Debut Neymar Bersama Al Hilal Kekal Misteri Kerana Alami Kecederaan

Walaupun sudah bermain bunga api dan disambut dengan penuh penghormatan termasuk pertunjukkan dron yang menggemparkan lagit di Riyadh, debut Neymar bersama Al Hilal kekal misteri kerana terpaksa ditangguhkan.

Satu perkara yang pasti debut Neymar bersama Al Hilal tidak berlaku dalam perlawanan menentang Al Feiha pada hujung minggu lalu.

Debut bintang Brazil itu turut tidak akan berlaku pada Khamis ini. Sebaliknya Al Hilal sendiri tidak tahu bilakah Neymar mampu melakukan penampilan pertamanya bersama mereka setelah didakwa mengalami kecederaan.

“Neymar adalah salah seorang pemain terbaik dunia pada hari ini dan saya pasti dia akan menyumbang kepada pasukan,” kata Ketua Jurulatih Al Hilal, Jorge Jesus.

“Dia mengalami kecederaan ringan yang menyebabkan dia tidak boleh berlatih sejak beberapa hari yang lalu.

“Tempoh dia akan kembali tidak diketahui, dan pada masa yang sama saya tidak pasti mengapa Neymar tetap mendapat panggilan menyertai skuad Brazil.”

Kecederaan Neymar sudah tentu mengejutkan Al Hilal dan penyokong kelab itu juga sebenarnya sudah tidak sabar untuk melihat aksi dan kelibat pemain itu di atas padang.

Dalam sidang media yang sama Jesus turut mengesahkan secara rasmi kelab itu berjaya membawa masuk Aleksandr Mitrovic daripada Fulham.

Penyerang antarabangsa Serbia itu sudah pasti akan memperkuatkan jentera serangan kelab Arab Saudi itu pada musim ini.

Pada Sabtu lalu Al Hilal turut memperkenalkan Yassine Bono yang menyertai kelab itu dari Sevilla dengan nilai 20 juta euro.

Pada masa ini Al Hilal berada di kedudukan ke-6 Saudi Pro League dengan empat mata daripada dua perlawanan.

BACA:  Hilang Akal Neymar Lihat Guendouzi Berlakon Depan Pengadil