Nike Ikut Langkah Adidas Dengan Kembali Perkenalkan ‘Nike T90 Laser’

Jika sebelum ini Adidas mengumumkan mereka akan kembali mengeluarkan kasut ‘Predator’ yang pernah dipakai Zinedine Zidane dan David Beckham suatu ketika dahulu, Nike juga tidak ketinggalan dan mengambil pendekatan yang sama dengan memperkenalkan semula ‘Nike T90 Laser’.

Siapa yang boleh lupa dengan kasut Nike T90. Bagi penggemar kasut Nike, ia merupakan keluaran yang perlu dimiliki dan dianggap paling popluar suatu ketika dahulu.

Antara koleksi Nike T90 Laser dari beberapa generasi

Peminat bola sepak memandang tinggi ‘Nike T90’ dan menganggap ia sebagai salah satu kasut bola sepak keluaran terbaik yang pernah dihasilkan Nike.

Ia mula dilancarkan pada April 2007 dan menjadi antara produk utama untuk Nike bagi satu tempoh yang agak lama.

Antara pemain terkenal yang bertanggungjawab mempopularkan keluaran kasut ini adalah Fernando Torres dan Wayne Rooney.

Kedua-dua penyerang ini memakai kasut tersebut ketika berada di zaman kegemilangan. Sehinggakan wujud trend di kalangan anak muda Malaysia pada ketika itu yang menganggap siapa yang memakai ‘T90’ perlu bermain sebagai penyerang.

Nike mengeluarkan ‘T90’ sehingga empat generasi dengan generasi terakhir dikeluarkan sekitar tahun 2013.

Selepas sekian lama berada dalam pasaran, ‘T90’ akhirnya digantikan oleh ‘Hypervenom’ pada tahun yang sama.

Rooney bergaya bersama kasut kegemarannya pada tahun 2007

Selepas sekian lama menyepi dari pasaran, Nike akhirnya mengambil keputusan untuk mengikut jejak langkah Adidas dengan kembali memperkenalkan ‘Nike T90’ sempena ulang tahun ke-12 model kasut tersebut.

Lagenda bola sepak Portugal, Luis Figo antara yang paling awal mengesahkan berita ini dengan memuat naik kasut ‘Nike T90 Laser I’ di laman Instagram beliau.

“Model boot bola terbaik bakal kembali ! Stay tuned.”

Ia dijangka akan diumumkan secara rasmi oleh Nike pada penghujung bulan ini. Nantikan pengumuman rasmi dari Nike Store dalam waktu terdekat ini !

BACA:  Rooney Masih Tak Puas Kemenangan Man City Ke Atas QPR 10 Tahun Lalu Tidak Disiasat