Pernah Tolak Gaji RM1 Juta Daripada BAM, Kemelut Lee Zii Jia dan Badan Badminton Tersebut Selesai

Jaguh badminton nombor satu negara, Lee Zii Jia, dilaporkan telah menolak tawaran gaji sebanyak RM1 juta setahun daripada badan penyelia sukan badminton di Malaysia, BAM, seperti yang dilaporkan oleh Berita Harian.

Dalam laporan tersebut, satu sumber telah mengatakan bahawa BAM telah melakukan tawaran tersebut selepas perletakan jawatan Zii Jia pada 11 Januari lalu dan bergerak secara professional.

Menurut sumber tersebut lagi, ini adalah kali pertama BAM memberikan tawaran yang lumayan kepada mana-mana pemain yang berada di bawah naungan mereka.

“Datuk Lee Chong Wei (bekas jaguh perseorangan lelaki negara) yang menyumbang pelbagai kejayaan kepada negara ketika bergelar pemain pun tidak pernah mendapat tawaran sedemikian.

“Ini membuktikan betapa BAM cukup sayang kepada Zii Jia dan menghargai bakat yang dimilikinya. Zii Jia disifatkan sebagai aset penting kepada BAM.

“Bagaimanapun, tawaran itu masih tidak setanding dengan apa yang ditawarkan kepada Zii Jia sekiranya dia bergerak secara profesional. BAM sebagai persatuan turut mempunyai kekangan dan tidak boleh memberi tawaran di luar kemampuan tetapi sudah melakukan yang terbaik bagi memastikan Zii Jia kekal.

“Namun, pemain itu kekal dengan pendiriannya dan tetap mahu keluar daripada BAM,” katanya.

Seandainya pemain yang berada di ranking ketujuh dunia itu menerima tawaran BAM, dia bakal menerima pendapatan sebelum cukai sebanyak RM83,333 sebulan – satu nilai yang boleh dianggap sebagai sangat mewah dan mampu membeli sebijij Perodua Myvi setiap bulan.

Bayaran gaji tersebut semestinya tidak termasuk dengan tawaran yang lain seperti elaun-elaun tertentu selain wang kemenangan daripada kejohanan yang disertainya. Untuk rekod, pemain tidak akan mendapat seratus peratus mana-mana hadiah kemenangan dan pihak BAM berhak mendapat sebahagian daripada nilai kemenangan tersebut.

Walaubagaimanapun, tindakan Zii Jia yang menolak tawaran tersebut berkait rapat dengan tawaran penajaan yang bernilai USD 400,000 (RM1.67 juta) setahun, selama tujuh tahun daripada sebuah syarikat pengeluar peralatan sukan yang berpangkalan di Taiwan.

Ekoran perletakan jawatan ini, BAM pada 18 Januari lalu telah mengeluarkan satu kenyataan bahawa pihaknya tidak akan mendaftarkan Zii Jia dalam mana-mana kejohanan di peringkat antarabangsa selama dua tahun, sekaligus mencetuskan amarah daripada para peminat sukan tempatan di atas talian dengan ramai daripada mereka yang menyelar dan menyerang BAM.

Walaubagaimanapun, isu ini boleh dianggap telah selesai selepas presiden BAM, Tan Sri Norza Zakaria, telah memberikan perkenan bagi pemain tersebut untuk bergerak secara professional menerusi pertemuan tertutup kedua-dua belah pihak pada hari Selasa, 25 Januari di BAM.

Timbalan Presiden II BAM, Datuk Seri Jaharbedeen Mohd Yunos berkata kedua-dua pihak, BAM dan Zii Jia, telah mencapai kata sepakat bagi menyelesaikan kemelut yang hanya merugikan sukan badminton di negara ini.

“Pertemuan pada hari ini sangatlah positif, saya rasa  kami sudah menemui satu penyelesaian untuk kedua-dua, Lee Zii Jia dan BAM,” ujarnya seperti yang dilaporkan oleh The Star.

“Satu-satunya perkara yang tinggal untuk kami adalah mengajukan perkara ini kepada majlis mesyuarat BAM untuk pengesahan rasmi dan satu kenyataan rasmi akan dibuat pada minggu hadapan.

“Tapi jangan risau, kesimpulannya adalah sangat baik dan dapat diterima oleh kedua-dua pihak, BAM dan Zii Jia.”

Pada masa yang sama, Zii Jia telah memuat naik satu hantaran di laman sosial Facebooknya dan mengumumkan berita baik ini.

“Dengan sukacitanya saya telah mengadakan perbincangan hati ke hati dengan presiden BAM Tan Sri Norza Zakaria bersama-sama kedua ibu bapa saya. Saya juga gembira bahawa kami sudah menyelesaikan isu ini dengan BAM selepas mendapat restu daripada Tan Sri untuk bergelar pemain professional.

“Pencapaian saya di masa lalu dan yang akan datang adalah tetap hasil tangan Tan Sri Norza, BAM dan Malaysia. Saya sangat berterima kasih kepada Tan Sri yang memberi tunjuk ajar, bimbingan dan memberikan saya peluang untuk berkhidmat buat negara yang saya cintai.

“Buat masa ini, saya akan komited untuk Kejohanan Berpasukan Asia. Saya harap, penyelesaian ini akan menyatukan kita sebagai rakyat Malaysia dan juga peminat sukan badminton.

“Tolong teruskan sokongan kepada BAM dan juga pemain professional negara ini yang juga dibimbing oleh BAM kerana pada dasarnya, kita adalah satu,” tulisnya di ruangan Facebook.

Jadi, dengan itu tertutuplah sudah kisah kemelut antara kedua-dua belah pihak ini dan netizen dah boleh mula fokus ke cerita lain pula.

BACA:  Lee Zii Jia Dedah Banyak Belajar Dari Lee Chong Wei