Punggung Hazard Paling Power, Yaya Toure Kongsi Pengalaman Pentingnya Punggung Padu Dalam Bola Sepak

Yaya Toure boleh dikatakan seorang pemain yang mempunyai karier yang berwarna-warni di mana dia telah bermain di banyak negara, bermula di Belgium bersama Beveren, kemudian berkelana ke Ukraine bersama Metalurh Donetsk, Greece (Olympiacos), Perancis (Monaco), Sepanyol (Barcelona) dan England (Manchester City).

Menurut Toure, yang dalam tulisan pertamanya di portal sukan The Athletic  , liga di berlainan negara menampilkan corak permainan yang berbeza, dan baginya Liga Inggeris adalah liga yang cukup pantas.

Toure membuat perbandingan di antara Liga Perdana Inggeris dan La Liga, di mana ketika dia bermain di Sepanyol, dia mempunyai sehingga 10 saat untuk membuat keputusan selepas menerima bola.

Ini cukup berbeza di England di mana pemain Inggeris akan menerkam bola dalam tempoh 3-4 saat sahaja sebaik dia menerima bola. Dengan sifat liga Inggeris yang terlalu fizikal, Toure berkongsi pentingnya untuk pemain mempunyai punggung yang padu!

“Apa yang banyak membantu aku adalah salah seorang daripada fisio di City, yang menerangkan kepada aku dengan sangat ringkas.

“Dia cakap, ‘kau dah ada badan besar, tapi kau kena buat sesuatu untuk berhadapan dengan hentakan bila orang lari ke arah kau bila kau kawal bola. Kita kena besarkan otot untuk serap hentakan tu. Kita kena bina kekuatan di punggung kau’.

“Bunyi macam kelakar, tapi punggung kau boleh jadi satu alat yang penting bila kau main bola.”

Dalam tulisannya juga, Toure telah memuji beberapa pemain di Euro yang pandai menggunakan bahagian belakang mereka, termasuklah John McGinn, Raheem Sterling, Paul POgba dan N’Golo Kante.

“N’Golo Kante agak susah nak dapat bola daripada dia bila dia guna badan dia macam ni – dia bukanlah pemain yang paling besar dan sudah mempunyai pusat graviti yang rendah, jadi bila rendahkan punggung dia untuk terima bola bawah, terjah dia rasa akan jadi rasa macam terajang batu,” tulis Toure, memuji Kante yang pandai menggunakan kekuatan punggung.

Padu tak? Gambar : AB

Toure juga turut berceritai bagaimana peminat Manchester City mungkin masih ingat satu kisah di mana dalam perlawanan Manchester derby pada tahun 2018, bila mana Raheem Sterling menerima bola di penjuru padang di lewat permainan.

“Dua atau tiga pemain United datang ke arahnya dah cuba merampas bola daripada dia tapi dia tenang je kawal bola tu. Cara dia buat tu – dengan pergerakan tepat, cepat di bahagian pinggang ke bawah dan kedua-dua kakinya tertanam di padang, dan inilah sebenarnya cara yang betul untuk menggunakan punggung untuk menjaga bola.”

Tetapi dalam ramai-ramai pemain, ada seorang pemain yang betul-betul menambat hatinya dalam bab menggunakan punggung.

“Renato Sanches tak banyak sangat bermain untuk Portugal setakat ni, tapi ada satu ketika tu dalam separuh masa kedua ketika lawan Jerman kau boleh tengok Emre Can terkam ke arah dia, cuba merampas bola daripada dia.

“Can ni seorang pemain yang gagah perkasa – masa dia di Liverpool aku lawan dia dalam satu perlawanan yang kitorang kalah – tapi bila Can cuba merempuh Sanches, dia lari lurus ke punggung Sanches dan jatuh.”

Power betul.

Tapi, dalam banyak-banyak punggung, punggung Eden Hazard yang paling berjaya menawan hati Toure, dan dalam tulisannya tersebut dia ada buat lawak betapa besarnya punggung pemain Real Madrid tu.

“Dah macam kelakar pun ada yang betapa besarnya punggung dia, tapi ia sangat penting kepada cara dia bermain bola.

“Hazard adalah sangat berbahaya bila dia dapat bola, dia ada mungkin kurang daripada lima saat sebelum pemain lawan serang dia – aku tahu daripada waktu aku di City, kau nak kurangkan masa dia dengan bola.

“Bila bola sampai ke Hazard, dia dah boleh rasa yang ada orang nak terkam, jadi dia tunggu sampai saat akhir dan gunakan punggung dia untuk halang orang.

“Punggung tu tolak lawan – jadi macam satu penumbuk- dan lepas tu dia dah buka ruang di antara diri dia dengan pertahanan lawan, dia akan larikan bola dan mulakan serangan.

“Pemain tepi yang lain yang gunakan teknik punggung seperti ini adalah seperti Antoine Griezmann untuk Perancis, dan kau mungkin boleh tengok Luis Suarez dan Sergio Aguero guna ni di Copa America, tapi tiada siapa boleh lawan Hazard punya.

“Cara dia kawal bola dengan menggunakan punggung dia, cara dia guna punggung dan badan dan pinggang dia untuk menjaga bola bila pertahanan terkam, cara dia pusing ke mana-mana arah selepas perlanggaran tu……sangat menakjubkan!”

Selain itu, Toure turut memuji kapten England, Harry Kane, sebagai seorang pemain yang pandai menggunakan punggungnya.

“Harry Kane, walaupun ada berita yang cakap dia sekarang tengah mendap, adalah seorang lagi pemain yang pandai guna punggng, terutamanya ketika bahagian belakang dia menghadap gol dan pertahanan lawan.

Memandangkan topik punggung ini tidak pernah dibincangkan oleh mana-mana pemain atau jurulatih secara terbuka, tulisan Toure ini mendapat perhatian warga internet, di mana ada yang terkejut dan ada juga yang bersetuju dengan tulisan Toure ini.

Lepas tu kan, dalam ramai-ramai pemain Malaysia, rasanya siapa yang akan dapat pujian daripada Yaya Toure? Jawab lah.

Cerita diolah dari artikel sportBIBLE.

BACA:  Mancini Banding Permainan Wales Macam Stoke City Dan Bale Bagi Jawapan Padu