Neymar Beri Kredit Kepada Cristiano Ronaldo Kerana Berjaya Transformasikan Liga Arab Saudi

Neymar berpendapat Cristiano Ronaldo adalah individu penting yang bertanggungjawab membawa transformasi ke Saudi Pro League.

Perpindahan pemain antarabangsa Brazil itu bakal menyaksikan pertembungan dengan bintang Portugal itu – dijadualkan pada November hadapan – yang menjadi antara tarikan baharu bola sepak di negara Timur Tengah itu.

Neymar yang kini berusia 31 tahun menandatangani kontrak selama dua tahun bersama kelab berpengkalan di Riyadg itu selepas enam tahun bersama Paris Saint-Germain.

Ronaldo adalah pemenang Ballon d’Or sebanyak lima kali, menyertai Al Nassr pada Disember lalu dengan kontrak 2 tahun setengah setelah memutuskan untuk meninggalkan Manchester United.

“Saya percaya Cristiano Ronaldo memulakan semua ini dan semua orang bertanggapan dia sudah gila. Dan kemudian semua ini [tarikan untuk ke Arab Saudi] berlaku.

“Pada hari ini anda melihat bagaimana liga bola sepak di sini terus berkembang,” kata Neymar dalam temubual pertamanya sejak melengkapkan perpindahan tersebut pada Rabu lalu.

Sejak ketibaab Ronaldo, Saudi Pro League telah membelanjakan lebih daripada €600 juta untuk membawa masuk ramai pemain dan pengurus ternama dari Eropah.

Antara nama-nama besar bintang bola sepak dunia yang kini beraksi di Saudi Pro League adalah seperti bekas penyerang Real Madrid Karim Benzema, bekas kapten Liverpool Jordan Henderson dan Riyad Mahrez yang sebelum ini beraksi bersama Manchester City.

“Ia amat mengujakan, melihat pemain berkualiti di dalam pasukan lawan akan membuatkan anda bersemangat dan memberi motivasi untuk anda bermain lebih baik.

“Dan apabila anda berhadapan pemain seperti Ronaldo, Benzema, (Roberto) Firmino, keterujaan itu akan menjadi lebih hebat,” kata Neymar.

Selain Neymar Al Hilal turut melantik semula pengurus Portugal Jorge Jesys dengan kontrak setahun, selain turut membawa masuk bekas kapten Wolves Ruben Neves.

Kelab itu sebelum ini turut berjaya memancing pemain antarabangsa Serbia Sergei Milinkovic-Savic, pemain pertahanan Senegal Kalidou Koulibaly dan penyerang Brazil Malcolm.

“Saya berpendapat ia amat penting untuk memiliki kualiti di dalam skuad. Sangat jelas ia akan membantu anda membuat keputusan penting di dalam karier. Itulah yang berlaku kepada saya.

“Saya amat gembira untuk menulis kisah baharu [dalam karier] mengejar cita-cita bagaru bersama kelab dan rakan sepasukan di sini – untuk menang lebih banyak dan mengumpul kejuaraan, selain mencapai impian yang kelab tetapkan.

Al Hilal akan menjadi tuan rumah kepada Al Feiha di dalam saingan Saudi Pro League pada Sabtu hadapan di mana Neymar dijangka akan melakukan penampilan kompetitif pertamanya bersama kelab itu.

BACA:  Ronaldo Mahu Tinggalkan Juventus Dan Bakal Sertai PSG Atau Kembali Ke Santiago Bernaneu