Penyerang KV Kortrijk Jalani Latihan Bersendirian Guna Jersi Selangor

Penyerang KV Kortrijk Luqman Hakim Shamsuddin dilihat menjalani latihan secara bersendirian di sebuah gym dengan memakai jersi Selangor FC.

Pemain itu beraksi secara pinjaman bersama FC Njardvik, namun kontrak beliau bersama kelab Divisyen 2 Liga Iceland itu akan tamat pada hujung bulan ini.

Sepanjang beraksi di Iceland, Luqman melakukan 9 penampilan dan menjaringkan satu gol untuk pasukannya itu. Sepanjang tempoh itu Luqman turut membantu kelab Iceland itu menamatkan saingan di kedudukan ke-10 daripada 12 pasukan.

Harus diakui, ia bukanlah pencapaian yang boleh dibanggakan mengambil kira kualiti yang dimiliki oleh liga bola sepak di Iceland.

Berdasarkan perjanjian awal, Luqman dikatakan bakal kembali ke Belgium untuk menyertai kelab asalnya KV Kortrijk sebaik tempoh pinjaman beliau bersama Njardvik tamat secara rasmi pada 31 Disember ini.

Luqman juga berkemungkinan akan dipinjamkan semula ke kelab-kelab lain di Eropah, sekiranya terdapat kelab yang sesuai menunjukkan minat untuk mendapatkanya.

Walaupun demikian spekulasi turut mengaitkan perpindahan pemain itu kembali ke Liga Malaysia.

Terbaru Luqman dilihat menyarung jersi Selangor FC ketika menjalani latihan secara bersendirian di sebuah gym.

Melalui akaun X Harimau Abroad, Luqman dilihat giat menjalani latihan untuk mengekalkan kecergasannya selepas saingan Liga Iceland telah tamat sejak pertengahan September lalu.

Video tersebut sudah tentu mencetuskan khabar angin Luqman bakal kembali menyertai Selangor untuk saingan Liga Malaysia 2024.

Ia tidak menghairankan sekiranya Luqman bakal beraksi bersama Selangor kerana ia adalah kelab yang disertai oleh pemain itu sebelum menyertai Kortrijk pada 2020.

Ketua Jurulatih Red Giants, Tan Cheng Hoe juga bukan jurulatih yang asing buat Luqman selepas turut pernah mendapat beberapa panggilan ketika Cheng Hoe bergelar Ketua Jurulatih Harimau Malaya.

BACA:  Pemain Selangor Di Kepala B****kan Oleh Penyokong Sendiri Selepas Menang 4-1