Pochettino: Spurs Tidak Mampu Beli Gareth Bale Buat Masa Sekarang

Pengurus Tottenham Hotspurs, Mauricio Pochettino menolak dakwaan sesetengah pihak yang mendakwa Spurs akan cuba untuk mendapatkan Gareth Bale, tetapi mengakui kepentingan untuk memperkuatkan skuad sedia ada dengan pemain baru.

Tidak seperti kelab besar yang lain, Spurs masih lagi berdiam diri dalam pasaran perpindahan dan belum melakukan sebarang perpindahan untuk menghadapi kempen musim depan. Desas-desus mengatakan Spurs sebenarnya sedang menyimpan duit untuk cuba memancing Bale kembali ke White Hart Lane.

Tidak seperti kelab besar lain, Spurs masih lagi berdiam diri dalam pasaran perpindahan pemain. Mungkin takde duit sebab bina stadium baru

Spekulasi ini dikuatkan lagi dengan kenyataan Bale selepas Real Madrid menjulang trofi Liga Juara-Juara Eropah musim lepas yang mana beliau kecewa sering diletakkan di bangku simpanan dan akan menilai masa depannya di Santiago Bernabeu.

Apabila ditanya mengenai peluang Spurs untuk mendapatkan Bale pada tirai perpindahan ini, Pochettino hanya mampu tersenyum selepas mendengar soalan tersebut.

“Saya rasa ia merupakan perpindahan yang tidak realistik buat Tottenham.”

Tottenham kini sedang berada di Amerika Syarikat bagi menghadapi International Champions Cup. Mereka baru sahaja tewas di tangan Barcelona menerusi penentuan sepakan penalti semalam, tetapi turun beraksi tanpa khidmat 9 pemain utama yang masih lagi bercuti kerana terlibat dalam Piala Dunia.

Apa, Gareth Bale !? Tak logik, tak logik

Moussa Sissoko mengalami kecederaan dalam perlawanan tersebut manakala Erik Lamela dan Victor Wanyama juga tidak kelihatan walaupun turut bersama skuad Spurs di Amerika Syarikat.

“Sama ada pemain kami mengalami kecederaan atau tidak, sasaran utama saya selepas berakhirnya kempen musim lepas adalah untuk menambah beberapa pemain berkualiti yang mampu membantu Tottenham mencapai apa yang kami hajati.”

“Saya mesti lebih tenang dan terus bekerja keras. Fokus utama saya adalah untuk membantu pasukan ini berkembang dan bermain dalam cara yang saya mahukan. Saya juga mahu memastikan pasukan ini berada dalam keadaan terbaik apabila musim bermula.”

“Tiada apa yang akan berubah sekiranya saya mengubah kelakuan saya.”

Tanpa khidmat beberapa pemain utama yang masih lagi bercuti, ia telah memberi peluang kepada pemain remaja Tottenham untuk membuktikan kemampuan mereka di hadapan Pochettino. Bekas pengurus Southampton nyata gembira dengan apa yang disaksikannya setakat ini dari pemain muda Spurs.

Luke Amos, ubi paling hangat Spurs ketika ini

“Saya sangat gembira dengan apa yang saya lihat dari pemain muda kami. Luke Amos bermain paling banyak, termasuk juga Oliver Skipp.”

“Banyak pemain muda mendapat peluang untuk menunjukkan kebolehan masing-masing. Saya sangat gembira melihat situasi ini. Saya percaya mereka wajar diberikan peluang untuk membesar menjadi pemain lebih baik.”

BACA:  Pochettino: Spurs Perlukan Masa 4 Tahun Lagi Untuk Bina Mentaliti Juara