Persatuan Bola Sepak Adakan Perbincangan Mahu Tinggalkan FIFA Sebagai Tanda Protes

Persatuan bola sepak Denmark (DBU) mahu mengadakan perbincangan dengan persatuan bola sepak Eropah yang lain dan berkemungkinan untuk keluar dan meninggalkan FIFA sebagai tanda protes.

Situasi ini tercetus bukanlah kerana mereka mahu melantik Perdana Menteri tetapi hanya kerana lilitan pelangi yang telah diharamkan pemakaiannya oleh FIFA di Piala Dunia 2022, Qatar.

Menjelang Piala Dunia Qatar , tujuh negara menulis surat kepada FIFA untuk menjelaskan hasrat mereka agar kapten mereka memakai lilitan lengan pelangi yang berbunyi ‘One Love,’ sebagai menyokong hak golongan tersakiti, semasa kejohanan itu.

Badan induk itu gagal untuk memberi maklum balas kembali kepada permohonan pasukan ini sehingga kejohanan hampir bermula, dengan kata lain FIFA tidak melayan permintaan mereka.

Di mana kapten England, Harry Kane antara yang paling lantang pada mulanya bersedia untuk memakainya tidak kira apa yang dikatakan oleh FIFA.

Namun FIFA membuat keputusan pada malam perlawanan pembukaan England, menentang Iran Isnin lalu, FIFA menegaskan bahawa mana-mana pemain yang memakai lilitan tangan akan dikenakan kad kuning, atau berpotensi menghadapi hukuman yang lebih keras.

Mana-mana kapten memakai lilitan itu akan dikenakan kad kuning dan jika terus memakainya mungkin kad kuning kedua menyusul yang membawa kepada kad merah.

England akhirnya kecut lalu memutuskan untuk tidak mengambil risiko, sehingga mendapat kritikan ramai, termasuk Roy Keane, dan pundit, Alex Scott memakainya ketika berada di tepi padang.

Ahli politik Jerman Nancy Faeser turut memakai lilitan itu, semasa kekalahan mengejut Jerman kepada Jepun, ketika duduk di sebelah presiden FIFA, Gianni Infantino.

FIFA tidak menghalang individu yang datang ke Qatar untuk memakai lilitan pelangi kerana FIFA tiada hak ke atas mereka tetapi tidak kepada pasukan yang bertanding.

Pemimpin badan induk yang berpangkalan di Switzerland itu mungkin mempunyai lebih banyak isu yang perlu dibimbangkan selepas kejohanan itu.

Di mana terdapat ugutan daripada persatuan bola sepak dari Eropah untuk meninggalkan FIFA bersama beberapa ahli yang lain.

Pengerusi FA Denmark (DBU) Jesper Moller telah mendedahkan dia bersedia untuk berbincang dengan 55 negara anggota UEFA yang lain mengenai kemungkinan itu.

“Ia bukan keputusan yang telah dibuat sekarang. Kami telah jelas mengenai perkara ini untuk masa yang lama. Kami telah membincangkannya di rantau Nordic sejak Ogos,” kata Moller.

“Saya telah memikirkannya sekali lagi. Saya membayangkan bahawa mungkin ada cabaran jika Denmark pergi sendiri. Tetapi mari kita lihat jika kita tidak boleh berdialog mengenai sesuatu.”

“Saya perlu memikirkan persoalan bagaimana untuk memulihkan keyakinan dalam FIFA. Kita mesti menilai apa yang telah berlaku, dan kemudian kita mesti mencipta strategi – juga dengan rakan sekerja Nordic kita.”

Selain meninggalkan FIFA, antara cadangan lain adalah untuk menjatuhkan Presiden FIFA, Gianni Infantino dalam pemilihan akan datang.

Gianni Infantino bersedia untuk bertanding untuk mengekalkan jawatan sebagai presiden FIFA sepenggal lagi dan Moller mendedahkan Denmark tidak menyokong lelaki yang mengambil alih jawatan itu daripada Sepp Blatter.

“Terdapat pilihan raya presiden dalam FIFA. Terdapat 211 negara dalam FIFA dan saya difahamkan presiden sekarang mempunyai kenyataan sokongan daripada 207 negara.”

“Denmark bukan antara negara tersebut. Dan kita juga tidak akan menjadi.”

Jalan menyingkirkan Infantino dari kedudukannya selaku presiden adalah sukar maka pilihan yang ada adalah dengan keluar dari FIFA secara berjemaah.

Jika situasi ini terjadi maka negara Eropah ini pasti tidak akan dapat beraksi di Piala Dunia dan mungkin kita dapat lihat Andorra, San Marino dan North Macedonia beraksi di Piala Dunia akan datang.

BACA:  Dua Biji Bola, Penalti, Lampu Laser di Muka Penjaga Gol : Perincian Senarai Kontroversi Dalam Perlawanan England Menentang Denmark