Neymar Dilayang Kad Merah dan Sambung Bertumbuk Dalam Terowong

Neymar telah dilayangkan kad merah selepas memberi reaksi balas kepada kekasaran yang dilakukan pemain Lille dan insiden ini tidak tamat disitu apabila mereka sambung bertumbuk di dalam terowong.

Bintang bola sepak dunia dari Brazil itu tidak pernah sunyi dari insiden bukan-bukan di padang yang kadang-kala memberi impak yang buruk kepada pasukan.

Sejak tahun 2020 Neymar yang menjadi pemain harapan dan tonggak pasukan Paris Saint-Germain (PSG) telah dibuang padang sebanyak tiga kali

Kad merah terbaru ini melibatkan Neymar yang kini berusia 29 tahun dengan pemain pertahanan Lille, Tiago Djalo dalam saingan liga Perancis, Ligue 1.

Insiden ini terjadi dipenghujung perlawanan antara pasukan Paris Saint-Germain bertemu Lille, satu perlawanan yang panas kerana pasukan yang menang akan gayat di carta Ligue 1.

Tepat pada minit ke-89 di stadium Parc des Princes dan ketika itu PSG masih ketinggalan kepada Lille dengan satu jaringan.

Neymar telah membawa bola di tepi padang dan dikejar rapat oleh pemain pertahanan Lille, Tiago Djalo. Neymar yang laju berlari berhenti tiba-tiba.

Ini menyebabkan Tiago Djalo terlajak ke depan namun sempat menyauk dengan harapan mendapat bola tapi betis Neymar menjadi mangsa.

Neymar terjatuh namun terus bangkit untuk mendapatkan bola, Tiago Djalo kembali menghimpit untuk merampas bola dan bola keluar.

Tiago Djalo terus memegang bola, Neymar yang koyak kerana ketinggalana datang dan terus menolak Tiago Djalo dengan keras sehingga terus jatuh ke tanah.

Pengadil datang dengan penuh bergaya dan melayangkan kad kuning kedua seterusnya kad merah kepada Neymar kerana kekasaran yang dilakukan.

Tiago Djalo juga tidak terlepas kerana bentesan yang menjadi punca kekasaran lalu dilayangkan kad kuning kedua juga dan dihalau keluar bersama Neymar.

Satu tindakan tidak pandai dan tidak masuk akal dari pemain profesional apatah lagi pemain berstatus bintang seperti Neymar yang memegang rekod pemain termahal dunia ketika ini.

Insiden tersebut tidak berakhir dengan kad merah sahaja, ketika dalam perjalanan meninggalkan padang Neymar masih tidak berpuas hati.

Neymar dan Tiago Djalo dilihat masih bertengkar dan mungkin saling memaki hamun ketika mahu memasuki terowong untuk ke bilik persalinan.

Melalui rakaman video yang ada dalam terowong tersebut, Neymar telah menolak kepala Tiago Djalo yang menaikkan kemarahan pertahanan Lille itu.

Tiago Djalo cuba untuk membalas namun dihalang oleh pegawai pasukan, Neymar juga cuba menyerbu untuk menyerang namun sempat dihalang dan ditarik ke bilik persalinan.

Aksi pergaduhan tersebut seperti aksi yang selalu dapat dilihat dalam rancangan World Wrestling Entertainment (WWE) tapi itu semua seni lakonan pentas tapi Neymar dan Tiago Djalo adalah asli.

Setakat ini tidak dapat dipastikan lagi apakah intipati pertelingkahan mulut antara kedua-dua pemain sehingga membawa kepada pergaduhan fizikal.

Namun apa yang pasti, Neymar dan Tiago Djalo akan menerima hukuman penggantungan dari kad merah dan penggantungan tambahan mungkin akan menyusul selepas pergaduhan terus berlarutan.

Satu perkara membimbang membabitkan disiplin Neymar yang kini telah di buang padang sebanyak 3 kali dalam 14 perlawanan terakhir di Ligue 1 sejak tahun 2020.

Kemenangan tipis 1-0 ini membolehkan Lille memanjat tangga teratas Ligue dengan kelebihan tiga mata dihadapan Paris Saint-Germain yang hanya satu mata di atas Monaco.

Gol kemenangan Lille telah dijaringkan oleh Jonathan David yang menyempurnakan hantaran Jonathan Ikone diseparuh masa pertama selepas 20 minit permainan berlangsung.

Perlawanan ini sememangnya panas apabila 12 kad kuning dan dua kad merah dilayangkan dengan tujuh daripada kad kuning itu menjadi milik Paris Saint-Germain.

BACA:  Presiden Brazil Sindir Neymar Selepas Messi Menang Ballon d'Or