Penyokong Liverpool Teruja Dengan Aksi Mantap Diaz Ketika Debutnya Bertemu Leicester

Penandatanganan terbaru Liverpool, Luis Diaz telah mempamerkan aksi persembahan yang sungguh menakjubkan ketika bertemu Leicester City awal pagi tadi.

Para peminat benar-benar teruja dengan aksi dan persembahan beliau ketika debutnya dalam saingan Premier League.

Selepas memberikan impak segera ketika aksi bertemu Cardiff City dalam saingan FA Cup minggu lalu, Diaz telah dinamakan sebagai pemain utama Liverpool dalam aksi bertemu Leicester.

Pemain sayap Colombia itu tidak menunggu lama untuk mencuri perhatian ramai selepas beliau mempamerkan aksi persembahan yang sungguh luar biasa menakjubkan dalam perlawanan ini.

Beliau boleh dianggap sangat menyerlah sepanjang 45 minit pertama permainan, dengan Diaz tak henti-henti membantu jentera serangan Liverpool melancarkan serangan ke kubu Leicester.

Beliau turut berjaya mencipta gandingan yang sangat bagus dengan Andy Robertson dengan mereka dilihat seolah-olah sudah lama beraksi bersama.

Tidak dinafikan mungkin masih terlalu awal untuk terlalu yakin dengan keputusan Klopp menandatangani Diaz, namun sepertinya ia satu keputusan yang berbaloi.

Bekas bintang Porto itu berpotensi untuk membantu Liverpool dalam mencabar kejuaraan liga pada musim ini, dan jelas sekali para peminat mahukan yang lebih darinya.

Bercakap sebelum sepak mula perlawanan, pengurus dari Jerman itu telah bercakap tentang keputusan beliau untuk turunkan pemain berusia 25 tahun itu dalam kesebelasan utamanya.

β€œLuis Diaz merupakan prospek yang mengujakan, kami perlu melihat siapa yang bersedia dan dengan kelajuan Luis, terutama ketika Mo tidak diturunkan, masuk akal untuk turunkan pemain dari skuad depth dalam perlawanan ini.”

Jelas Klopp kepada BT Sport.

2 gol jaringan Jota batu Liverpool benam Leicester City

Liverpool telah berjaya mengurangkan jurang mata kepada sembilan sahaja dalam usaha untuk mengejar pendahulu liga, Manchester City apabila dengan mudah dan bersahaja menewaskan Leicester City di Anfield.

Sebelum ini mungkin ramai yang mengatakan bahawa pasukan yang digelar Sang Merah ini akan terkial-kial mencari rentak sepanjang bulan Januari kerana kehilangan dua tonggak serangan utama – Mohamed Salah dan juga Sadio Mane yang beraksi bersama negara masing-masing dalam kempen Piala Negara-Negara Afrika di Cameroon, namun dengan kebijaksanaan pengurus Jurgen Klopp, mereka dilihat mampu meneruskan cabaran seperti biasa.

Tugas mencari jaringan digalas dengan begitu cemerlang oleh Diogo Jota termasuklah dalam perlawanan semalam di mana dia telah menjaringkan dua gol untuk menewaskan pasukan Musang.

Meskipun di atas kertas Jota berfungsi selaku penyerang sayap, pemain Portugal ini dilihat berjaya memainkan peranan umpama seorang penyerang tengah dan cukup tajam dalam menghidu peluang di depan gol, terutamanya di dalam kotak penalti.

Dalam perlawanan tersebut, Liverpool jelas menguasai sepanjang perlawanan dan telah melakukan 22 cubaan ke arah pintu gol, separuh daripadanya adalah cubaan tepat.

Tempoh 60 minit pertama menyaksikan Liverpool sangat selesa dalam menjinakkan pihak lawan. Pun begitu, Leicester memulakan perlawanan dengan agak garang dan pada minit ketujuh, James Maddison telah memaksa Alisson Becker melakukan aksi penyelamatan yang padu apabila dia melakukan rambatan dari sudut sukar.

