Permulaan Kepada Pengakhiran Jodoh Ole Bersama Man Utd Kini Semakin Hampir?

Kurang 24 jam selepas kekalahan memalukan Manchester United kepada Liverpool dunia bola sepak digegarkan pula dengan bunga-bunga permulaan kepada pengakhiran jodoh Ole Gunnar Solskjaer bersama Manchester United semakin hampir.

Berita ini telah mula dicanang oleh Manchester Evening News (MEN) yang melaporkan bahawa Manchester United kini telah membuat pertimbangan untuk memecat Ole Gunnar Solskjaer selaku pengurus.

Hierarki kelab Manchester United dikatakan ‘memberi pertimbangan serius’ untuk memecat Ole Gunnar Solskjaer sebelum perlawanan Manchester United menentang Tottenham Hotspur.

Akhbar yang berpangkalan di Manchester itu juga mendakwa para pemain itu telah diperam di dalam Old Trafford selama dua jam selepas wisel penamat aapbila dihina dan dibelasah Liverpool 5-0.

Setakat ini Ole Gunnar Solskjaer telah mengalami lima kekalahan dalam sembilan perlawanan terakhir mereka dan tanpa sebarang kemenangan dalam empat perlawanan terakhir di Premier League.

Pada bulan Julai Manchester United telah menghadiahkan Ole Gunnar Solskjaer kontrak baharu selama tiga selepas menunjukkan peningkatan ketara musim lalu.

Namun dengan kontrak yang ditawarkan itu Ole Gunnar Solskjaer telah membalasnya dengan membawa Manchester United ke lembah kehinaan musim ini. Ole Scammer?

Selepas kekalahan 5-0 kepada Liverpool, Ole Gunnar Solskjaer seperti tidak sedar ketika bercakap menyatakan beliau percayakan diri sendiri dan hampir mencapai matlamat.

“Aku percayakan diri aku. Aku juga percaya aku semakin hampir kepada apa yang aku mahukan bersama kelab. Aku telah fikir apa yang telah kami lakukan, apa yang aku lihat adalah perkembangan.”

“Sudah tentu keputusan akhir-akhir ini tidak cukup baik, maka ada yangmengangkat tangan dan perkara ini mungkin membawa keraguan dalam fikiran sesiapa sahaja.”

“Tetapi aku perlu terus kuat dan aku percaya dengan apa yang kami lakukan termasuklah kakitangan kejurulatihan, para pemain. Hari ini kami berada di tahap terendah dengan keyakinan rendah.”

Ramai yang sudah hilang kepercayaan kepada Ole namun sekurang-kurangnya Ole masih mempercayai diri sendiri dan juga percaya ini adalah satu perkembangan. Trust the procces?

“Minggu depan lawan Tottenham di tempat lawan kemudian perlawanan Liga Juara-Juara bertemu Atalanta, pasukan seterusnya yang akan melawat kami ialah Man City.”

“Kami perlu melihat ke hadapan, menyusun kerangka fikiran kami dan memastikan kami pergi ke sesi latihan seterusnya dalam rangka fikiran yang betul.”

Ole masih positif selepas kalah dan seperti tiada apa yang terjadi mungkin Ole tidak menyedari rekod buruk yang diciptanya kini adalah hasil dari corak permainan yang tidak jelas.

Dengan barisan pemain yang ada dalam pasukan Manchester United kini mungkin hanya Manchester City, Liverpool dan Chelsea sahaja mampu menjadi penghalang namun itu tidak terjadi.

Hieraki kelab nyata tidak gembira dengan situasi ini dan dilaporkan telah mengadakan mesyuarat tergempar sebagai langkah tanpa kehadiran Ole. Takkan nak jemput Ole meeting sekali kan kalau bincang mengenai pemecatan Ole.

Owen Churchill dari United View percaya Ole kini hanya menanti masa sahaja untuk meninggalkan peranannnya selaku Pengurus Manchester United.

Insan paling hangat diperkatakan sebagai calon pengganti Ole adalah pengurus dari Itali yang kini sedang menganggur, Antonio Conte.

Menurut laporan Fabrizio Romano, Antonio Conte sudah bersedia untuk berbincang dengan Manchester United mengenai projek ini namun tiada lagi perbincangan rasmi dilakukan.

Antonio Conte juga dilaporkan bukanlah seorang pengurus yang berminat untuk mengambilalih pasukan ketika musim sudah berjalan, ini bukan gaya seorang Antonio Conte.

Pasukan yang mampu mengubah fikiran Antonio Conte ketika ini sudah pasti Manchester United. Perbincangan lanjut bergantung kepada nasib yang bakal menimpa Ole.

Paling terkini selepas kenyataan dari Manchester Evening News dan Fabrizio Romano, Sky Itali melaporkan bahawa Manchester United sudah pun memulakan langkah awal untuk memikat Antonio Conte.

Setakat ini apa yang pasti adalah Pengarah Urusan Manchester United, Richard Arnold telah membatalkan semua temujanji beliau bagi mengadakan perbincangan dengan Glazer tentang kedudukan Ole. #OleStay atau #OleOut?

Manakala berita mengenai Antonio Conte yang sudah mula dirisik ini bolehlah dianggap sebagai khabar angin kerana butir perbincangan hieraki kelab masih lagi menjadi rahsia.

Paling terkini dari Fabrizio Romano menyatakan bahawa tiada keraguan lagi mengenai keputusan Antonio Conte. Beliau mahu kerja bersama Manchester United dan sudah sedia untuk menerima.

Namun setakat ini tiada lagi lamaran rasmi kerana Manchester United tidak lagi membuat keputusan untuk memecat atau mengekalkan Ole.

BACA:  Empat Pemain Tottenham Hotspur Yang Dianggap Memalukan Dan Tidak Bermaruah