Robert Lewandowski Terbuka Untuk Sertai Arsenal Musim Panas Nanti

Robert Lewandowski dilaporkan terbuka untuk melengkapkan perpindahan meninggalkan Jerman pada musim panas nanti, dengan Arsenal dilaporkan menjadi calon kegemaran untuk mendapatkan khidmat bintang Poland itu.

Penyerang kebangsaan Poland yang kini berusia 33 tahun itu tidak dinafikan lagi merupakan mesin pencetak gol berkualiti tinggi yang menjadi idaman kesemua kelab gergasi dalam dunia bola sepak.

Beliau pada musim ini sekali lagi melalui musim yang menakjubkan dengan menjaringkan 39 gol dari 33 penampilan dalam semua pertandingan bersama Bayern Munich.

Lewandowski masih mempunyai kontrak dengan Bayern Munich sehingga 2023 nanti, dengan beliau bakal berusia 34 tahun pada Ogos nanti.

Bayern Munich walau bagaimanapun sepertinya tidak berminat untuk menawarkan kontrak baru kepada pemain veteran itu.

Keengganan Bayern Munich menawarkan kontrak baru kepada ketua pasukan Poland itu berpotensi membawa kepada berlakunya perpindahan pada musim panas ini.

Lewandowski yang sememangnya masih mahu meneruskan kariernya sehingga usia 40 tahun bakal meninggalkan Allianz Arena dalam usaha untuk mencari kelab yang sanggup menawarkan kontrak jangka panjang kepadanya.

Menurut sumber laporan dari FourFourTwo, Arsenal merupakan antara pasukan gergasi yang paling bersedia untuk berjuang habis-habisan dalam usaha untuk mendapatkan Lewandowski.

Mikel Arteta dilaporkan sememangnya mahu mencari pemain penyerang baru pada jendela perpindahan musim panas nanti, dengan Eddie Nketiah dan Alexandre Lacazette bakal tamat kontrak pada penghujung musim ini.

Arsenal sebelum ini turut berdepan masalah besar selepas kehilangan bekas ketua pasukan mereka, Pierre-Emerick Aubameyang pada jendela perpindahan Januari baru-baru ini.

Pemain kebangsaan Gabon itu menyertai Barcelona menerusi perjanjian perpindahan percuma dan beliau kini berjaya menjadi nadi penting Barca.

El Chiringuito melaporkan yang Lewandowski terbuka untuk melengkapkan perpindahan menyertai Atletico Madrid dengan bintang Bayern Munich itu dikatakan mahukan cabaran baru di luar Bundesliga.

Menurut laporan di Sepanyol, seteru utama Atletico Madrid, Real Madrid merupakan antara pasukan yang juga sebenarnya berminat untuk mendapatkan Lewandowski.

Walau bagaimanapun, Los Blancos mahu lebih memberi tumpuan untuk mendapatkan bintang Paris Saint Germain, Kylian Mbappe dan pemain penyerang Borussia Dortmund, Erling Haaland.

Kedudukan Atletico Madrid untuk mendapatkan Lewandowski akan lebih kukuh seandainya Real Madrid benar-benar menolak untuk menandatangani bintang Poland itu.

Manusia paling jujur di muka bumi, Fabrizio Romano turut mendedahkan tentang potensi Arsenal untuk mendapatkan Lewandowski dengan beliau percaya harapan itu masih ada.

“Masa depan Robert Lewandowski pada ketika ini masih lagi sangat terbuka.”

“Beliau sedang beri tumpuan untuk suku kedua musim ini bersama Bayern, tapi situasi kontrak dia kini tamat pada 2023 dan dia mahukan kontrak baru untuk kekal.

“Masih belum ada rundingan yang dilakukan antara Bayern Munich dengan ejen dia. Lewandowski masih menanti.”

Lewandowski menolak untuk menjawab soalan tentang masa depan beliau pada ketika ini kerana beliau mahu beri sepenuh perhatian kepada aksi di atas padang.

Ketika ditanya adakah beliau mahu berpindah pada musim panas nanti, beliau menjawab kepada Sky Sports Germany bahawa:

“Saya sangat terbuka untuk semuanya.”

“Adalah sangat penting untuk saya kini beri tumpuan kepada aksi saya dan apa boleh berlaku untuk perlawanan seterusnya.”

“Semuanya yang berkaitan dengan kontrak saya adalah perkara kedua, dan kekal duduk di belakang dulu (dahulukan aksi dan persembahan berbanding kontrak).”

Seandainya Lewandowski benar-benar tidak ditawarkan kontrak baru sehingga akhir musim ini, maka makin cerah lah harapan untuk Arsenal mengejar dan mendapatkan tandatangan beliau pada musim panas nanti.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Lewandowski Disarankan Untuk Sertai Manchester United