Rio Ferdinand Dedahkan Mengapa Beliau Tidak Bercakap Dengan Frank Lampard

Bekas pemain Manchester United, Rio Ferdinand mendedahkan beliau berhenti dari bercakap dengan Frank Lampard ketika kedua-duanya masih lagi belum bergelar pemain bolasepak profesional.

Ferdinand dan Lampard adalah bekas pemain antarabangsa England dan mereka dibesarkan di akademi West Ham United sehingga berjaya menembusi pasukan utama.

Ferdinand meninggalkan West Ham pada tahun 2000 untuk menyertai Leeds United dan dua tahun kemudian, Manchester United telah membayar nilai perpindahan rekod dunia untuk pemain pertahanan bagi mendapatkan khidmatnya.

Sama seperti Ferdinand, Lampard meninggalkan West Ham pada tahun 2001 untuk menyertai Chelsea dan kekal di Stamford Bridge selama 13 tahun.

Beliau telah menerima status seorang legenda bersama Chelsea selepas muncul penjaring terbanyak dalam sejarah kelab dengan 211 gol.

Dalam satu temubuat bersama BBC sempena NFL Thanksgiving, Ferdinand telah mendedahkan mengapa sekumpulan pemain yang mendapat gelaran generasi emas England gagal memenuhi potensi mereka dalam kejohanan besar dunia.

“Kami mempunyai generasi yang dipanggil generasi emas dimana harapan tinggi telah diletakkan terhadap kami untuk memenangi sesuatu buat England. Dan itulah punca utama mengapa kami gagal melakukannya. Kami gagal untuk memisahkan persengketaan peringkat kelab apabila bermain untuk negara.”

“Saya ada menulis satu bab mengenai Frank Lampard dalam buku saya. Kami membesar bersama-sama di West Ham, dan memilih haluan masing-masing selepas itu. Saya pergi ke Manchester United dan beliau pula menyertai Chelsea. Kami melakukan semua perkara bersama-sama dari umur 16 sehingga 21 tahun. Kami berkongsi bilik, melancong bersama dan banyak lagi perkara kami lakukan bersama.”

Dari tahun 2002 sehinggalah 2010, England akan hadir dalam setiap edisi Kejohanan Eropah atau Piala Dunia dengan harapan yang tinggi disandarkan terhadap mereka untuk memenangi kejohanan antarabangsa selepas sekian lama.

Ini disebabkan hampir keseluruhan anggota skuad ketika itu dibarisi pemain terbaik kelab masing-masing dan secara konsisten menyerlah dalam peringkat Eropah.

“Apabila saya ke Manchester United dan beliau ke Chelsea, kami berhenti bercakap. Kami tidak pernah berbincang mengenainya, kami hanya berhenti bercakap. Saya menulis satu bab mengenai perkara ini pada penghujung karier saya.”

“Sebelum ia dikeluarkan, saya ada berhubung dengan Lampard untuk bertanya adakah ia wajar diletakkan dalam buku saya. Lampard membalas mesej saya dan beliau berkata andainya beliau turut menulis buku mengenai kariernya, beliau akan menulis sama seperti yang saya tulis dalam buku tersebut.”

Ferdinand turut mendedahkan salah satu punca prestasi buruk pasukan England ketika itu adalah hubungan yang retak di antara beliau dan Frank Lampard.

“Kami tidak membenci antara satu sama lain. Tetapi saya tidak mahu beliau memenangi sesuatu untuk di bawa balik ke Chelsea. Saya tidak lagi menyukai beliau kerana bermain dengan Chelsea. Lampard telah memenangi piala yang saya mahu menangi. Semuanya adalah obsesi untuk menang.”

“Hubungan kami semakin dingin dan kami tidak lagi bercakap. Tetapi pada masa sekarang, kami sudah bercakap. Lampard hadir dalam majlis hari jadi saya tempoh hari. Jangan padang rendah terhadap apa yang sukan mampu lakukan terhadap hubungan sesama kawan. Apa yang berlaku adalah gila kerana semuanya kerana obsesi untuk menang.”

Dengan nama seperti John Terry, Frank Lampard, Steven Gerrard dan Wayne Rooney di atas kertas, pasukan England masih lagi tidak mampu menterjemahkan status elit pemain mereka untuk meraih kejayaan bersama negara mereka.

Pasukan tersebut telah mencipta tabiat untuk terkeluar dari saingan selepas peringkat suku akhir dalam mana-mana kejohanan antarabangsa yang mereka sertai.

Mereka gagal bekerjasama dengan baik kerana kumpulan pemain ini bersaing dengan sengit sekali bersama kelab masing-masing sehingga mengganggu hubungan mereka apabila bermain dengan England.

BACA:  Budak Milo Ajax Baling Bola Ke Muka Pemain Roma Kerana Lengahkan Masa