Pickford Berjanji Tidak Akan Menjadi ‘Alisson’ Ketika Mewakili England

Penjaga gol Everton, Jordan Pickford berjanji beliau tidak akan mengambil risiko ketika menjaga gawang England seperti yang dilakukan Alisson Becker ketika menyarung jersi Liverpool.

Pickford merupakan penjaga gol utama England bagi kempen Piala Dunia 2018 dan hampir pasti akan mengekalkan tempatnya apabila England melayan kunjungan Sepanyol di Stadium Wembley hujung minggu ini.

Pickford berjanji tidak akan ulangi aksi gila ‘Alisson’ ketika menyarung jersi England

Bekas penjaga gol Sunderland ini berjaya meraih perhatian Gareth Southgate disebabkan kemampuannya menjaga gawang gol dan juga kebolehan beliau merencana gerakan pasukan dari bawah. England di bawah Southgate mengamalkan corak permainan yang hampir sama seperti Jurgen Klopp bersama Liverpool dimana penjaga gol perlu selesa ketika bola berada di kaki.

Pickford berkata beliau gembira untuk menjadi sebahagian dari corak permainan seperti yang diminta Southgate dan berjanji tidak akan membuat sebarang ‘tipu helah’ seperti yang dilakukan Alisson ketika perlawanan Liverpool-Leicester tempoh hari.

Penjaga gol antarabangsa Brazil itu bermain dengan api apabila cuba menggelecek pemain Leicester dengan menarik bola ke belakang. Malangnya, tindakan Alisson itu nyata membawa padah kerana bola berjaya dirampas dari kakinya dan menyebabkan gawang Liverpool berjaya dibolosi.

Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah jua. Itulah yang berlaku kepada Alisson minggu lalu

“Saya akan cuba untuk tidak menggunakan sebarang tipu helah kerana saya tidak mahu bola dirampas dari kaki saya. Ia merupakan suatu tindakan yang berbahaya. Anda akan kelihatan hebat jika berjaya tetapi jika gagal anda akan menerima padah.”

“Ia merupakan style permainan sesebuah pasukan dan saya percaya ia merupakan style yang diguna pakai Liverpool ketika ini. Tetapi kesilapan penjaga gol akan berlaku juga akhirnya. Kebiasannya kesilapan penjaga gol akan menyebabkan gawang pasukan dibolosi.”

Gareth Southgate mahu pemainnya short pass dan membina permainan dari bawah

“Kesilapan akan berlaku dan apa yang penting adalah anda tidak mengulanginya lagi. Saya tidak akan meletakkan diri saya pada kedudukan yang mampu menyebabkan saya membuat kesilapan.”

“Sebenarnya ia lebih kepada situasi anda dalam sesuatu perlawanan. Anda tidak mahu berasa terlalu selesa ketika pasukan anda sedang mendahului dan cuba menjadi pemain No.10”

“Jika saya diminta berbuat demikian, saya akan melakukannya. Tetapi jika tidak, kita akan cari jalan lain untuk memenangi perlawanan. Semakin banyak perlawanan saya harungi, semakin banyak saya belajar mengenai pengurusan ketika perlawanan berlangsung.”

England akan menghadapi Sepanyol dalam perlawanan pertama UEFA Nation League (League A,  Kumpulan 1) di Stadium Wembley

“Semuanya bergantung terhadap keputusan yang anda ambil, melakukan sesuatu pada waktu yang tepat, dan saya sendiri tidak mahu meletakkan diri saya dalam risiko yang tinggi.”

BACA:  Jika England Gagal Tewaskan Jerman, Ia Dianggap Satu Hal Yang Memalukan Negara