Penceroboh Padang Kritik Tahap Keselamatan Stadium Selepas Peluk Messi

Perlawanan persahabatan di antara Australia dan Argentina yang berlangsung di Beijing pada malam tadi mendapat perhatian ramai peminat bola sepak di China.

Malah Beijing dilaporkan telah dibanjiri ramai peminat sejak Sabtu lalu dan ia disebabkan kegilaan mereka terhadap bintang Argentina, Lionel Messi.

Kegilaan peminat di China terhadap kapten skuad kebangsaan Argentina itu turut mencetuskan insiden pencerobohan padang pada pertengahan babak kedua perlawanan tersebut berlangsung.

Sebuah video yang tular menunjukkan seorang peminat muda terjun daripada tembok di tempat duduk penyokong sebelum berlari ke arah Messi dan memeluk pemain itu.

Penceroboh itu kemudian dikejar di kawasan padang oleh pengawal keselamatan stadium diikuti sorakan lebih 50,000 penonton yang hadir menyaksikan perlawanan tersebut di Stadium Pekerja.

Malah penceroboh itu dilihat sempat memberikan ‘high-five’ kepada penjaga gol Argentina, sebelum diterkam dan diheret keluar stadium.

Dalam satu temubual dengan kelab peniyokong Messi cawangan China, penceroboh yang tidak dinamakan itu kemudiannya meminta maaf atas tindakannya itu.

Namun demikian beliau tidak ketinggalan mengkritik tahap keselamatan stadium yang disifatkannya sebagai longgar sehingga dia mampu memasuki kawasan padang permainan.

“Sudah tentu, saya berharap kejadian yang dianggap negatif ini dapat menunjukkan kepada mereka bahawa tahap keselamatan tidak berada di tahap sepatutnya sehingga saya mampu berbuat demikian,” katanya.

“Saya yakin akan ada banyak perlawanan antarabangsa akan diadakan di Beijing pada masa hadapan.

“Saya berharap mereka mampu meningkatkan tahap keselamatan selepas ini.”

Walaupun sempat memeluk Messi, penceroboh padang itu tetap kesal kerana tidak berjaya mendapatkan autograf idolanya itu.

Kerana itu dia nekad untuk ke Miami selepas ini untuk melihat Messi dan kesempatan untuk mendapatkan autograf pemenang Ballon d’or sebanyak tujuh kali itu selepas ini.

Malah dirinya turut berjanji tidak akan mengulangi kelakuan yang sama sekiranya mempunyai kesempatan untuk menyaksikan aksi Messi bersama kelab baharunya, Inter Miami selepas ini.

Menurut laporan akhbar Global Times kehadiran Messi menyebabkan ramai peminat membanjiri Beijing hanya kerana untuk melihat kelibat Messi walaupun gagal mendapatkan tiket perlawanan menyaksikan perlawanan tersebut.

Akhbar yang sama turut melaporkan sewa semalam bilik hotel di sekitar Beijing telah melonjak sehingga USD 1,000 (RM4,620) semalam kerana permintaan yang tinggi sejak seminggu lalu.

BACA:  Pochettino Gelar Pemainnya 'Hero' Walaupun Tumpas Di Tangan Barcelona