Neymar: Saya Pengambil Penalti PSG, Bukan Cavani

Pemain sensasi Paris Saint-Germain, Neymar memberitahu dirinya sedikit terkesan dengan kecaman peminat selepas kontroversi penalti berulang lagi melibatkan beliau dengan Edinson Cavani.

Bekas pemain Barcelona ini menerima cemuhan dari peminat PSG sendiri ketika pasukannya menewaskan Dijon 8-0 di gelanggang sendiri dua minggu lalu. Neymar bertindak mengambil sepakan penalti walaupun Cavani pada ketika itu berpeluang untuk menjadi penjaring terbanyak sepanjang zaman PSG.

Neymar telah mengambil tugas Cavani selaku pengambil sepakan penalti PSG

Tindakan Neymar tersebut telah menimbulkan rasa tidak puas hati peminat PSG terhadapnya walaupun beliau berjaya menjaringkan 4 gol dalam perlawanan tersebut. Neymar mengakui beliau akan kecewa dengan tindakan penyokong PSG mencemuhnya tetapi menegaskan beliau hanya menjalankan tugas seperti yang disuruh pengurus pasukan.

“Sudah tentu saya agak terkilan dicemuh sedemikian rupa. Tetapi sebagai pemain, kami bersedia untuk dicemuh ataupun disanjung. Pengurus memilih saya selaku pengambil penalti pasukan dan tiada sebarang masalah mengenai tindakan saya mengambil penalti tersebut.”

“Semua tahu mengenai perkara yang berlaku dalam bilik persalinan. Pengurus sudah membuat keputusan dan saya perlu menjalankan tugas saya.”

Dalam perlawanan terakhir PSG Sabtu lalu menentang Montpellier, Neymar sekali lagi mengambil sepakan penalti untuk pasukannya. PSG memenangi perlawanan tersebut dengan jaringan 4-0.

Insiden awal musim ini. Gocoh, gocoh

Cavani terlebih dahulu membuka jaringan buat PSG, dan jaringan tersebut akhirnya menjadikan beliau sebagai penjaring terbanyak sepanjang masa PSG, memecahkan rekod yang dipegang oleh Zlatan Ibrahimovic sebelum ini.

Cavani menunjukkan sikap terpujinya dengan menghulurkan bola kepada Neymar untuk mengambil  sepakan penalti. Neymar berjaya menjaringkan 2 gol dalam perlawanan tersebut.

Selepas tamat perlawanan, Neymar sempat memberikan temuramah dan mengucapkan tahniah kepada Cavani atas pencapaian beliau memecahkan rekod Ibrahimovic.

“Sudah tentu saya gembira untuk Edi (Cavani) yang kini menjadi penjaring terbanyak dalam sejarah Paris Saint-Germain. Kami semua gembira beliau berjaya melakukannya.”

Media Sepanyol suka mereka cerita mengenai kepulangan Neymar ke Sepanyol

Akhbar dari Sepanyol sering mereka cerita mengatakan Neymar tidak gembira di Paris dan mahu kembali ke Sepanyol untuk menyertai Real Madrid. Tetapi perkara ini telah dinafikan pemilik PSG sendiri, Nasser Al-Khelaifi yang berkata Neymar gembira untuk terus kekal di Perancis.

“Itu hanya gosip dan sudah tentu ia bukanlah perkara yang benar. Neymar gembira di sini dan beliau mahu terus kekal. Beliau baru sahaja menyertai kami 5 bulan yang lalu dan masih mempunyai 4 tahun setengah dalam kontraknya.”

“Akhbar Sepanyol mahu memulakan permainan tetapi kami tidak mahu terlibat dengannya. Bukan 100%, tetapi 2,000% Neymar akan berada di PSG musim hadapan.”

BACA:  Rangkuman Aksi Neymar Bertemu Uruguay Bukti Beliau Masih Pemain Terhebat Dunia