Para Penyokong Cetuskan Kekecohan Ketika Aksi Marseille Bertemu PSG

Pertembungan Le Classique yang menemukan antara Paris Saint Germain bertemu Marseille awal pagi tadi berlangsung dalam suasana yang sangat tegang dan panas.

Stade Velodrome dilanda kekecohan yang agak teruk sepanjang perlawanan yang menemukan dua gergasi dalam saingan Ligue 1 itu.

Pertembungan antara dua pasukan ini sememangnya senantiasa akan menyajikan aksi-aksi panas baik di kalangan pemain mahupun peminat.

Walaupun sudah ada permintaan dari ketua pasukan, Dimitri Payet dan Presiden Marseille, Jacques-Henri-Eyraud yang meminta agar penyokong lebih bersivik, namun sepertinya permintaan tersebut diabaikan.

Mereka meminta agar tiada barang seperti botol, kertas dan sampah yang dilempar ke padang, namun hal itu tetap berlaku, bahkan ia seperti tidak terkawal.

Ia tetap berlaku, dan boleh dikatakan sangat teruk hingga ‘riot shields’ perlu digunakan untuk melindungi Neymar ketika beliau mahu mengambil sepakan penjuru.

Hal yang sama pernah berlaku kepada bintang Brazil itu pada tahun 2017 yang lalu dan beliau pada masa sama dibuang padang selepas dilayangkan dua kad kuning.

Kali ini, beliau dikeluarkan pada aksi babak kedua permainan, dan tempatnya digantikan oleh bekas bintang Liverpool, Gini Wijnaldum.

Lionel Messi gagal untuk menunjukkan kemampuan sebenar beliau dalam saingan Ligue 1, dengan tidak menjaringkan sebarang gol atau assist dalam perlawanan ini.

Walau bagaimanapun, Messi berdepan situasi yang agak membimbangkan dengan beliau dikejar oleh seorang penceroboh padang ketika sedang menggelecek pemain lawan.

Ketika melakukan serangan pantas pada aksi babak kedua permainan, pemenang enam kali gelaran Ballon D’or itu melakukan rutin kebiasaan beliau dengan cuba untuk cut inside sambil menggelecek pemain lawan.

Dengan tiba-tiba, entah dari mana beliau muncul, seorang penceroboh padang yang memakai puffer jacket dan jeans muncul mengejar Messi.

Penceroboh padang itu dilihat begitu mudah menceroboh masuk sampai ke padang bahkan turut sempat menyentuh Messi sebelum beliau ditangkap oleh petugas keselamatan.

Penandatanganan musim panas Paris Saint Germain, Achraf Hakimi telah dilayangkan kad merah kerana mengasari Cengiz Under para minit ke-57 permainan.

Pengadil perlawanan awalnya melayangkan kad kuning kepada bintang Turki itu kerana handball, namun selepas merujuk VAR, beliau melayangkan kad merah kepada Hakimi.

Kedua-dua pasukan berjaya menjaringkan gol dalam perlawanan ini namun ia dibatalkan oleh pengadil perlawanan, dengan perlawanan berakhir seri tanpa jaringan.

Paris Saint Germain kekal di puncak saingan Ligue 1 dengan mengumpul 28 mata dari 11 perlawanan, tujuh mata mengatasi Lens yang berada di kedudukan kedua.

Sementara Marseille pula berada di kedudukan keempat dalam carta liga, dengan mereka kini mengumpul 18 mata dari 10 perlawanan.

Pertembungan derby kali ini sememangnya panas, namun tidak seteruk pada musim lalu dengan deretan kad kuning dan kad merah yang terpaksa dikeluarkan oleh pengadil perlawanan.

Walau bagaimanapun, insiden melibatkan gangguan dari para penyokong sepertinya sangat teruk dan ia jelas satu hal yang tak sepatutnya berlaku.

Tiada masalah untuk mereka menyanyi, bermain suar, mengejek pemain lawan, bersorak, memaki, namun membaling objek ke padang jelas sekali satu hal yang tak sepatutnya dilakukan.

Semoga saja hal seperti ini tidak akan berulang lagi di masa hadapan kerana ia jelas membunuh keseronokkan menonton perlawanan bola dengan melihat objek dilempar hingga mengganggu pemain untuk bermain.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Beban Gaji Terlalu Tinggi- PSG Bakal Lepaskan 7 Pemain Januari Nanti