Penyerang legenda yang diangkat sebagai dewa di Anfield, Robbie Fowler telah berkongsi pendapat kenapa bintang Liverpool, Mo Salah, kini tidak lagi aktif menjaringkan gol seperti suatu ketika dahulu.
Untuk rekod, sejak bulan Febuari tahun 2022, Salah hanya menjaringkan tujuh gol dalam 21 perlawanan – satu angka yang tidak sepadan dengan reputasi penyerang Mesir ini sebagai mesin gol yang sangat digeruni.
Segalanya tampak tidak menjadi buat Salah sebaik sahaja dia kembali daripada tugas bersama pasukan kebangsaan Mesir di mana dia tewas dalam perlawanan akhir kepada pasukan Senegal.
Ada yang mengatakan separuh jiwa Salah telah pergi dan hatinya hancur berkecai kerana gagal membantu negaranya menjulang piala terulung di benua Afrika tersebut, manakala ada juga yang tidak kurang mendakwa masalah kontrak baharunya membuatkan pemain ini tidak dapat fokus di atas padang.
Mo Salah can keep his G/A stats this season, I have no doubt I’ve just seen THE best player in the league score 4 goals in one game!
This guy drops a MoM 95% of the time he plays.
WHAT A PLAYER. 🤯
— LB✌🏽 (@LondonBlue_2) May 11, 2022
Malah ada sebilangan penyokong The Reds yang melabelkan Salah semakin tamak di hadapan gol dan menjadi punca kepada kejatuhan prestasi pemain ini. Tak patut betul penyokong Liverpool ni kan?
Terkini, dalam perlawanan menentang Aston Villa, Salah hanya diletakkan di bangku simpanan dan hanya dimasukkan pada separuh masa kedua dalam usaha untuk melebarkan kedudukan ketika itu di mana anak buah Klopp sedang mendahului lawan dua jaringan berbalas satu.
Tapi, Salah tetap gagal menjaringkan gol. Kenapa ek? (Baca dalam lorat Johor).
Fowler telah tampil menjelaskan kenapa Salah gagal menjaringkan gol sebaik sahaja pulang daripada AFCON pada awal tahun ini dan semuanya tidak berkaitan langsung dengan apa yang disebut oleh penyokong Liverpool.
“Sejak dia kembali dari Piala Negara Afrika, aku tak rasa kita dapat lihat Mo Salah yang sama sebelum dia berlepas ke sana,” ujar Fowler kepada Adam Carruthers yang mewakili Stadium Astro selepas perlawanan menentang Aston Villa tempoh hari.
“Kau tengok la pasukan-pasukan bila lawan dia (Salah), dan diorang tu nampak macam dah mampu untuk mendekati Salah dan menghentikannya daripada melakukan pusingan (turn).
“Bila Mo Salah dapat bola, perkara pertama yang dia akan lakukan adalah turn dan melakukan larian ke arah pertahanan. Tiada siapa yang benarkan dia buat macam tu sekarang ni. Kalau kau tengok betul-betul, bola nak sampai je kat dia dan pertahanan lawan dah ada di belakangnya, tak nak bagi dia buat turn.
“Aku tak maksudkan yang orang dah mengkaji secara mendalam sangat pun cara dia main, tapi sukar lah sikit bagi dia tu memandangkan dia adalah pemain yang bagus.
“Statistik dia membuktikan semuanya, tapi sekarang dia menghadapi masa sukar.
“Inilah indahnya mempunyai pasukan seperti Liverpool. Kau ada Luis Diaz yang masuk dan dilihat bagaikan baru sahaja dijampi, dan Sadio Mane, yang berada di kemuncak prestasinya.
“Mo (Salah) mungkin tidak berada di keupayaan terbaik, tapi Liverpool tetap menang.”
Untuk musim ini, Liverpool mempunyai baki empat perlawanan dalam kesemua pertandingan dan Fowler percaya bahawa Klopp tetap akan terus memberikan kepercayaan kepada Salah untuk memikul tanggungjawab dalam perlawanan mendatang.
“Dia mungkin tidak sehebat awal musim hari tu, tapi kita tak boleh nak lawan fakta,” tambah Fowler.
“Jurgen menggunakan Salah sebab dia tahu pasti ada detik-detik penting dalam perlawanan yang bakal menyaksikan aksi sendunya akan berakhir.
“Mungkin perlawanan akhir Piala FA pada hujung minggu ini atau mungkin dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara nanti.
“Tapi memang tak dapat diragui, Salah mampu memenangi perlawanan.”
Adam turut bertanya adakah Salah punca kenapa Liverpool gagal mendapat tiga mata penuh ketika menentang Tottenham Hotspur kerana penyerang tersebut dilihat agak tamak dan mengambil keputusan yang salah dalam beberapa detik perlawanan itu.
“Dia tak pernah rugikan tiga mata Liverpool,” jawab Fowler.
“Ini bukanlah kali pertama dia dilabel sebagai selfish (pentingkan diri sendiri), tapi itulah ciri-ciri penyerang yang bagus.
“Penyerang yang bagus adalah pemain yang pentingkan diri sendiri. Mereka mahu jaringkan gol dan iya, memang ada waktu-waktu di mana pemain lain berada di posisi yang lebih bagus tapi aku ada bercakap tentang Jurgen (Klopp) dan sokong pemain dia.
“Mo Salah percaya kepada diri dia sendiri dan juga percaya dia akan mampu kembali.”
Benar kata Fowler itu. Dia adalah dewa bola sepak dan kata-katanya adalah keramat.
Bak kata orang putih; form is temporary but class is permanent.
Salah kini diibaratkan sebagai seekor singa yang sedang berehat dan bila-bila masa sahaja dia mampu untuk bangkit dan menerkam mangsa. Ceewahh!
Sumber : Stadium Astro