Temu Bual Penuh Semangat Solskjaer Bukti Beliau Paling Layak Kendalikan Manchester United

Manchester United pada ketika ini sedang berada di titik terlemah dalam sejarah penubuhan kelab, terutama selepas mereka dibedal 5-0 oleh Liverpool minggu lalu.

Sebaik wisel penamat dibunyikan ketika aksi kekalahan memalukan bertemu Liverpool di Old Trafford itu, nama Ole Gunnar Solskjaer terus trending di media sosial.

Ramai yang menggesa pihak kelab agar memecat pengurus dari Norway itu kerana merasakan beliau tidak layak untuk mengurus kelab sehebat Manchester United.

Kekalahan di tangan anak-anak buah Jurgen Klopp itu menjadikan United sebagai pasukan paling tidak berprestasi pada ketika ini, selepas mereka gagal mencatatkan sebarang kemenangan dari empat perlawanan terakhir dalam saingan liga.

Ole Gunnar Solskjaer sedar yang beliau perlu dapatkan keputusan positif ketika berkunjung ke Tottenham Hotspur Stadium untuk bertemu Spurs dalam aksi saingan Premier League minggu ini.

Pengurus berusia 48 tahun itu menolak sepenuhnya segala teori yang mengatakan masa depan beliau sebagai pengurus United sudah sampai ke penghujungnya.

Sejak dari tamat aksi bertemu Liverpool lagi, sudah banyak laporan yang melaporkan bahawa Manchester United mahu memecat Solskjaer dan sedang berusaha mencari calon pengganti.

Bekas pengurus Chelsea dan Inter Milan, Antonio Conte antara nama yang disebut-sebut akan menggantikan tempat Ole Gunnar Solskjaer sebagai pengurus United yang baharu.

Dalam satu temu bual bersama Sky Sports, Solskjaer mendedahkan yang beliau menolak segala dakwaan dan cadangan yang mengatakan bahawa dirinya tidak layak untuk memimpin skuad Manchester United.

“Saya tak berharap yang mereka akan tampil dan pertahankan persembahan seperti ini (bertemu Liverpool).”

Jelas Solskjaer tentang pimpinan kelab.

“Kami memang sedang berada di tahap persembahan terburuk.”

“Pengalaman 18 tahun saya bersama kelab tidak akan ditentukan berdasarkan beberapa minggu ini sahaja.”

Tambah Solskjaer lagi.

Menjelaskan tentang pengalaman beliau sebagai pemain di Old Trafford, yang mana paling terkenal ketika beliau membantu United memenangi gelaran Champions League, Solskjaer menegaskan yang beliau lebih dari layak untuk berdepan dengan tekanan yang setan merah sedang hadapi ketika ini.

“Sebagai pemain, saya sudah lalui pasang dan surut, dan sebagai pengurus, saya juga sudah mengalami fasa kejatuhan. Itu apa yang kami lakukan di sini. Saya akan sentiasa pastikan yang saya akan berjuang semula.”

“Saya akan berikan segalanya untuk dapatkan keputusan yang baik bertemu Tottenham Hotspur minggu ini. Itu antara satu-satunya hal yang boleh kami lakukan. Kami perlu bertindak. Kami perlukan hasil yang baik.”

Ketika ditanya terus adakah beliau boleh mengubah keadaan kelab pada ketika ini, Solskjaer kemudian menjawab:

“Saya percaya pada diri saya sendiri. Tapi ia bukan tentang saya. Ia soal terus maju ke depan. Ia (kekalahan kepada Liverpool) adalah titik terbawah ketika kamu kalah kepada seteru kamu dengan cara seperti itu.”

“Sebagai pemain, saya pernah kalah 5-0 kepada Newcastle, kemudian 6-3 di tangan Southampton. Antara itu, kami kalah perlawanan pertama kami di Old Trafford dalam aksi peringkat kumpulan saingan Champions League. Itu musim pertama saya di sini dan kamu akan dapat belajar lebih banyak jika kamu bertindak balas sebagai seorang pemenang.”

“Saya sudah cukup kuat. Saya tak pernah menyerah kalah.”

Jelas Solskjaer lagi.

Pengurus Manchester United itu jelas menunjukkan sikap positif dan pantang menyerah, dan ia membuktikan beliau layak untuk terus membimbing United serta membawa semula setan merah ke kedudukan selayaknya mereka.

Beliau pasti tahu cara untuk bangkit dari kekalahan memalukan, lalu menjadikan ia sebagai pembakar semangat untuk terus maju dan memenangi kejuaraan.

Ole Gunnar Solskjaer diberi kesempatan untuk membuktikan sesuatu dari tiga perlawanan selepas ini bertemu Tottenham Hotspur, Atalanta dan Manchester City.

Melihat kepada semangat yang beliau tunjukkan, tak mustahil untuk Ole Gunnar Solskjaer tunjukkan sesuatu kepada kelab, dan buktikan beliau layak untuk terus mengendalikan Manchester United.

Sumber: GMS

BACA:  Ten Hag dan Pemain United Kecewa Teruk Dengan Perangai Ronaldo