Pertarungan Aneh 3 Lawan 1 Mencuri Tumpuan Peminat MMA Seluruh Dunia

Sejarah baru telah tercipta dalam dunia sukan MMA yang mana salah seorang petarung yang digelar ‘Kung Fu Panda’ telah masuk ke gelanggang untuk bertarung dengan tiga petarung lain.

Perlawanan yang dilangsungkan di Poland itu dianggap antara pertarungan paling pelik dalam sejarah MMA, kerana menganjurkan perlawanan satu lawan tiga.

‘Kung Fu Panda’ turun bertarung dengan Milosz ‘Modlicha’ Wlodkowski, Maciej ‘Szwechu’ Szwech dan Norbert ‘Neted’ Grazka di Rzeszow hujung minggu lalu.

Walau bagaimanapun, alasan sebalik keputusan aneh beliau untuk turun bertarung dengan tiga lawan sekali gus masih belum diketahui.

Tidak pasti sama ada beliau terlalu yakin atau apa yang ada dalam fikirannya hingga percaya yang beliau mampu untuk menghabiskan aksi dalam pertarungan 3 lawan 1 itu.

Beliau mungkin yakin yang dirinya akan menang, namun pengadil perlawanan sepertinya sudah tahu apa akan berlaku dan melakukan persediaan rapi sebelum terjadinya hal-hal yang tak diingini.

Seperti yang dijangkakan, sebaik saja pertarungan dimulakan, ‘Kung Fu Panda’ terus kena keropok hingga beliau tidak mampu untuk berbuat apa-apa selain dari menahan kesakitan.

Tiga orang petarung itu seolah tidak mahu membuang masa dengan mereka berubah menjadi buaya lapar yang bertemu bangkai.

Ketiga-tiga mereka terus membelasah ‘Kung Fu Panda’ tanpa belas hingga menyebabkan pengadil terpaksa memberhentikan perlawanan seterusnya memberi kemenangan secara TKO kepada trio tersebut.

Situasi seperti itu sudah jelas akan berlaku dalam perlawanan ini, dengan ketiga-tiga lawannya menunjukkan kerjasama yang menakjubkan untuk tumbangkan ‘Kung Fu Panda’ seawal yang mungkin.

Salah seorang dari trio itu menumbangkannya lalu mengunci kaki beliau supaya ‘Kung Fu Panda’ tidak boleh kembali bangkit, dengan dua lagi petarung segera menghayun penumbuk ke bahagian kepala lawan mereka itu.

Selepas 2 minit 46 saat, pengadil perlawanan terpaksa memberhentikan pertarungan tersebut kerana merasakan maut menanti ‘Kung Fu Panda’ andai situasi tersebut diabaikan.

Ya, ini memang perlawanan yang aneh dan tidak masuk akal untuk dianjurkan. Beliau bukan bertarung dengan kanak-kanak, tetapi ketiga-tiga lawannya itu juga merupakan ahli gusti professional MMA.

Sebenarnya, perlawanan ini bukanlah aksi pertarungan aneh pertama yang pernah dianjurkan di Poland.

Tahun lalu, salah sebuah syarikat penganjur MMA di Poland telah menganjurkan pertarungan aneh antara ‘Disco Polo Star’ bertarung dengan orang kerdil (Selebriti Poland).

Sudah terang lagi bersuluh, bagaimana beliau nak hadap tiga orang dalam satu masa?

Pertarungan antara Marek Kruszel bertemu Mateusz Krzyzanowski atau lebih dikenali sebagai ‘Mini Majk’ itu telah berjaya mencuri perhatian ramai.

Ketika sesi timbang berat sahaja, lebih dari 1.3 juta orang menonton acara tersebut dan pelbagai reaksi yang telah ditunjukkan oleh para peminat.

Disamping perbezaan saiz yang sangat ketara, ‘Mini Majk’ telah mempamerkan aksi lawan balas yang sungguh menakjubkan walau beliau tewas dalam pertarungan tersebut.

Beliau turut sempat melepaskan beberapa das tumbukan yang tepat mengenai lawannya itu ketika mereka bertarung di dalam gelanggang Octagon.

Jelas sekali, persamaan antara kedua-dua pertarung ini adalah ia tidak masuk akal dan gila. Belum sempat mereka masuk gelanggang peminat sudah boleh jangka siapa akan menang dan bagaimana pertarungan itu akan berlangsung.

Sumber: SB

BACA:  Perlawanan Tinju Yang Berakhir Dengan 'Double Knockout'