Neymar ‘Sukar’ Cari Motivasi Untuk Bermain Bola Sepak Selepas Gagal Bantu Brazil

Neymar menggambarkan penyingkiran Brazil dari saingan Piala Dunia 2018 di tangan Belgium merupakan detik paling sedih dalam karier bola sepaknya.

Penyerang Paris Saint-Germain ini juga mengakui beliau mengalami kesukaran mencari motivasi untuk bermain bola sepak selepas gagal membantu Brazil mara lebih jauh dalam Piala Dunia 2018.

Neymar gagal menahan sebak selepas gagal bantu Brazil tumpaskan Belgium

Walaupun Neymar tiba di Russia dengan masalah kecergasan selepas baru sahaja pulih dari kecederaan serius, pemain berusia 26 tahun ini dijangka menggalas harapan rakyat Brazil untuk menjulang trofi Piala Dunia sejak kali terakhir melakukannya pada tahun 2002 di Piala Dunia Jepun & Korea Selatan.

Hajat Neymar untuk memimpin skuad Selecao mara ke final tidak kesampaian apabila mereka dikecewakan Belgium dalam pusingan suku akhir. Dalam perlawanan tersebut, gol sendiri daripada Fernandinho dan Kevin De Bruyne sudah cukup untuk menghantar Neymar dan rakan-rakan pulang lebih awal.

Neymar hanya mampu menjaringkan dua gol dari 5 perlawanan yang beliau harungi di Russia, satu jumlah yang mengecewakan dari pemain termahal dunia. Apa yang lebih mencuri perhatian dunia mengenai Neymar bukanlah bakat beliau bermain bola sepak, tetapi lakonan dan aksi keterlaluannya setiap kali menerima foul dari pihak lawan.

Muda lagi. Sempat lagi main Piala Dunia Qatar

Ada juga pihak yang mendakwa Neymar menghabiskan lebih banyak masa berguling di atas padang bagi meraih simpati pengadil dari bermain bola sepak. Akibat dari perbuatan tersebut, Neymar terpaksa pulang lebih awal dari kejohanan yang sepatutnya dimenangi Brazil jika kena pada cara.

Menerusi akaun Instagram beliau, Neymar mengakui penyingkiran Brazil dari Piala Dunia 2018 merupakan sesuatu yang sukar untuk ditelan dan mengganggapnya sebagai detik paling rendah dalam karier bola sepak beliau.

“Saya boleh kata ini merupakan detik paling menyedihkan dalam karier saya. Ia sangat mengguris hati kerana kami tahu kami mampu mara ke final, dan kami mempuyai pemain yang mampu membawa Brazil pergi lebih jauh untuk mencipta sejarah.”

“Tetapi ia gagal berlaku kali ini. Saya mengalami detik yang sukar mencari motivasi untuk bermain bola sepak lagi, tetapi saya yakin Tuhan akan memberikan saya kekuatan untuk menempuhi segala perkara.”

“Jadi saya tidak akan berhenti bersyukur kepada Tuhan, walaupun baru sahaja tewas kerana saya tahu laluan yang Dia telah tetapkan pada saya lebih baik dari apa yang saya rancang sebelum ini.”

“Saya sangat gembira dapat menjadi sebahagian daripada skuad ini dan saya juga bangga dengan apa yang telah dipamerkan pemain-pemain lain. Impian kami tersekat buat seketika tetapi ia tidak akan ‘keluar’ dari fikiran dan hati kami.”

Tu la sape suruh guling lama sangat

Selepas berakhirnya perjalanan Neymar dalam kempen Piala Dunia 2018, tumpuan Neymar kini terarah kepada masa depannya bersama Paris Saint-Germain.

Spekulasi bertiup kencang mengatakan Real Madrid akan memecahkan rekod dunia untuk membawa Neymar ke Santiago Bernabeu musim panas ini bagi menggantikan tempat Cristiano Ronaldo yang dijangka berpindah ke Juventus.

BACA:  Neymar Mahu Bersara Selepas Piala Dunia Qatar