‘Penalti Ofsaid’ Selamatkan England Daripada Kalah Kepada Jerman

Harry Kane telah menjaringkan gol ke-50 peribadinya buat pasukan England selepas mebantu pasukan Tiga Singa tersebut terselamat daripada kekalahan kepada musuh tradisi, Jerman, dalam perlawanan Liga Negara-Negara UEFA.

England memulakan perlawanan dengan agak perlahan dan sendu di mana mereka lebih banyak membenarkan Jerman menguasai perlawanan dan dilihat lebih berbahaya serta hanya menunggu masa untuk menjaringkan gol.

Pada minit ke-50, pencarian gol Jerman akhirnya berhasil. Bermula daripada build-up yang perlahan, Joshua Kimmich berjaya memerangkap pertahanan England di dalam kotak penalti dan melorongkan bola kepada Jonas Hofman yang bebas tidak dikawal.

Hofman kemudiannya melepaskan satu rembatan yang biasa-biasa takdelah padu sangat melepasi Jordan Pickford.

Selepas gol tersebut, Pickford telah menebus kesilapannya itu apabila melakukan aksi yang luar biasa dalam menyelamatkan sepakan Thomas Muller sekaligus mengekalkan kedudukan.

Hala tuju permainan England berubah selepas Jack Grealish dimasukkan oleh Gareth Southgate. Secara tiba-tiba, England bagaikan mendapat nafas baru selepas hanya mampu bermain bagaikan bernafas dalam lumpur sebelumnya.

Pada suatu masa, Grealish melakukan hantaarn lintang ke hadapan gol untuk Kane, namun cubaan kapten England tersebut telah berjaya diselamatkan oleh Manuel Neuer. Pada minit ke-86, Kane telah dikasari dalam kotak penalti.

Pertahanan Jerman, Nico Schlotterbeck yang melakukan larian silang di belakang Kane telah sedikit tersadung kaki pemain England tersebut. Pada mulanya pengadil hanya buat-buat tak tahu, tapi selepas melihat insiden ini di VAR, sepakan penalti dianugerahkan buat pasukan Tiga Singa.

Kane dengan mudah menolak bola ke dalam gol, sekaligus merekodkan gol ke-50 buat dirinya ketika menyarung jersi negaranya, hanya kurang tiga gol daripada rekod gol terbanyak yang dicipta oleh Wayne Rooney.

Sebenarnya insiden penalti tersebut mendapat perhatian segelintir penyokong yang merasakan bahawa Kane sebenarnya berada di kedudukan ofsaid ketika menerima bola di dalam kotak penalti.

Pun begitu, dia telah di-onsaid-kan oleh pertahanan Jerman yang telah menyentuh bola terlebih dahulu. Sentuhan yang sengaja boleh membatalkan ofsaid, meskipun pemain lawan berada 18 depa di belakangnya.

Tambahan pula, sentuhan yang dilakukan oleh Schlotterbeck dilihat sangat minimum dan Kane boleh dianggap terjatuh kerana tersadung kaki sendiri.

Apapun, pengadil telah membuat keputusan dan penalti pun telah dijaringkan.

Keputusan seri 1-1 ini kekal sehingga wisel penamat dan meletakkan Jerman di tangga ketiga kumpulan dengan dua mata, manakala Englang pula tercorot dengan hanya satu mata daripada dua perlawanan.

Bekas pemain England bawah-21, Jamal Musiala, mendapat perhatian dan pujian menggunung dalam perlawanan ini. Pada usia 19 tahun, dia sudah memberikan impak yang menakjubkan dan mampu menjadi bintang masa hadapan pasukan Jerman.

Dia dijangka akan mengambil alih tempat Thomas Muller sebaik sahaja pemain tersebut mengambil keputusan untuk pencen.

Gareth Southgate pula pasti akan termenung panjang selepas perlawanan. Mana tidaknya, sepanjang perlawanan pasukannya dilihat sangat kucar kacir dan menjadi lebih inferior berbanding pasukan lawan.

Pemain mereka pula dilihat sangat lesu dan tidak bermaya – mungkin disebabkan musim bola sepak yang panjang dan memenatkan yang baru sahaja habis. Andai Grealish tidak dimasukkan, mungkin pasukannya akan merekodkan kekalahan kedua berturut-turut selepas ditewaskan oleh Hungary dalam perlawanan pertama.

Secara jujurnya. jika Pickford tidak mempamerkan aksi kelas dunia, Jerman pasti sudah menjaringkan lebih daripada satu gol.

Meskipun menang, pengurus Jerman Hansi Flick turut dikecam kerana mengeluarkan Musiala terlalu awal, dan memasukkan Timo Werner. Kemasukan pemain senior tersebut dilihat telah mengubah dan memperlahankan rentak permainan sekaligus memberi ruang dan peluang untuk England melakukan serangan.

Selepas ini England akan turun menentang pendahulu kumpulan, Itali, manakala Jerman pula akan berdepan pasukan yang tiba-tiba menjadi sedap permainannya, Hungary.

Kesebelasan utama perlawanan :

Jerman – Manuel Neuer, Lukas Klostermann, Antonio Rudiger, Nico Schlotterbeck, Jonas Hofmann (Serge Gnabry), Ilkay Gundogan (Leroy Sane), Joshua Kimmich, David Raum, Thomas Muller (Leon Goretzka), Jamal Musiala (Timo Werner)

England – Jordan Pickford, Kyle Walker, John Stones, Harry maguire, Kieran Trippier, Declan Rice, Kalvin Phillips (Jude Bellingham), Mason Mount (Jack Grealish), Bukayo Saka (Jarrod Bowen) Raheem Sterling, Harry Kane

Sumber : Mirror

BACA:  Kapten Liverpool dan Manchester United Yakin England Akan Menjulang Piala Kejohanan Eropah 2020