Pertarungan Taktik : Apa Yang England Perlukan Untuk Menewaskan Denmark

England boleh dikatakan tidak pernah dilimpahi dengan skuad yang mempuyai begitu ramai pemain yang mampu memainkan bola dengan baik(ball playing), kreatif dan boleh menyerang, tetapi Gareth Southgate telah membuat keputusan untuk menurunkan kesebelasan utama pasukan ini dengan bermain tanpa penguasaan.

Apapun, dengan rekod masih belum bolos, sukar untuk mengatakan bahawa Southgate telah melakukan pilihan yang salah. Dalam peringkat kalah mati, melakukan tekanan awal dilihat menjadi keutamaan pengurus England ini.

Keputusannya untuk mengubah formasi kepada 3-4-3 ketika bertemu Jerman dengan membawa masuk seorang pertahanan ekstra sambil mengorbankan seorang penyerang, pada awalnya tindakan tersebut dipandang serong.

Namun Southgate tetap yakin dan menyatakan bahawa dia mahukan England bermain secara positif tanpa penguasaan bola.

Pada pertemuan suku akhir ketika menentang Ukraine, Southgate kembali menggunakan formasi 4-3-3 sekaligus menyaksikan England menampilkan perlawanan terbaik mereka dalam kejohanan setakat ini.

Anak buah Andriy Shevchenko, seperti Jerman, menggunakan sistem tiga pertahanan walaupun bentuk formasi mereka lebih kepada 3-5-2 berbanding Jerman 3-4-3. Ini bermaksud Southgate menurunkan pasukan yang melakukan tekanan dengan cara yang berbeza – membenarkan penerapan bola ke kawasan bek sayap dan bergantung kepada Luke Shaw dan Kyle Walker untuk naik dan turun membantu serangan dan pertahanan.

Tindakan ini sekaligus menyebabkan dua penyerang Ukraine berhadapan dengan dua pertahanan tengah England – Harry Maguire dan John Stones.

Pendekatan yang diambil ketika menentang Ukraine, sudah pastinya tidak akan berjaya jika bertemu pasukan yang menggunakan tiga penyerang seperti Jerman, dan juga lawan mereka di separuh akhir – Denmark.

Southgate boleh dikatakan berada dalam dilema, bukan kerana Malaysia baru sahaja mendapat Timbalan Perdana Menteri yang baharu, tetapi dalam menyusun pemain yang sesuai untuk berhadapan Denmark nanti.

Corak Permainan Denmark

Ada sesetengah pihak yang mahukan Southgate menurunkan kesebelasan utama yang sama ketika menentang Ukraine dan bermain dalam sistem yang sama, tetapi dengan formasi 3-4-3 Denmark, tindakan tersebut boleh mengundang bahaya bukan sahaja ketika bertahan, malah ketika menyerang juga pasukannya tidak mempunyai kelebihan yang nyata.

Andreas Christensen, Simon Kjaer dan Jannik Vestergaard – kesemuanya adalah pertahanan tengah yang mantap dan setiap daripada mereka juga mampu untuk membawa bola ke atas untuk diberikan kepada pemain dengan dengan sungguh efektif.

Pierre-Emile Hojberg dan Thomas Delanye adalah satu pasangan tengah yang cukup efektif dalam Euros etakat ini. Ketika Denmark melakukan build-up, kedua-dua pemain ini jarang berada dalam keadaan sebaris dan selalunya salah seorang akan turun ke bawah untuk mengutip bola dan seorang lagi akan naik ke atas untuk memberikan lebihan pemain di bahagian atas.

Ini akan menjadikan kerja pemain tengah pasukan lawan agak sukar jika mereka mahu memberikan tekanan awal..

Jauh di sebelah tepi, Joakim Maehle telah beraksi dengan begitu baik sebagai bek sayap kiri, meskipun kaki dominannya adalah kanan, manakala Daniel Wass dan Jens Stryger Larsen pula merebut tempat di posisi bek sayap kanan.

Pemain yang akan merumitkan keadaan dalam perlawanan nanti pastinya Mikkel Damsgaard, yang selalu turun sedikit ke bawah untuk menarik keluar pertahanan lawan daripada barisan, selain untuk memberikan pilihan tambahan untuk pengedaran bola yang efektif. Pemain ini juga cukup pandai dalam mencari ruang, maka England pastinya perlu lebih berhati-hati dalam memastikan pemain ini tidak boleh bergerak bebas.

