Neymar Mahu Bersara Selepas Piala Dunia Qatar

Bintang Brazil, Neymar jelas sekali merupakan seorang pemain yang telah mencapai pelbagai kejayaan yang sungguh menakjubkan sepanjang kariernya.

Walau bintang berusia 29 tahun itu sudah menjulang 18 Piala utama sepanjang kariernya bersama Barcelona dan Paris Saint Germain di peringkat kelab, namun beliau gagal membantu skuad kebangsaannya untuk mencatat kejayaan yang boleh dibanggakan.

Neymar telah memenangi sepuluh kejuaraan domestik dari dua liga berbeza, dan beliau turut pernah menjulang kejuaraan Champions League bersama Barcelona pada tahun 2015 yang lalu.

Walau bagaimanapun, beliau tidak mampu untuk membantu skuad kebangsaan Brazil untuk memenangi kejuaraan-kejuaraan besar seperti yang beliau lakukan di peringkat kelab.

Antara pencapaian terbaik Neymar bersama skuad kebangsaan Brazil adalah beliau berjaya membantu skuad kebangsaannya memenangi gelaran Confederations Cup (2013) dan pingat emas Olimpik (2016).

Sehingga kini hanya itu sahajalah yang berjaya Neymar bantu skuad kebangsaannya, namun beliau tetap memainkan peranan terpenting dalam skuadnya dalam kesemua pertandingan yang disertai.

Kecederaan buku lali turut menyebabkan Neymar terpinggir dari kejayaan skuad Brazil menjuarai saingan Copa America pada tahun 2019 yang lalu.

Beliau juga gagal untuk bersinar dalam dua edisi Piala Dunia yang pernah beliau tampil untuk negaranya.

Neymar menderita kecederaan belakang ketika skuad kebangsaan Brazil dibelasah 7-1 oleh Jerman di peringkat separuh akhir saingan Piala Dunia 2014.

Beliau juga gagal untuk membantu skuad kebangsaan Brazil untuk mengelak dari tersingkir di peringkat suku akhir saingan Piala Dunia 2018 selepas mereka tewas di tangan Belgium.

Sehingga kini, Brazil sedang berada di tahap persembahan terbaiknya dalam aksi kelayakan Piala Dunia Qatar dan mereka bersedia untuk beri cabaran di kejohanan tersebut nanti.

Neymar benar-benar bertekad untuk membantu Brazil menjuarai saingan Piala Dunia pertama mereka, sejak kali terakhir pada tahun 2002.

Walau bagaimanapun, Piala Dunia Qatar juga berkemungkinan akan menjadi edisi terakhir Neymar dengan beliau mungkin tidak akan tampil di temasya Piala Dunia seterusnya.

Bercakap dalam siri dokumentari, β€˜Neymar & The Line Of Kings’, bersama DAZN, calon pemenang anugerah Ballon D’or 2021 itu mengakui yang beliau mungkin tidak akan beraksi di temasya Piala Dunia 2026 nanti.

Piala Dunia 2026 akan dianjurkan oleh Canada dan Mexico, dan Neymar menegaskan beliau mungkin tidak akan beraksi bersama Brazil di kejohanan tersebut.

β€œSaya nampak ia (Qatar 2022) akan jadi edisi terakhir saya, kerana saya tak tahu adakah saya akan mempunyai kekuatan dari segi fikiran dan tenaga untuk bermain bola sepak lagi ketika itu.”

β€œJadi saya akan lakukan segalanya untuk berikan yang te baik, lakukan segala saya mampu untuk menang bersama negara saya, saya akui ia merupakan impian terbesar saya sejak kecil. Dan saya harap saya akan mampu untuk lakukannya.”

Jelas Neymar lagi.

Ketika Piala Dunia 2026 nanti, Neymar sudah berusia 34 tahun, dan beliau sudah merencana untuk bersara dari pentas bola sepak antarabangsa pada ketika itu.

Beliau sendiri menegaskan yang mentalnya sudah tidak cukup kuat untuk bersaing di pentas tertinggi dalam dunia bola sepak sejak kebelakangan ini.

Memikul harapan seluruh negara di atas bahunya, dan ditambah pula dengan kegilaan masyarakat Brazil terhadap bola sepak, ia jelas merupakan tugas yang berat untuk Neymar.

Beliau tentunya tidak mampu untuk menyerap segala tekanan tersebut dan kerana itu jugalah Neymar memutuskan untuk bersara dari dunia bola sepak selepas berakhirnya Piala Dunia Qatar nanti.

Sumber: SPORTbible

BACA:Β  Bakal Bapak Tiri Neymar Menjalinkan Hubungan Sulit Dengan Lelaki Lain