Neville: Diego Simeone Calon Paling Sesuai Gantikan Arsene Wenger

Bekas pemain Manchester United, Gary Neville berkata Diego Simeone adalah individu yang paling sesuai untuk mengembalikan zaman kegemilangan Arsenal dan tidak percaya kelab seperti Arsenal tidak mempunyai pelan untuk menggantikan tempat Arsene Wenger.

Simeone sering dikaitkan untuk menggantikan tempat Wenger beberapa tahun sebelum ini tetapi menurut laporan terbaru, bekas pengurus Barcelona Luis Enrique dikatakan calon pilihan untuk mengisi kerusi panas yang bakal kosong hujung musim ini.

Diego Simeone mampu membawa pasukan mencapai kejayaan dengan bajet yang ciput. Sesuatu yang disukai pihak atasan Arsenal yang kedekut

Pengurus berusia 68 tahun itu menggemparkan dunia bolasepak apabila mengumumkan beliau akan meletakkan jawatan pada hujung musim ini dan mengakhiri pertalian 22 tahun bersama The Gunners.

Perletakan jawatan Wenger turut didorong oleh kritikan dan bantahan berterusan daripada segelintir peminat Arsenal yang mahu beliau berundur kerana pencapaian pasukan yang mengecewakan beberapa tahun kebelakangan ini.

Dalam beberapa perlawanan terakhir di tempat sendiri, bilangan penyokong yang hadir untuk menyaksikan perlawanan merudum dengan teruk dipercayai sebagai tanda protes terhadap prestasi pasukan yang mengecewakan.

Gary Neville yang kini bertugas sebagai penganalisa bolasepak di Skysports percaya pengendali Atletico Madrid, Diego Simeone memiliki ramuan yang cukup lengkap untuk memacu Arsenal meraih kejayaan pada masa hadapan berdasarkan trek rekod cemerlang beliau di Sepanyol.

“Luis Enrique adalah calon pilihan ketika ini tetapi saya ingin bertanya satu soalan. Jika dilihat dari segi bolasepak, siapakah individu paling sesuai untuk menggantikan tempat Arsene Wenger di Arsenal ?”

Tetapi Luis Enrique calon pilihan untuk mengisi kerusi panas Emirates

“Betul, Luis Enrique adalah pengurus yang berjaya tetapi sekarang kita sedang berbincang mengenai betapa bagusnya peluang untuk menguruskan Arsenal. Jadi apakah sebenarnya peluang di sini ?”

“Peluang yang dimaksudkan, adalah untuk membawa Arsenal kembali bermain dalam Liga Juara-Juara? Atau peluang untuk membuatkan Arsenal memenangi Liga Juara-Juara ?”

“Jika mereka mahu memenangi Liga Perdana Inggeris, Arsenal memerlukan dua perkara ini ketika memilih pengurus yang seterusnya.”

“Arsenal memerlukan pengurus yang mampu membuatkan pasukan bermain lebih dari kemampuan mereka. Perkara kedua adalah lembaga pengarah Arsenal perlu menyaingi perbelanjaan pasukan kaya seperti Manchester City, Manchester United, dan Chelsea.”

“Tetapi saya tidak rasa perkara kedua itu akan berlaku. Jadi mereka perlukan pengurus yang mampu membuatkan pasukan bermain di luar kemampuan mereka. Jadi saya rasa calon paling tepat untuk melakukan perkara tersebut adalah pengurus Atletico Madrid, Diego Simeone.”

“Dari musim ke musim, beliau berjaya membimbing Atletico Madrid untuk mencabar setiap kejohanan yang mereka sertai. Bukan hanya Liga Juara-Juara, tetapi juga dalam saingan La Liga.”

“Beliau berjaya membina pasukan yang mampu bersaing dengan bajet yang besar, tetapi tidak sebesar bajet Barcelona atau Real Madrid.”

Simeone dijulang pemainnya ketika membantu Atletico Madrid menjuarai La Liga pada tahun 2014.

“Apa pengurus Arsenal yang seterusnya perlu lalui adalah untuk bersaing dengan Manchester City, Manchester United, dan Chelsea dari segi kewangan. Pasukan-pasukan ini membelanjakan £150juta, £200juta setiap musim untuk memperkuatkan skuad masing-masing.”

“Jadi, jika anda mahu bersaing dengan pasukan tersebut, Arsenal memerlukan pengurus yang mampu melakukannya. Buat masa sekarang di Eropah, Simeone adalah individu tersebut. Beliau telah melakukannya secara konsisten bersama Atletico Madrid.”

Untuk rekod, pengurus yang berasal dari Argentina ini telah berjaya membawa Atletico Madrid memenangi satu kejuaraan La Liga disamping mara ke dua perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah.

Arsenal berpeluang untuk mengenali Simeone lebih dekat apabila kedua-dua pasukan bakal berentap dalam pusingan separuh akhir Europa League awal pagi Jumaat nanti.

BACA:  Senarai Pemain Terbaik Sepanjang Zaman Arsenal