Kasper Dolberg mampu memberi ancaman dengan ketajamannya sebagai penyerang  dan Martin Braithwaite pula sering kali dilihat bertukar-tukar posisi dengan Damsgaard dan mempunyai kelajuan di belakang Dolberg.

Pengurus Kasper Hjulmand melakukan kejutan dengan bertukar kepada 4-3-3 ketika bertemu Wales, dengan Christensen dinaikkan ke atas di posisi tengah bertahan. Sekali lagi, Damsgaard mencipta masalah besar dengan bergerak masuk ke bahagian tengah dari sayap untuk memenuhkan ruang.

Jadi apa yang perlu Southgate lakukan?

Pertama, mari bayangkan kalau dia menggunakan kesebelasan utama dan sistem yang sama ketika bertemu Ukraine tempoh hari.

Jadon Sancho serta Raheem Sterling bermain dengan begitu sempit di Rome untuk memenuhkan di ruang tengah padang, tetapi mereka bakal berhadapan situasi bahaya kerana Denmark mampu melakukan sesuatu daripada pergerakan turun naik bek sayap mereka.

England tak boleh terlepas pandang dua pemain tersebut, terutamanya Maehle. Pada masa yang sama, urusan bek sayap Denmark ini juga tidak boleh ditinggalkan kepada Shaw dan Walker kerana Damsgaard dan Braithwaite bakal mengkucar-kacirkan barisan pertahanan dengan pergerakan mereka yang bebas.

Sudah tentu Southgate juga tidak mahukan pembaziran pergerakan daripada Sancho dan Sterling untuk pergi mengikut dua pemain kreatif tersebut dan mebentuk enam pertahanan. Rugi.

Dalam bahasa mudahnya, sistem 4-3-3 tidak sesuai digunakan untuk bertemu Denmark.

Tetapi kalau England bertukar kepada formasi 3-4-3, mereka bakal mempunyai tugas yang lebih jelas ketika bertahan, di mana setiap pemain boleh ditugaskan untuk melakukan man-to-man marking – tiga lawan tiga di atas, empat lawan empat di tengah, dan tiga lawan tiga di bawah. Mudah, kan?

Bagaimana pula jika Denmark bertukar kepada 4-3-3? Jika hal ini berlaku, maka England terpaksa mengubah formasi daripada 3-4-3 kepada 3-4-1-2, dengan Mason Mount menjadi watak penting untuk membuli Christensen di depan pertahanannya.

Bek sayap pula pasti akan terpaksa naik tinggi ke atas untuk menutup ruang pergerakan bek sisi pasukan lawan dan pada masa yang sama boleh menjadi sumber suapan bola kepada Kane di dalam kotak penalti Denmark.

Apapun, agak mustahil Denmark akan turun dengan formasi ini kerana ini akan melemahkan peluang mereka untuk melakukan serangan balas terhadap lawan yang jauh lebih kuat berbanding mereka  – sekurang-kurangnya di atas kertas.

Bagi England, tak kiralah apa formasi Denmark akan gunakan nanti, tetapi secara teorinya mereka lebih berpeluang jika turun dengan formasi 3-4-3. Dari sudut kreativiti, mungkin akan sedikit menurun tetapi dengan kemampuan Shaw mencipta peluang dari sebelah kiri, ditambah pula dengan rekod jaringan Sterling yang cemerlang dan Kane yang kini sudah ingat cara untuk menjaringkan gol, formasi ini boleh dikatakan formasi yang stabil dalam perlawanan sepenting malam ini.

Tidak lupa juga, set-piece, sangat penting dalam mendapatkan gol terutamanya di awal permainan.

Tapi apapun, Southgate adalah seorang pengurus yang bijak dan dia tidak perlukan admin The Sukan pun untuk memberikannya nasihat.  Lagipun dia pasti sudah belajar kesilapan daripada perlawanan separuh akhir Piala Dunia tiga tahun lalu. Terima kasih kerana sudi membaca.

Sumber : The Athletic

BACA:  English FA : Nasib England Di Tangan Penyokong