Sejarah Piala AFF: Indonesia Raja Naib Juara

Kejohanan Bola Sepak Asean atau lebih dikenali sebagai AFF Suzuki Cup merupakan sebuah kejohanan bola sepak yang dianjurkan oleh badan induk bola sepak ASEAN, untuk pasukan-pasukan dari benua Asia Tenggara.

Piala AFF yang dahulunya pernah digelar sebagai Piala Tiger merupakan kejohanan utama untuk saingan bola sepak Asia Tenggara dengan Thailand merupakan pemenang terbanyak kejohanan tersebut.

Thailand merupakan Juara lima kali Piala AFF, diikuti Singapura empat kali, Vietnam dua kali dan Malaysia turut pernah sekali memenangi kejohanan tersebut.

Pertandingan ini pertama kali dilangsungkan di Singapura pada tahun 1996 dengan Thailand pada ketika itu muncul sebagai Juara selepas menewaskan Malaysia dalam aksi perlawanan akhir.

Piala AFF pada ketika itu masih digelar Piala Tiger dengan syarikat gergasi minuman itu menamatkan tajaan mereka pada tahun 2004.

Piala Tiger dianjurkan sebanyak empat kali, dengan tiga darinya dimenangi oleh Thailand, sementara Singapura turut berjaya sekali menjulang Piala tersebut.

Sebaik menukar nama kepada Piala AFF, Singapura berjaya menjadi pasukan pertama yang memenangi pertandingan tersebut, selepas mereka menewaskan Indonesia dalam aksi perlawanan akhir.

Credit gambar: Pandit Football

Format Piala AFF

Sepanjang Piala AFF dipertandingkan, pihak penganjur telah beberapa kali menukar format pertandingan dengan tiga edisi awal (Piala Tiger) mereka memperkenalkan sistem beraksi di sebuah tempat sahaja.

Sama seperti konsep Piala Dunia, dengan semua perlawanan dari awal hingga akhir akan dilangsungkan di negara tuan rumah sahaja.

Pada edisi tahun 2002, format pertandingan diubah dengan dua negara dipilih menjadi tuan rumah untuk aksi peringkat kumpulan.

Singapura dan Indonesia merupakan dua negara pertama yang dilantik menjadi tuan rumah bersama pada ketika itu.

Credit: Bola.com

Pada edisi 2004, pihak penganjur sekali lagi mengubah format pertandingan dengan menggunakan sistem ‘home’ dan ‘away’ untuk aksi peringkat kalah mati.

Format yang sama kekal digunapakai sehingga edisi 2016, namun ada perubahan yang berlaku pada edisi tersebut dengan tiada lagi aksi penentuan tempat ketiga dan keempat.

Piala AFF 2018 merupakan antara yang paling menarik dengan penganjur memperkenalkan aksi home dan away untuk aksi sepanjang pertandingan.

Di peringkat kumpulan, setiap pasukan akan bermain empat perlawanan dengan dua perlawanan di halaman sendiri, dan dua perlawanan lagi akan dimainkan di halaman lawan.

Masuk aksi peringkat kalah mati, format sama masih tetap digunapakai dan ia sebenarnya menarik minat lebih ramai untuk menyaksikan pertandingan tersebut.

Credit: Goal.com

Thailand Raja Piala AFF

Thailand merupakan gergasi besar dalam saingan Piala AFF dengan mereka pernah muncul Juara sebanyak lima kali sejak dari tahun 1996.

Mereka muncul Juara buat pertama kali ketika edisi pertama kejohanan pada tahun 1996 dengan menewaskan Malaysia 1-0 dalam aksi perlawanan akhir di Singapura.

Pada tahun 1998, Piala AFF menjadi milik Singapura yang berjaya menewaskan Vietnam dengan keputusan 1-0 dalam aksi perlawanan akhir.

Thailand kemudiannya muncul Juara sebanyak dua kali berturut-turut dengan mereka menewaskan lawan yang sama, Indonesia di aksi perlawanan akhir pada tahun 2000 dan 2002.

Credit: CNN Indonesia

Singapura kemudiannya melakukan hal yang sama dengan memenangi dua kejohanan tersebut secara berturut-turut pada tahun 2004 dan 2007 dengan menewaskan Indonesia dan Thailand dalam aksi perlawanan akhir.

Vietnam pada tahun 2008 berjaya menjadi Juara dalam saingan AFF buat pertama kali dalam sejarah mereka, selepas menewaskan Thailand 3-2 secara aggregate.

Skuad kebangsaan Malaysia berjaya mencipta sejarah muncul Juara saingan Piala AFF buat pertama kalinya pada tahun 2010, selepas cemerlang menundukkan Indonesia 4-2 secara aggregate.

Singapura memenangi gelaran AFF keempat dalam sejarah mereka pada tahun 2012, selepas menewaskan Thailand dalam aksi perlawanan akhir.

Thailand kemudiannya menunjukkan yang mereka masih kuasa besar di benua Asia Tenggara selepas menjuarai dua edisi Piala AFF pada tahun 2014 dan 2016 selepas menewaskan Malaysia dan Indonesia.

Pada edisi terakhir kejohanan ini dilangsungkan, Vietnam berjaya muncul sebagai Juara, selepas kejayaan mereka menewaskan Harimau Malaya dalam aksi perlawanan akhir.

Indonesia Raja Naib Juara Piala AFF

Kalau Thailand dianggap Raja di benua Asia Tenggara, Indonesia pula bolehlah dianggap sebagai timbalan Raja dek kerana rekod mereka yang sering menjadi naib juara.

Indonesia merupakan antara pasukan paling kerap layak ke perlawanan akhir, namun mereka tidak pernah sekalipun muncul sebagai Juara saingan Piala AFF.

Negara jiran kita hanya mampu muncul sebagai naib juara sahaja sebanyak lima kali, namun berita gembira untuk mereka, rekod lima kali itu merupakan yang tertinggi berbanding mana-mana pasukan.

Tidak ada pasukan lain yang paling kerap muncul sebagai naib juara dalam pertandingan ini melainkan Indonesia.

Bermula pada tahun 2000 dan 2002 ketika tewas di tangan Thailand, Indonesia kemudiannya tewas kepada Singapura pada tahun 2004.

Mereka kemudiannya menjadi mangsa kepada skuad Harimau Malaya pada tahun 2010, sebelum sekali lagi dikecewakan oleh Thailand pada tahun 2016.

Dari kesemua lima aksi perlawanan akhir, Indonesia tidak pernah muncul sebagai Juara namun mereka sering menjadi calon kegemaran untuk muncul sebagai Juara.

Sumber: Wikipedia

BACA:  KETUM PSSI Kecewa Dengan Keputusan Aneh Singapura dan Laman AFF Suzuki Cup Diserang