Tidak lama kemudian umpanan Trent Alexander-Arnold ke arahfar-postΒ berjaya disambut oleh Andy Robertson dan pemain bek kiri tersebut melakukan cubaan ke arah gol, namun sempat diselamatkan oleh penjaga gol Leicester, Kasper Schmeichel.

Gol yang ditunggu Liverpool akhirnya tiba pada minit ke-30 menerusi satu tendangan sudut yang ditanduk padu oleh Virgil van Dijk. Schmeichel pada mulanya dapat menampan bola tersebut, namun bola muntah ke hadapan Jota yang berada di tempat yang betul pada waktu yang betul. Tanpa menghiraukan orang sekeliling, Jota terus merembat kencang bola ke dalam pintu gol lawan.

Semakin lama perlawanan berlangsung, semakin sibuk Schmeichel terpaksa bekerja. Dia telah dua kali menyelamatkan cubaan Roberto Firmino selepas gol pertama Liverpool dan sebelum tamat separuh masa pertama. Dia juga mampu menarik nafas lega selepas melihat sepakan gunting Thiago menyaksikan bola melilau keluar.

Pada minit ke-87, Jota sekali lagi mencatatkan nama selaku penjaring. Joel Matip menerima bola di sempadan kotak penalti Leicester sambil dikerumuni beberapa pemain Leicester. Namun dengan tenang Matip mengumpan bola kepada Jota yang bijak mencari ruang kosong di celah-celah pertahanan lawan.

Dengan sentuhan pertama, Jota merembat padu ke arah gol dan dapat ditepis oleh Schmeichel, namun usaha tersebut tidak mencukupi daripada menghalang bola masuk terus ke dalam gol.

Selain aksi cemerlang Jota, pemain baru Liverpool, Luis Diaz ternyata tidak memerlukan tempoh bertenang selepas menyertai kelab barunya ini di mana dia dilihat sangat lincah dan cemerlang dalam menghadirkan gerun kepada pasukan lawan. Satu cubaan daripada pemain ini tertampan pemain Leiceser lalu bola terbang ke luar padang.

Pada minit ke-81, cubaan dari jarak dekat Diaz selepas menerima lorongan daripada Salah telah diselamatkan oleh Schmeichel yang terpaksa menggunakan kaki.

Salah yang baru tiba dari Cameroon telah dimasukkan oleh Klopp pada minit ke-60 menggantikan Firmino dan sepanjang tempoh setengah jam di atas padang, dia dilihat sangat teruja untuk menambah jumlah jaringannya pada musim ini.

Pemain Mesir ini tiga kali hampir menjaringkan gol. Pertama dia berjaya menyusup masuk sehingga rapat ke gol lawan dan keduanya pula dia berjaya memperdayakan pertahanan lawan dan berhadapan dengan Schmeichel dan yang terakhir adalah cubaan rembatan lencongnya.

Dua cubaan pertama berjaya diselamatkan oleh penjaga gol Leicester manakala yang ketiga diselamatkan oleh palang.

Dengan baki perlawanan yang ada, Liverpool tidak boleh lagi keciciran mata dan perlu menang kesemua perlawanan jika mahu mencabar kejuaraan yang sedang berada di dalam genggaman Manchester City.

Kepulangan dua penyerang utama – Salah dan Mane – serta kemasukan pemain baru, Diaz, bakal memberikan Liverpool kekuatan tambahan untuk terus menekan pasukan The Citizens.

Selepas ini Liverpool akan turun menentang Burnley dalam perlawanan liga sebelum terbang ke Itali untuk perlawanan Liga Juara-Juara peringkat 16 pasukan menentang Inter Milan.

BACA:Β  Sebab Mengapa Gol Ketika Bertemu Brentford Cukup Bermakna Untuk Minamino