Piala AFF Suzuki 2020: Vietnam 3-0 Malaysia

Malaysia turun dengan kesebelasan yang sama ketika menumpaskan Laos tempoh hari dengan Khairul Fahmi Che Mat masih mengekalkan tempatnya sebagai penjaga gawang, dengan dibantu oleh empat pertahan, Rizal Ghazali di sebelah kanan, Syahmi Safari di sebelah kiri serta juga Aidil Zafuan dan Shahrul Saad di bahagian tengah.

Bermain di posisi pemain tengah bertahan adalah bekas pemain Kedah, Baddrol Bakhtiar. Pemain muda Mukhairi Ajmal bergandingan dengan Syafiq Ahmad sebagai sumber kreatif pasukan.

Safawi Rasid kekal di bahagian sayap kanan manakala Ariff Aiman pula bermain di bahagian sayap kiri, bagi memberikan sokongan kepada penyrang utama negara, Luqman Hakim.

Sebaik sepak mula, Vietnam jelas menguasai perlawanan menerusi gerakan-gerakan pantas di kalangan pemain mereka. Tambahan pula, anak buah Park Hang –Seo bagaikan baru berguru dengan Ralf Rangnick di mana mereka kerap melakukan pressing awal setiap kali pemain Malaysia mendapat bola.

Malaysia pula bermain dengan sangat berhati-hati di mana anak buah Tan Cheng Hoe lebih banyak menunggu bola di dalam kawasan sendiri, menantikan kedatangan bola bersama pemain Vietnam sambil melakukan serangan balas jika ada kesempatan.

Malang buat Malaysia pada awal perlawanan apabila kapten, Aidil Zafuan terpaksa dikeluarkan selepas mengalami kecederaan dan digantikan oleh Dominic Tan.

Pada minit ke-20, Vietnam nyaris medapat gol pertama apabila pemain bernombor 20, Nguyễn Công Phượng, langsung tidak dikawal ketika menerima hantaran lintang dari sebelah kanan. Mungkin silau, Chong Phuong sekadar menanduk angin dan bola singgah tidak tepat di kepalanya.

Selepas menerima asakan bertali arus tanpa belas, akhirnya gawang Malaysia bolos juga. Pemain Vietnam memulakan gerakan di sebelah kiri sebelum melakukan cutback kepada Nguyen Quang Hai yang melakukan larian breakthrough tanpa dikawal mana-mana pemain Malaysia.

Quang Hai kemudiannya melepaskan rembatan lencong ke sebelah kanan Khairul Fahmi Che Mat yang hanya mampu tergamam dan terkesima melihat bola meluru laju ke dalam gol.

Selang seminit kemudian, Malaysia berpeluang untuk menjaringkan gol penyamaan apabila tandukan ke belakang oleh pemain tengah Vietnam, gagal diagak oleh pemain Vietnam yang sorang lagi tu.

Luqman Hakim berjaya mendapatkan bola dan ketika dia hanya berdepan dengan penjaga gol lawan, sepakan kaki kirinya sekadar terkeceper ke sebelah kiri gol Vietnam dan bola bergolek sampai terkena papan iklan Oppo A95.

Pada minit ke-36, gol Malaysia bolos lagi dan kali ini menerusi Chong Phuong. Pemain berjersi nombor 10 ini menerima bola menerusi satu flick cantik daripada rakan sepasukannya, dan berjaya menewaskan dua pertahanan Malaysia sebelum melepaskan satu rembatan menewaskan Khairul Fahmi.

Nguyen Cong Phuong mempamerkan kemahirannya menggelecek pemain Harimau Malaya mencari ruang dan melepaskan rembatan terkena tiang dan masuk ke gawang.

Pada penghujung babak pertama, Syafiq Ahmad hampir menjaringkan gol pertama buat negara selepas menerima hantaran yang cantik daripada Baddrol Bakhtiar. Walaubagaimanapun, cubaannya berjaya ditangkis oleh penjaga gol Vietnam.

Kepenghujung separuh masa pertama Malaysia terus bergelut untuk bersaing dengan Vietnam yang teramat solid permainan mereka dengan penuh berdisiplin.

Hanya dua sahaja percubaan Harimau Malaya tanpa sebarang percubaan tepat serta tanpa sebarang sepakan penjuru, membuktikan betapa Vietnam mendominasi perlawanan.

Bersambung separuh masa kedua, Tan Cheng Hoe mengeluarkan Mukhairi Ajmal dan memasukkan Kogileswaran. Guilherme De Paula juga dimasukkan.

Malaysia bermula positif apabila mula mengasak dan berjaya mendapatkan sepakan penjuru pertama dan kedua dalam perlawanan ini.

Kecederaan terus membelenggu pertahanan tengah Malaysia, selepas Aidil Zaquan mengalami kecederaan, Shahrul Saad pula terpaksa dikeluarkan.

Malaysia kini tiada pemain tengah semulajadi kecuali Dominic Tan yang tersisa. Berbaki dua minit permainan segala tidak menjadi buat Malaysia.

Aksi longlai terus dipamerkan hanya bertahan menyerap asakan demi asakan dari Vietnam yang terus berdisiplin.

Pada minit ke-82, Ariff Aiman melakukan percubaan terbaik Malaysia dengan rembatan dari sudut sempit sebelum disusuli satu lagi percubaan jarak jauh.

Dipenghujung perlawanan Nguyen Hoang Duc menjaringkan gol ketiga melalui satu gerakan solo yang mudah memperkotak-katikkan tiga pertahanan Harimau Malaya.

Rembatan dilepaskan dicelahan pemain sekali lagi membuatkan Khairul Fahmi Che Mat meratap tanah melihat bola menujuk ke bucu gawang.

Malaysia akan berdepan Indonesia dalam perlawanan terakhir dan kemenangan satu-satunya pilihan Malaysia untuk mara ke separuh akhir.

Ternyata Vietnam berada ditahap lain dan tersendiri jika dibandingkan dengan pasukan Asia Tenggara yang lain.

BACA:  Rating Membabi Buta Malaysia vs Kemboja