Rangkuman Aksi Neymar Bertemu Uruguay Bukti Beliau Masih Pemain Terhebat Dunia

Brazil meneruskan dominasi mereka di pentas kelayakan Piala Dunia 2022, zon benua Amerika Selatan dengan mencatatkan kemenangan selesa 4-1 menewaskan Uruguay.

The Selecao tenang menewaskan Uruguay di Arena da Amazonia dengan Neymar, Raphinha (2) dan Gabriel Barbosa mencatat nama sebagai penjaring gol untuk bantu Brazil catat kemenangan 4-1.

Brazil pada ketika ini berada di kedudukan teratas dalam saingan peringkat kumpulan untuk kelayakan Piala Dunia, dengan mengumpul 31 mata dari 11 perlawanan.

Mereka dianggap pasukan kegemaran untuk mencabar kejuaraan Piala Dunia di Qatar pada musim sejuk tahun hadapan, terutama sekali andai Neymar berada dalam tahap kecergasan terbaiknya sepanjang kejohanan tersebut.

Pemain berusia 29 tahun itu memulakan kempen 2021/22 bersama Paris Saint Germain dengan tidak begitu baik, dan beliau jelas sekali tidak berada di tahap persembahan terbaiknya.

Namun ketika aksi bertemu Uruguay semalam, Neymar telah mempamerkan persembahan yang berbeza dan sungguh luar biasa menakjubkan.

Ia membuktikan yang beliau sebenarnya masih lagi antara pemain yang istimewa dan tidak keterlaluan untuk menganggap beliau yang terhebat dalam dunia bola sepak hari ini.

Neymar jelas sukar untuk dikawal dengan beliau dilihat mempunyai kelas yang tersendiri sepanjang perlawanan tersebut, termasuklah kejayaan beliau menjaringkan gol yang cukup cantik.

Gol jaringannya itu merupakan gol ke-70 Neymar di pentas bola sepak antarabangsa, dan beliau sememangnya nadi utama untuk jentera serangan Brazil pada ketika ini.

Beliau dalam perlawanan ini berjaya mencatatkan dua assists, mencipta empat big chances, dan turut berjaya melakukan lapan key passes untuk menjadikan beliau sebagai pemain terbaik dalam perlawanan tersebut.

@LSComps telah merangkumkan aksi Neymar sepanjang perlawanan tersebut, dan ia jelas sangat berbaloi untuk disaksikan.

Walaupun persembahan beliau dalam perlawanan ini bukanlah yang terbaik sepanjang kariernya, namun tidak dinafikan yang beliau masih lagi antara pemain terhebat dalam dunia bola sepak hari ini.

Beliau bukan hanya mempunyai teknik dan skill yang menakjubkan, bahkan Neymar juga bijak memanfaatkan kebijaksanaan beliau untuk membantu menggerakkan jentera serangan Brazil.

Seandainya Neymar berada di tahap persembahan terbaiknya, Brazil tentu akan mencatatkan kemenangan dengan pemain lawan akan menghabiskan masa untuk memikirkan cara bagaimana untuk mengawal pemain utama mereka itu.

Tidak dinafikan juga, ketika Neymar sedang berada di tahap prestasi terbaiknya, beliau jelas sekali merupakan pemain paling menakjubkan untuk ditonton berbanding mana-mana pemain lain dalam dunia bola sepak.

Para peminat seharusnya rasa bersyukur kerana dapat menikmati perlawanan yang menarik kerana adanya pemain seperti Neymar beraksi di atas padang.

Mungkin selepas berakhirnya era beliau, agak sukar sebenarnya untuk temui pemain yang klinikal dan mempunyai kemahiran teknikal yang cukup mengagumkan seperti beliau.

Neymar sudah memberi tanda-tanda yang beliau mungkin akan meninggalkan pentas bola sepak antarabangsa selepas berakhirnya saingan Piala Dunia Qatar nanti.

“Saya rasa, ia bakal menjadi Piala Dunia terakhir saya (Qatar 2022).”

Jelas Neymar kepada DAZN.

“Saya nampak ia yang terakhir untuk saya kerana saya tak tahu jika saya masih mempunyai kekuatan dari segi fikiran dan fizikal untuk terus beraksi dalam dunia bola sepak.”

“Jadi, saya akan lakukan yang terbaik, lakukan segalanya untuk menang bersama negara saya, untuk mencapai impian terhebat saya sejak saya masih kanak-kanak. Dan saya harap saya mampu lakukannya.”

Melihat kepada semangat dan tekad beliau, tidak dinafikan lagi yang Brazil perlu diberi perhatian sebagai pasukan kegemaran untuk memenangi saingan Piala Dunia Qatar nanti.

Sumber: GMS

BACA:  Sungguh Jahat Dan Kurang Ajar Gol Ketiga PSG Jaringan Neymar