Ralf Rangnick Jawab Persoalan Bonus RM47 Juta Jika Berjaya Dapatkan Haaland

Ralf Rangnick menjawab khabar angin bahawa beliau akan mendapat bonus sebanyak RM47 juta (£8.5 juta) jika beliau berjaya mendapatkan tandatangan Erling Braut Haaland untuk Manchester United.

Manchester United dilaporkan sedang berusaha untuk mendapatkan bintang Borussia Dortmund itu dan mereka mahu menggunakan pengaruh Ralf Rangnick untuk memujuknya.

Menurut laporan Bild, Haaland berkemungkinan akan dibawa masuk pada jendela perpindahan musim panas akan datang, dengan pengurus berusia 63 tahun itu akan dapat bonus lumayan andai hal itu berlaku.

Dalam sidang media rasmi pertamanya selaku pengurus interim telah tampil menjawab persoalan itu dan mudah menafikan berita itu sebagai sesuatu yang sangat mengarut.

“Biar saya lihat; £10 juta untuk Erling Haaland, £10 juta untuk Kylian Mbappe, £10 juta untuk Robert Lewandowski, £10 juta untuk Joshua Kimmich. Ini jelas mengarut, tiada klausa seperti itu dalam kontrak saya,” Ujar Rangnick sambil bergurau senda dengan media.

“Sangat tidak masuk akal untuk membuat spekulasi bagi mendapatkan pemain baru, Erling Haaland merupakan penyerang yang hebat, aku sangat mengetahuinya kerana aku pernah bersama Salzburg. Satu dunia kot tahu betapa basugnya Haaland.”

Ralf Rangnick merupakan seorang yang jelas dengan perancangan beliau gembira dengan skuad Manchester United sedia ada yang kini dipenuhi pemain bintang namun tidak dapat mempamerkan prestasi sebenar.

Jika beliau mampu melahirkan dan membentuk pemain muda seperti di RB Leipzig masakan tidak mampu mengembalikan prestasi asal pemain yang sudah terbukti hebat sebelum ini.

Maka bagi Ralf Rangnick yang hanya akan membimbing Mancheste United sehingga akhir musim ini saja, perkara ini tidak masuk akal dan Manchester United sudah mempunyai ramai penyerang.

“Ia tidak masuk akal. Saya lebih gembira [dengan skuad sekarang]. Kekuatan serangan yang kami ada di sini, semua pemain serangan yang kami ada di sini, agak ramai dan ada antara mereka tidak bermain semalam [menentang Arsenal].”

“Martial hanya masuk dalam lima minit terakhir, Mason [Greenwood] tidak bermain sama sekali. Kami mempunyai begitu ramai pemain terbaik di bahagian serangan sehingga kami tidak perlu bercakap mengenai mana-mana pemain lain.”

Kalau semua ni capai potensi sebenar, tak perlu Haaland

Manchester United kini mempunyai barisan penyerang terbaik dunia dari pelbagai lapisan umur. Cristiano Ronaldo, Edison Cavani, Anthony Martial, Marcus Rashford, Mason Greenwood dan Jadon Sancho.

Penyerang muda yang boleh dibentuk pula seperti Anthony Elanga, Shola Shoretire dan Tahith Chong yang dipinjamkan ke Birmingham City.

Bapa Bola Sepak Jerman itu baru saja mendapat permit kerja dan akan mengendalikan perlawanan pertamanya selaku pengurus interim menentang Crystal Palace pada ahad.

Ralf Rangnick sebelum ini mempunyai sejarah dengan Erling Haaland apabila terlibat dalam membawa Haaland ke RB Salzburg dari Molde pada Januari 2019.

Pemain penyerang Norway yang kini berusia 21 tahun itu masih mempunyai kontrak bersama Borussia Dortmund sehingga 2024 nanti dan sentiasa menjadi perhatian dari kelab gergasi seluruh dunia.

Namun Haaland dilaporkan mempunyai klausa perlepasan bernilai £68 juta dalam kontraknya yang boleh diaktifkan pada penghujung musim ini nanti.

Dortmund seboleh-bolehnya mahu memujuk Haaland agar beliau kekal di Jerman dengan pihak kelab sedang bersedia untuk menawarkan kontrak baru kepada bekas bintang Red Bull Salzburg itu.

Pihak kelab akan menggandakan gaji beliau yang kini £7.5 juta, kepada £15 juta dalam usaha mereka untuk memastikan bintang Norway itu tidak meninggalkan kelab.

Gergasi Bundesliga itu turut mahu menangguhkan tempoh pengaktifan klausa perlepasan Haaland dari musim panas 2022 kepada musim panas 2023.

BACA:  Kisah Bagaimana Bola Sepak Jerman Menukar Kiblat ke Arah Rangnick