Ralf Rangnick Beri Jaminan Masa Depan Yang Cerah Di Old Trafford Kepada Bintang Muda United

Pengurus interim Manchester United, Ralf Rangnick dilaporkan telah memberi harapan kepada Brandon Williams, dengan menyatakan yang pemain pertahanan itu masih ada harapan dan masa depan yang cerah bersama kelab.

Williams pada ketika ini sedang dipinjamkan kepada Norwich City sehingga akhir musim nanti, dan beliau juga turut sering diturunkan dalam kesebelasan utama The Canaries.

Sejak Dean Smith mengambil alih Norwich City, Brandon Williams dilihat lebih kerap digunakan dan menjadi antara nadi terpenting skuad.

Pemain left-back berusia 21 tahun itu telah dinamakan sebagai pemain terbaik bulanan Norwich City pada Januari lalu, selepas membantu kelab mencatatkan kemenangan penting bertemu Everton dan Watford.

Perjanjian pinjaman beliau bersama Norwich akan berakhir pada penghujung musim nanti, dengan Ralf Rangnick dilaporkan sudah beri jaminan kepadanya yang beliau bakal ada tempat di Old Trafford selepas ini.

Sumber dalaman kelab mendedahkan kepada media bahawa:

“Brandon tidak boleh bermain ketika United bertemu Norwich pada Disember kerana perjanjian pinjaman.”

“Dia menonton perlawanan dan turut mengucapkan selamat kepada beberapa pemain Man Utd, dengan Rangnick turut bercakap dengan dia.”

“Dia (Rangnick) kata dia sedar tentang Williams, dia turut menilai dan dia jelas sekali sangat berminat mahu membawa Williams ke Old Trafford semula ketika rundingan pinjaman tamat.”

“Jadi mesej dia adalah, ‘Terus berusaha keras dan nikmati minit permainan dan kamu akan ada masa depan menanti kamu di United.”

“Brandon sangat teruja kerana pengurus hanya mengendalikan kelab selepas beberapa perlawanan, tetapi sudah ada banyak yang dia rancang, tapi Williams ambil masa untuk bercakap dengan dia.”

“Pengurus sangat suka dengan kelajuan dia dan dia juga seorang pemain versatile yang boleh bermain di kedudukan posisi full-back.”

Williams melakukan debutnya bersama skuad utama setan merah pada tahun 2019 yang lalu ketika United di bawah kendalian Ole Gunnar Solskjaer.

Beliau sempat membuat 17 penampilan bersama setan merah dalam saingan Premier League pada musim 2019/20.

Beliau kemudiannya menandatangani kontrak baru selama empat tahun di Old Trafford bermula pada Ogos 2020, namun beliau hanya membuat empat penampilan sahaja dalam saingan liga pada musim lalu.

Dengan Luke Shaw dan Alex Telles masing-masing sedang berada di tahap persembahan terbaik mereka, jelas sekali sangat sukar untuk Williams mendapat tempat.

Williams kemudiannya telah dipinjamkan ke Norwich pada awal musim lalu, dan telah membuat 21 penampilan bersama The Canaries.

Bercakap tentang keputusan beliau mahu meninggalkan United sebagai pemain pinjaman, Williams pernah mendedahkan kepada The Athletic bahawa:

“Saya datang pada satu titik yang mana saya sedang berada di usia yang menyebabkan saya perlu dapatkan minit permainan, bukan hanya duduk di sana buang masa bertahun-tahun.”

“Saya tahu berada di sana dan berlatih bersama pemain terhebat dunia merupakan satu hal yang bagus, tapi dalam dunia bola sepak ini, selain dari perlu banyak belajar, kamu juga perlukan pengalaman, jadi saya perlu keluar dan bermain.”

“Saya cuma perlu beri tumpuan kepada diri saya sendiri, syukur pengurus benarkan saya untuk pergi.”

Walau bagaimanapun, memandangkan Ralf Rangnick bakal memulakan tugas sebagai penasihat kelab selepas kontraknya sebagai pengurus interim tamat pada penghujung musim nanti, maka sudah tentu United akan ada pengurus yang baru.

Satu hal yang harus Williams bimbangkan adalah pengurus baru kelab belum tentu bakal menggunakan khidmatnya nanti dan beliau perlu berusaha lebih keras agar mendapat tempat.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Rangnick Cadangkan Supaya Pengadil Berlatih Bersama-Sama Pemain di Kelab