Piala AFF 2020: Faisal Halim dan Khairulazhan Positif COVID-19

Berita duka buat pasukan Harimau Malaya bagi menghadapi saingan Piala AFF 2020 apabila dua pemain. Khairulazhan Khalid dan Faisal Halim disahkan positif COVID-19 selepas menjalani ujian PCR yang dilakukan di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura.

Perkara ini telah dimaklumkan oleh Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Mohd Saifuddin Abu Bakar melalui media sosial rasmi FAM.

“Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan bahawa dua pemain skuad Harimau Malaya ke Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura telah disahkan positif COVID-19 selepas keputusan ujian PCR yang dilakukan di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Jumaat lalu diperolehi.”

Pemain yang disahkan positif telah diarahkan pihak berkuasa Singapura untuk menjalani kuarantin kendiri kerana tiada gejala.

“Dua pemain berkenaan – Khairulazhan Khalid dan Faisal Halim kini diarahkan untuk menjalani kuarantin kendiri sehingga ke 10 hari oleh pihak berkuasa di Singapura ini yang mana tahap kesihatan mereka akan dipantau secara harian memandangkan mereka tidak bergejala.”

Khairulazhan Khalid dan Faisal Halim akan dibenarkan menjalani latihan dan beraksi dalam baki perlawanan jika keputusan seterusnya negatif.

“Jika ujian selanjutnya itu mendapati pemain tersebut telah bertukar status kepada negatif COVID-19, maka mereka akan dibenarkan untuk kembali menyertai aktiviti bersama pasukan dengan serta-merta dan juga dapat beraksi pada baki kejohanan ini.”

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menjelaskan tiada tindakan seperti penggantungan kepad pasukan Malaysia dari pihak penganjur dan Harimau Malaya boleh meneruskan aksi seperti yang dijadualkan.

“Biarpun tanpa dua pemain ini, skuad kendalian Tan Cheng Hoe tetap akan meneruskan perlawanan pertama Kumpulan B berdepan Kemboja di Stadium Bishan, petang esok dengan baki pemain lain yang ada selepas kesemua mereka diuji negatif pada ujian susulan yang telah pun dilakukan.”

Malaysia akan turun perlawanan pertama kumpulan B menentang Kemboja pada 6 Disember (esok) dan untuk kejohanan kali ini Tan Cheng Hoe membawa 24 orang pemain.

Setiap negara bertanding dibenarkan membawa skuad akhir seramai 30 orang pemain dan wajib termasuk 3 orang penjaga gol dalam senarai ini. Bagi setiap perlawanan hanya 23 pemain sahaja dibenarkan untuk didaftarkan.

Senarai Penuh Skuad Malaysia

Jurulatih pasukan Malaysia, Tan Cheng Hoe telah mengumumkan senarai akhir 24 pemain skuad Harimau Malaya ke Piala AFF 2020 yang bakal berlangsung di Singapura.

Sebelum mengumumkan senarai akhir pemain, Tan Cheng Hoe telah membawa masuk dua muka baharu iaitu penjaga gol PJ City FC, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi dan pemain muda berbisa JDT, Arif Aiman Mohd Hanapi.

Kedua-dua pemain ini dipanggil Ke Latihan Pusat Harimau Malaya bagi menggantikan Azri Ab Ghani dan Mohamadou Sumareh yang disahkan mengalami kecederaan.

Selepas berakhirnya dan tamatnya liga Malaysia dengan satu penutup indah dari Kuala Lumpur City FC yang mencipta kisah dongeng di perlawanan akhir, Tan Cheng Hoe memuktamadkan pemilihan pemain akhir beliau.

Pemain yang beraksi bersama kelab di luar negara akan hadir untuk kem latihan mengikut tarikh pelepasan yang dibenarkan oleh kelab masing-masing.

Pemain kacukan Malaysia, Dion Cools akan menjadi pemain terakhir menyertai skuad Harimau Malaya selepas tamat tugas bersama FC Midtjylland di saingan Piala Danish peringkat suku akhir pada 13 Disember.

Dion Cools dijangka hanya akan beraksi dan membuat debut di Piala AFF pada perlawanan keempat peringkat kumpulan menentang Indonesia pada 19 Disember.

Penjaga Gol

1. Mohd Khairulazhan Mohd Khalid – Selangor FC (32 Tahun)
2. Khairul Fahmi Che Mat – Melaka United FC (32 Tahun)
3. Kalamullah Al-hafiz Md Rowi – Petaling Jaya City FC (26 Tahun)

Pertahanan

1. Mohamad Aidil Zafuan Abd Radzak – Johor Darul Ta’zim FC (34 Tahun)
2. Shahrul Mohd Saad – Johor Darul Ta’zim FC (28 Tahun)
3. Mohd Rizal Mohd Ghazali – Kedah Darul Aman FC (29 Tahun)
4. Muhammad Ariff Farhan Md Isa – Kedah Darul Aman FC (25 Tahun)
5. Muhammad Syahmi Safari – Selangor FC (23 Tahun)
6. Mohamad Arif Fadzilah Abu Bakar – Terengganu FC (25 Tahun)
7. Quentin Cheng Jiun-ho – Penang FC (22 Tahun)
8. Junior Eldstal – Chonburi FC (30 Tahun)
9. Dominic Tan – Police Tero FC (24 Tahun)
10. Dion-johan Cools – FC Midtjylland (25 Tahun)

Tengah

1. Kogileswaran Raj A/l Mohana Raj – Petaling Jaya City FC (23 Tahun)
2. Muhammad Syafiq Ahmad – Johor Darul Ta’zim FC (26 Tahun)
3. Baddrol Bakhtiar – Kedah Darul Aman FC (33 Tahun)
4. Muhammad Akhyar Abdul Rashid – Johor Darul Ta’zim FC (22 Tahun)
5. Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi – Selangor FC (20 Tahun)
6. Arif Aiman Mohd Hanapi – Johor Darul Ta’zim FC (19Tahun)
7. Mohamad Faisal Abdul Halim – Terengganu FC (23 Tahun)
8. Muhammad Safawi Rasid – Johor Darul Ta’zim FC (24 Tahun)

Penyerang

1. Luqman Hakim Shamsudin – KV Kortrijk (19 Tahun)
2. Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi – Selangor FC (27 Tahun)
3. Guilherme De Paula Lucrecio – Johor Darul Ta’zim FC (35 Tahun)

Pemain Yang Digugurkan

1. Mohamadou Sumareh – Johor Darul Ta’zim FC (27 Tahun)
2. Muhammad Akram Mahinan – Kuala Lumpur City FC (28 Tahun)
3. Kenny Pallraj A/l Davaragi – Kuala Lumpur City FC (28 Tahun)
4. Mohammad Fayadh Mohd Zulkifli Amin – Kedah Darul Aman FC (29 Tahun)

BACA:  Sejarah Piala AFF: Indonesia Raja Naib Juara