Gary Lineker Arah BBC Delete Hantaran Hina Wayne Rooney Yang Dipecat Birmingham

Legenda bola sepak England, Gary Lineker memaksa BBC Sport memadam satu hantaran dengan nada ejekan terhadap Wayne Rooney selepas bekas penyerang Manchester United itu dipecat oleh Birmingham City.

Rooney yang berstatus legenda di Old Trafford dipecat oleh Birmingham City lewat malam tadi (waktu Malaysia) selepas rentetan prestasi buruk pasukan itu sejak Rooney mengambil alih peranan sebagai pengurus daripada John Eustace pada Oktober lalu.

Hanya sempat mengendalikan 15 perlawanan, Rooney hanya berjaya membimbing Birmingham untuk mencatat dua kemenangan sekali gus menyebabkan pasukan itu kini berada di kedudukan ke-20 Championship.

Sebaik sahaja perkhabaran pemecatan Rooney tersebar, BBC Sport cuba mengumumkan berita itu dengan cara berseloroh.

Menggunakan akaun rasmi di X, BBC Sport berkata: “Dengan arahan daripada Peaky Blinders, Wayne Rooney telah dipecat oleh Birmingham City.”

Mungkin ada yang tertanya-tanya apakah perkaitan siri terkenal Peaky Blinders dengan Birmingham City dan pemecatan Wayne Rooney.

Birmingham City digelar kelab milik Peaky Blinders kerana pemilik kelab itu Tom Wagner menubuhkan syarikat Shelby Company Limited.

Nama syarikat itu diambil daripada nama keluarga Shely daripada siri Peaky Blinders.

Hantaran daripada BBC Sport itu turut disertakan dengan sebuah foto untuk mengejek Rooney – yang digambarkan berpakaian suit dan topi leper – sama seperti pakaian yang digayakan oleh Tommy Shelby, iaitu salah satu karakter dan watak di dalam Peaky Blinders.

Hantaran tersebut bagaimanapun tidak disenangi Gary Lineker yang turut berperanan sebagai salah seorang pundit bersama BBC Sport.

“Padam hantaran ini”, tulis Lineker.

Majikannya mendengar arahan tersebut dan hantaran di X oleh BBC Sports kemudiannya dipadam.

Namun sebelum ianya dipadam, hantaran tersebut telah tular di media sosial.

BACA:  Kisah Ronaldo Lihat Cermin Tanpa Pakaian Lalu Berkata 'Messi tidak' kelihatan seperti ini'