bola sepak hari ini, Darwin Nunez dari Benfica.

Para peminat sebenarnya sudah tidak sabar mahu melihat bagaimana impak pembelian Nunez kerana beliau sememangnya mempunyai reputasi yang sangat dasyat.

Beliau dikatakan bakal mencipta gandingan yang luar biasa menakjubkan bersama Luis Diaz, Mohamed Salah, Diogo Jota dan Roberto Firmino.

Liverpool juga turut berjaya melengkapkan pembelian Fabio Carvalho dari Fulham dan bintang muda berusia 19 tahun itu dikatakan bakal bersinar di bawah kendalian Jurgen Klopp.

BACA:  Kenali LASK, Kelab Austria Yang Meraikan Perlawanan Menentang Liverpool