Pochettino Akui Sukar Jelaskan Kekalahan Chelsea Lawan 10 Pemain West Ham

Mauricio Pochettino mengakui sukar untuk menjelaskan kekalahan 3-1 kepada West Ham yang beraksi dengan 10 pemain selama hampir 30 minit perlawanan.

The Blues ketinggalan seawal minit ke-7 perlawanan melalui tandukan Nayef Aguerd sebelum giliran Michail Antonio dan sepakan penalti Lucas Paqueta membatalkan gol penyamaan Carnet Chukwuemeka.

Mimpi ngeri Chelsea di Stadium London menjadi lebih menyeramkan buat Pochettino selepas pemain benilai £115 juta Moises Caicedo yang dibawa masuk pada jendela perpindahan musim panas memberikan penalti buat lawan.

Namun demikian Pochettino enggan terlalu terbawa dengan kekalahan tersebut walaupun hanya mengutip 1 mata daripada dua perlawanan pertama Premier League pada musim ini.

Mengulas persembahan pasukan kendaliannya, Pochettino ketika ditemubual Sky Sports selepas perlawanan berkata: “Inilah bola sepak. Pasukan seperti kami harus segera mencari kesimbangan.

“Pada pendapat saya ada beberapa aspek di dalam perlawanan yang kami gagal kawal yang menjadi kami dibolosi lawan.

“Kami mencipta banyak peluang pada babak pertama perlawanan. Kami sepatutnya sudah menang perlawanan ini dengan persembahan pada babak pertama.

“Pada babak kedua dengan aksi yang jarang disaksikan kami dibocori sekali lagi. Untuk mencari ruang dalam usaha mencipta peluang terbuka [adalah sukar], tetapi secara keseluruhan perlawanan [kekalahan] seperti ini sukar dijelaskan.

“Anda memiliki penguasaan bola, mencipta peluang dan mungkin anda juga pasukan yang lebih bagus. Namun ia tetap berakhir dengan kekalahan.”

Chelsea dikecewakan oleh skuad kendalian David Moyes hampir keseluruhan babak kedua di mana rangkaian penyerang Chelsea dengan mudah dibuli pemain pertahanan West Ham.

Perlawanan tersebut turut menyaksikan Enzo Fernandez gagal menyempurnakan sepakan penalti ketika kedudukan 1-1 selepas percubaan pemain itu diselamatkan penjaga gol Hammers, Alphonse Areola.

Pochettino turut mengakui kegagalan menyempurnakan sepakan tersebut sedikit sebanyak melemahkan semangat melawan pasukannya.

“Ia amat mengecewakan apabila sepakan penalti itu gagal disempurnakan. Kami bermain dengan baik dan mendapat hasilnya.

“Kami memulakan babak kedua dengan kepercayaan ini. Kami harus bermain lebih baik dalam situasi ini kerana kami memang tahu West Ham akan bertahan di garis rendah dan lebih berminat melakukan serangan balas berbahaya.

“Sangat kecewa tetapi ini hanya permulaan. Kami harus percayakan proses yang dilakukan. Saya berpendapat kami akan menjadi lebih kuat dan akan tampil lebih kompetitif selepas ini,” tambah Pochettino.

BACA:  Gara-Gara Dibelasah Di Gelanggang Sendiri, Peminat West Ham Menceroboh Padang